red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang pada hari Isnin, 2hb Mei 2011: 

MCA tidak menghormati prinsip demokrasi apabila MCA dengan berani menyokong UMNO yang mengugut pengundi Cina kerana gagal menyokong BN 

MCA dilihat tidak menghormati prinsip demokrasi apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan berani menyokong UMNO yang mengugut pengundi Cina kerana gagal menyokong BN tetapi tidak berani mengecam dan menghukum UMNO yang mengundang PAS untuk menyertai BN dalam usaha untuk mempromosikan Penyatuan Melayu dan Islam.

Jelas wujud 'double-standard' apabila pengundi dengan terang dihukum kerana mengamalkan demokrasi dan kebebasan memilih sedangkan diktator UMNO dilepaskan tanpa sebarang hukuman atas keputusan yang telah dibuat tanpa berbincang dan berunding terlebih dahulu dengan ahli komponen BN seperti MCA.

UMNO adalah BN dan BN adalah UMNO. Sekali lagi UMNO dan Chua telah membuktikan bahawa sama ada wujud atau tidak wakil MCA dalam kerajaan, perkara ini adalah tidak relevan. Perwakilan MCA jelas tidak melayani kehendak rakyat Cina mahupun rakyat Malaysia sebaliknya hanya mengikut kehendak UMNO.

Terbukti BN, MCA dan UMNO sedang cuba untuk bermain politik perkauman dan ektremis apabila hanya bercakap tentang penyatuan Cina, penyatuan Melayu atau penyatuan Islam yang jelas mengorbankan prinsip 1 Malaysia. Sehingga saat ini, konsep 1 Malaysia langsung tidak dipedulikan pemimpin-pemimpin BN, bukan sahaja Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dengan seruannya untuk mengembalikan penyatuan Melayu dan Islam bahkan juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong konsep '1 Melayu, 1 Bumi' dan telah menyatakan bahawa beliau adalah 'Melayu dulu'.

Disebabkan Chua tidak berupaya untuk menjelaskan kenyataan-kenyataan yang bercanggah ini, beliau menlancarkan provokasi terhadap kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu dengan menyatakan bahawa beliau sanggup menyertai PKR sekiranya PKR menyatakan kesudian untuk menggugurkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang akan menghapuskan kedudukan istimewa orang Melayu. Hal ini sangat bertentangan dengan prinsip PR mahupun DAP yang jelas sangat menghormati Perkara 153 Perlembangan Persekutuan.

DAP dengan konsisten meminta agar Perkara 153 ini diamalkan secara betul dan menyeluruh di mana tidak hanya kedudukan khas orang Melayu dipelihara tetapi dalam masa yang sama kedudukan bangsa lain turut dijaga. Pemimpin BN tidak pernah menggunakan perkara ini untuk memperkayakan dan melindungi rakyat Malaysia, tetapi sebaliknya menggunakannya untuk kepentingan sendiri yang bertentangan dengan prinsip asas akauntabiliti dan telus.

Perkara 153 telah digunakan oleh UMNO untuk mengagihkan kuota dan projek kepada kroni dan para pemimpin UMNO seperti yang berlaku dalam skandal saham bumi RM52 bilion yang telah dirampas dan tidak dibahagikan kepada orang Melayu biasa. Demikian juga yang berlaku kepada para pemimpin MCA yang menggunakan peruntukan perlindungan kepada kaum bukan Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembangaan Persekutuan bagi membolehkan kegiatan perniagaan yang tidak jujur seperti yang berlaku dalam skandal PKFZ (Port Klang Free Trade Zone) yang bernilai RM13.5 bilion.

Keseriusan gejala rasuah di Malaysia dapat dilihat dengan pendedahan oleh Global Financial Integrity yang berpusat di Washington DC. Laporannya telahpun menunjukkan bahawa Malaysia telah kehilangan RM888 bilion melalui aliran keluar wang haram sepanjang tahun 2000-2008. Aliran keluar wang haram ini amat serius di mana jika jumlah RM888 bilion dibahagikan kepada setiap rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan, setiap seorang akan mendapat RM33 ribu.

Tiada seorang pun yang akan percaya ugutan MCA untuk menolak sebarang jawatan jika pengundi-pengundi menolak MCA pada pilihanraya yang akan menjelang. Sudah jelas bahawa pengundi sudahpun menolak BN, tetapi mengapakah MCA masih tidak berani untuk menarik diri? Hakikatnya, sama ada MCA menang atau kalah dalam pilihanraya umum, MCA masih akan terus diberikan 4 jawatan menteri dalam kabinet.

Ini sama seperti perlakuan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang telah berjanji pada pilihanraya umum 2008 bahawa beliau akan menolak sebarang pelawaan sebagai Senator untuk menjadi seorang Menteri ataupun pemimpin SUPP Datuk Wong Soon Koh yang secara senyap telah menerima pelantikan sebagai Menteri dalam negeri Sarawak sekaligus menghiraukan pendirian parti. Tidak ada juga seorang pun pemimpin MCA yang akan menolak sekiranya diberi kesempatan untuk memegang jawatan tinggi yang telah dikejar sepanjang kerjaya politiknya.

Chua Soi Lek telah dilabelkan sebagai pemimpin yang tidak mempunyai prinsip oleh bekas Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat setelah Chua gagal mempraktikkan apa yang beliau sendiri katakan dengan mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan EXCO tunggal di Perak mahupun Negeri Sembilan untuk berundur diri. Chua juga boleh mengarahkan 4 Menteri Kabinet MCA untuk mengundurkan diri setelah kegagalan parti mereka dalam pilihanraya pada tahun 2008. Jelas apa yang diperjuangkan MCA bukan berdasarkan prinsip sebaliknya hanya perjuangan untuk jawatan.

Rakyat Malaysia harus menolak politik perkauman dan ekstremis yang dibawa UMNO dan MCA. DAP percaya rakyat Malaysia akan menolak politik yang memainkan intimidasi dan ketakutan, dan sebaliknya akan terus mengamalkan hak demokratik rakyat untuk memilih wakil-wakil yang sesuai berdasarkan prestasi dan tidak akan lagi dipaksa untuk menyokong kerajaan yang zalim.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional