red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Jumaat, 13hb Mei 2011:

Untuk memperingati Peristiwa 13 Mei, Hishammuddin Hussein seharusnya mencantas Utusan Malaysia sebagai bukti komitmen kerajaan menentang provokasi perkauman dan agama

Hari ini merupakan genap Peristiwa 13 Mei yang ke-42 tahun. Ia merupakan peristiwa hitam di dalam sejarah negara kita. Peristiwa ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Salah satu faktor adalah penyebaran maklumat palsu bagi menyemarakkan perasaan tidak puas hati di antara kaum hingga menimbulkan perasaan takut, marah dan akhirnya berlaku kemusnahan harta benda dan kematian.

Bagi mengelak peristiwa hitam ini dari berulang, Kerajaan mesti tegas mengeluarkan kenyataan iaitu mereka yang menyebarkan maklumat palsu, yang memecah-belahkan Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama mesti berhenti berbuat demikian.

Oleh itu, saya menggesa pihak Kerajaan untuk mengambil tindakan yang keras terhadap Utusan Malaysia kerana menyebarkan fitnah dan maklumat palsu dengan penerbitan laporan "Kristian agama rasmi" di muka depan akhbar yang tidak bertanggungjawab itu.

Utusan Malaysia yang dimiliki oleh UMNO itu amatlah keji kerana sanggup menerbitkan cerita rekaan sebegini berdasarkan tuduhan menggila dua orang blogger UMNO yang tidak mempunyai sebarang bukti langsung. Sehingga kini, UMNO tidak dikenakan sebarang hukuman oleh Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein yang juga merupakan Naib Presiden UMNO.

Surat amaran yang dikeluarkan kepada Utusan Malaysia oleh Hishammuddin itu bukanlah hukuman yang setimpal dengan kesalahan Utusan yang menerbitkkan fitnah demi melaga-lagakan orang Islam dengan orang Kristian di negara ini.

Saya ingin mengingatkan Hishammuddin bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai track rekod mengambil tindakan yang jauh lebih keras terhadap penerbitan lain yang sebelum ini telah melakukan kesalahan yang lebih ringan.

  1. Pada 2006, China Press telah dipaksa memecat dua orang penyunting atasannya setelah mereka tersalah melaporkan kewarganegaraan wanita yang terlibat di dalam peristiwa "ketuk-ketampi bogel" sebagai warganegara Cina.

  2. Pada 2006, lesen penerbitan Sarawak Tribune telah digantung kerana menerbitkan lakaran yang menghina Nabi Muhammad.

  3. Pada 2006, edisi petang Guang Ming juga telah digantung selama dua minggu atas kesalahan yang sama

  4. Pada 2007, Makkal Osai telah digantung selama sebulan kerana menerbitkan imej yang menghina Nabi Isa.

  5. Pada 2008, pemberita Sin Chew, Tan Hoon Cheng telah ditahan di bawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bukan kerana sebarang kesalahan tetapi kerana melaporkan perkara benar bahawa Ketua Bahagian UMNO Datuk Ahmad Ismail telah mengambil warga Malaysia keturunan Cina sebagai pendatang di Malaysia.

  6. Pada 2008, saya sendiri menjadi mangsa kewartawanan Utusan Malaysia yang tidak bertanggungjawab apabila ia memfitnah bahawa saya telah melarang laungan azan oleh masjid di kawasan Kinrara sehingga saya juga ditahan di bawah ISA

  7. Pada 2010, Ketua Penyunting China Press, Teoh Yang Koon telah digantung kerja selama dua minggu kerana tersilap lapor bahawa Ketua Polis Tan Sri Musa Hassan telah meletak jawatan.

Oleh itu, Hishammuddin tidak harus berat sebelah di dalam hukuman yang patut dikenakan ke atas Utusan Malaysia yang sudah berkali-kali membuat laporan palsu dengan tujuan keji. Hukuman surat amaran sahaja tidak memadai.

Hishammuddin harus menarik balik lesen penerbitan Utusan Malaysia sebagai mesej kepada semua bahawa kewartawanan sedemikian amatlah keji, tidak boleh diterima, dan bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang kononnya disokong oleh Kerajaan. Sekiranya Hishammuddin mengambil tindakan tersebut, rakyat Malaysia akan dibebaskan dari provokasi Utusan Malaysia yang keji itu.

Hishammuddin harus mengambil satu langkah lagi sebagai Naib Presiden UMNO dengan membuang kerja para penyunting Utusan Malaysia. Hishammuddin sememangnya mempunyai keupayaan, kuasa dan pengaruh untuk mengarahkannya kerana Utusan Malaysia dimiliki oleh UMNO.

Jika tidak, nampaknya kerajaan Barisan Nasional sebenarnya tidak ikhlas di dalam mahu mencegah Peristiwa 13 Mei dari berulang. Kerajaan BN lebih suka mempergunakan Peristiwa 13 Mei dari masa ke semasa untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia, melagakan warga Malaysia sesama sendiri demi melindungi kepentingan politik sendiri, tanpa mengira kesannya kepada keamanan dan keselamatan negara kita.


* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Selangor & Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional