red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Isnin, 28hb Mac 2011: 

Kerajaan Persekutuan sepatutnya membenarkan Kerajaan Negeri membuat pilihan dikecualikan dalam menggunapakai akta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan memilih kontraktor sendiri untuk dipertanggungjawabkan dalam tugas pembersihan sisa awam 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik penangguhan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) ke satu tarikh yang akan diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung yang berkata di Alor Setar semalam, penguatkuasaan akta ini sepatutnya dikuatkuasakan pada 30 April tetapi Y.A.B. Perdana Menteri meminta supaya ianya ditunda berikutan terdapat beberapa aspek teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menentang polisi penswastaan pengurusan sisa pepejal yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan atas tiga alasan utama. Pertama, baik Kerajaan Negeri mahupun pihak berkuasa tempatan tidak dipanggil untuk berunding terlebih dahulu tentang keseluruhan pelaksanaan proses penswastaan tersebut. Kontrak penswastaan tersebut dikenakan secara paksa kepada Kerajaan Negeri ataupun pihak berkuasa tempatan.

Kedua ialah kurangnya akauntabiliti, baik Kerajaan Negeri mahupun pihak berkuasa tempatan tiada hak bersuara untuk memilih kontraktor pilihan dalam melaksanakan projek penswastaan ini. Sekiranya rakyat menderita disebabkan pengurusan yang buruk, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan apa-apa syarat atau mendenda ke atas prestasi yang teruk. Masalah yang timbul juga terpaksa memakan masa yang lama untuk diselesaikan kerana segala masalah perlu dirujuk dan diputuskan di Putrajaya dan bukannya di Pulau Pinang. Ini bertentangan dengan konsep asas berfikir secara global dan bertindak secara tempatan.

Akhir sekali, tidak ada tender terbuka oleh Kerajaan Persekutuan dalam pemilihan kontraktor untuk mendapatkan kontrak penswastaan projek tersebut. Ini sekaligus akan mewujudkan projek-projek kroni di mana akan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang, kualiti perkhidmatan yang lemah serta akan berlakunya sub-piawai dalam pengurusan. Pengalaman di beberapa buah negeri yang telah menggunapakai perjanjian penswastaan tanpa proses tender terbuka menunjukkan bahawa selalunya ia adalah lebih mahal, mengecewakan, memakan masa dan secara keseluruhannya tidak menyenangkan.

Memilih kontraktor tanpa melalui proses tender terbuka, tanpa perundingan dan tanpa menghormati akauntabiliti sememangnya bertentangan dengan prinsip 'Blue Ocean Strategy' dalam mencari pasaran baru dengan idea atau produk yang inovatif. Pergantungan kepada projek-projek kroni dan membebankan rakyat dengan kenaikan harga dan perkhidmatan yang teruk bukanlah strategi Blue Ocean seperti mana yang telah diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya membenarkan Kerajaan Negeri membuat pilihan dikecualikan dalam menggunapakai akta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan memilih kontraktor sendiri untuk dipertanggungjawabkan dalam tugas pembersihan sisa awam.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional