red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Teks perbahasan Belanjawan 2012 oleh V.Sivakumar dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Dewan Negeri Yang Kedua Belas, Perak Darul Ridzuan pada hari Jumaat, 25hb November 2011:

Teks perbahasan Belanjawan 2012 dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Dewan Negeri Yang Kedua Belas, Perak Darul Ridzuan

Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua Jabatan yang disanjungi. Pada pagi ini saya mengambil kesempatan untuk membahaskan belanjawan 2012 yang telah dibentangkan di dewan yang mulia ini pada 21 November 2011.

Negeri kita berada dalam krisis, pada tahun 2009 dan 2010 kita berhadapan dengan krisis politik, kini kita bersemuka dengan krisis ekonomi yang juling. Krisis parah seperti ini memerlukan azam politik dan pemimpin-pemimpin serta sutradara ekonomi yang berwibawa untuk membawa satu anjakan paradigma secepat yang mungkin. Perak berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain. Kerajaan Barisan Nasional Perak tersungkur ke dalam kelesuan ekonomi dan tidak dapat melepaskan diri dari belenggu kegawatan ini. Lantaran daripada itu ke hulu kena bubu, ke hilir kena tengkulak.

Pada hemat saya, belanjawan 2012 ini adalah satu bajet pilihanraya yang sedang meraba-raba mencari penawar untuk menggula-gulakan rakyat. Perkara ini tidak dapat dinafikan malah diakui sendiri oleh Yang Berhormat daripada Pengkalan Hulu. Dewan Negeri Perak membentangkan bajet defisit sekurang-kurangnya 11 tahun berturut-turut. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi YAB Menteri Besar cuba menutup lohong kegagalan kerajaan Barisan Nasional dalam menguruskan khazanah negeri ini secara bijaksana. Belanjawan kita bagaikan cakap melangit dapur tidak berasap.

Beliau telah berusaha menjajarkan satu helah yang pintar. Kononnya, bajet defisit yang lebih besar akan membawa keuntungan dan manfaat yang lebih lumayan kepada kerajaan negeri dan rakyat secara umumnya. Pada hakikatnya, defisit yang berjumlah RM50.14 juta itu membuktikan kelemahan kerajaan BN menguruskan wang rakyat dengan cekap dan berkesan. Belanjawan 'Makan Tabung' secara berterusan adalah satu kelemahan yang nyata dan bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan. Mentaliti menyanjung 'makan tabung' ini merupakan kaedah terdesak dan terpaksa digunakan oleh Barisan Nasional untuk menggula-gulakan rakyat tanpa perasan segan dan silu.

Nilai pasaran rizab kita ialah RM848.55 juta manakala hutang dengan persekutuan pula telah mencapai RM970.59 juta, Apabila nilai pasaran aset negeri ditolak tanggungan negeri kita memperolehi angka negetif iaitu sebanyak RM 122.04 juta. Kedudukan lumpuh ini akan dicederakan lagi dengan belanjawan defisit sebanyak RM50.14 juta bagi tahun 2012.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, simpanan tunai Kerajaan Selangor telah mencecah RM 1212 juta. Jumlah ini merupakan simpanan tertinggi yang pernah dicapai sejak 28 tahun yang lalu. Ini merupakan satu rekod yang boleh dibangggakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Belanjawan negeri itu juga adalah belanjawan seimbang. Apa gunanya kita kalah sabung tetapi menang sorak?

Kenapa kita perlu simpanan tunai yang tinggi? Simpanan tunai yang tinggi ini adalah penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur di dalam dan di luar negeri, bank-bank dan para kontraktor. Ini juga penting untuk menghadapi masa-masa yang genting, menangani sebarang risiko serta situasi yang tidak menentu seperti kemuncupan ekonomi dunia.

Kerajaan harus mengambil iktibar untuk menggunakan segala hasil dan khazanah negeri untuk kepentingan rakyat jelata. Tetapi kerajaan Barisan Nasional kini menghadapi pelbagai halangan dan rintangan dalam mencapai aspirasi ini. Masalahnya sekarang, durjana korupsi, kronisme dan nepotisme telah melanda di dalam pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Laporan Ketua Audit Negara menyerlahkan ketirisan tidak kurang dari 30% dari keseluruhan peruntukan bajet persekutuan dan telah berlaku dalam pelbagai bentuk. Puncanya adalah budaya rasuah yang tidak terkawal dan amalan kronisme yang keterlaluan. Kita tidak boleh membenarkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terus membarah. Saya cuma hendak ingatkan kerajaan ini bahawa kalau air keruh di hulu sampai ke muara keruh juga.

Negeri Perak juga tidak ketinggalan daripada hakikat ini. Sebagai contoh, di Majlis Daerah Batu Gajah, hampir semua projek-projek yang diluluskan adalah kepada sekumpulan kroni UMNO yang bersawang di situ. Dalam konteks ini, memang benar kalau dikatakan bahawa busut juga yang ditimbuni anai-anai. Perkara ini tidak asing lagi kepada seluruh warga Batu Gajah. Ini bukanlah rahsia yang terselindung lagi. Permainan kotor ini dilakukan secara terang-terangan. Kerajaan harus berasa aib kerana tidak dapat mengawal dan membendung amalan kronisme ini sejak bertahun-tahun lamanya. Kalau semua projek Majlis Daerah disapu oleh segelintir orang-orang berpengaruh dalam politik, ini akan menjejaskan kontraktor-kontraktor lain yang telus dan ikhlas.

Di sini, saya ingin mengingatkan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional supaya tidak membelanjakan habis wang peruntukan ADUN dan belanjawan yang diluluskan dengan serta merta sepertimana yang telah dilakukan pada tahun 2008. Saya difahamkan bahawa pada tahun 2008 semua wang peruntukkan telah habis dibelanjakan dalam tempoh 3 bulan sebelum pilihanraya.

Belanjawan 2012 diluluskan untuk tempoh 12 bulan bagi tahun 2012. Jika Barisan Nasional sekali lagi berancang melakukan muslihat yang tidak beramanah ini seperti tahun 2008, maka ini akan membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional di Perak adalah satu kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berakauntabiliti. Saya cuma hendak mengingatkan ahli-ahli yang berhormat bahawa sesungguhnya kegemilangan sebuah tamadun tidak dibina dalam sehari dua, sebaliknya boleh runtuh dengan sekelip mata jika tanggungjawab dan amanah diabaikan dan dikhianati. Rakyat Perak masih ingat lagi adengan-adengan bagaimana mereka dikhianati apabila Barisan Nasional apabila merampas kuasa dengan cara yang kejam dan tidak bermaruah pada tahun 2009.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan KDNK Malaysia berada pada kadar 4.6 % sahaja. Tetapi, data yang diberikan oleh YAB Menteri Besar dalam ucapannya juga adalah berbeza. Ini mengelirukan dan memerlukan penjelasan yang sewajarnya. Menurut beliau, KDNK negara diunjurkan untuk tumbuh pada kadar 5% hingga 6%. Walaupun perbezaan ini hanya dalam lingkungan 1% tetapi ia akan memberi kesan yang sangat berbeza dan implikasi yang cukup berlainan.

Belanjawan 2012 Negeri Perak tidak lengkap dalam mencerminkan kaedah untuk merakyatkan ekonomi negeri Perak. Apakah pendekatan yang telah dibuat untuk merakyatkan belanjawan ini? Kerajaan Perak harus mencontohi kerajaan Selangor yang mengambil pendekatan yang lebih komprehensif. Belanjawan 2012 negeri Selangor melibatkan inisiatif kerajaan negeri bertemu rakyat di setiap kawasan kerajaan tempatan dan mendengar serta mendapatkan pandangan mereka tentang keutamaan yang diperlukan di kawasan masing-masing. Ini adalah pendekatan merakyatkan ekonomi atau kekayaan negeri, bukan sekadar retorik atau omong-omong kosong melaungkan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Terdapat banyak projek-projek perumahan yang dibiarkan terbengkalai di seluruh negeri Perak. Ini merupakan satu kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri yang sangat mendukacitakan. Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini? Pihak Perancangan Bandar, Kerajaan Tempatan, Pejabat Tanah & Daerah, Pemaju atau Kerajaan Negeri itu sendiri? Apakah inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini dan membantu pembeli-pembeli rumah yang teraniaya? Ramai yang telah membeli rumah dan sedang membayar hutang di bank tetapi tidak dapat menduduki rumah yang terbengkalai itu. Ini telah menyusutkan nilai sosio-ekonomi keluarga-keluarga yang terlibat.

Di sini, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada YAB Menteri Besar, apakah sumbangan negeri Perak dalam petunjuk ekonomi negara? Di manakah letaknya kedudukan negeri Perak pada masa ini? Berapakah peratus sumbangan negeri Perak dalam jumlah keseluruhan pelaburan negara kita? Saya juga ingin tahu adakah benar Perak telah corot kedudukannya dalam sayembara ekonomi menduduki tangga negeri ketiga termiskin di Malaysia?

Kenaikan gaji di negara kita sejak 15 tahun lalu adalah pada kadar 2.6% berbanding dengan kenaikan harga barang meningkat berlipat kali ganda daripadanya. Apakah langkah-langkah yang lebih efektif telah diambil oleh kerajaan negeri Perak untuk menangani inflasi yang semakin melonjak selain daripada mengadakan Gerai 1 Malaysia yang tidak praktikal untuk tujuan ini? Kita harus sedar bahawa rakyat terbanyak sedang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Bahana inflasi dan kadar pengangguran yang meruncing telah menolak sebahagian besar warga Perak dalam kesempitan hidup yang ketara.

Saya terpanggil untuk membangkitkan isu berhubung dengan pemberian tanah kepada sekolah-sekolah Tamil. Saya difahamkan tanah seluas 2000 ekar di Sungkai telah diberikan kepada Yayasan Perak untuk membantu sekolah-sekolah Tamil. Saya hendak tahu apakah hubungan Yayasan Perak dengan sekolah-sekolah Tamil? Mengapakah tanah itu tidak diberikan kepada mana-mana organisasi atau pertubuhan orang-orang India di negeri Perak? Apakah rasional tanah seluas 2000 ekar itu diberikan kepada Yayasan Perak dengan jumlah premium yang nominal iaitu lebih kurang RM8000?

Ini merupakan satu penipuan besar yang menghampakan masyarakat India di negeri Perak. Tanah kerajaan negeri telah diserahkan kepada Yayasan Perak dan membohongi masyarakat India bahawa tanah itu telah diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil. Kenapakah MIC membisu dalam hal ini? Sudah pasti MIC bersekongkol dengan kerajaan Perak untuk sekali lagi menipu masyarakat India di negeri Perak. Tetapi rakyat hari ini lebih arif dan faham akan budaya MIC 'Jauh menyalak kuat, dekat mencawat ekor'. Golongan ini tidak habis-habis menipu dan mencurangi masyarakat India selama 50 tahun.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Mengikut Akta Pelajaran, setiap sekolah harus mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah (LPS). Tetapi undang-undang ini tidak dipedulikan oleh sekolah-sekolah Tamil di Perak. Di Perak terdapat 134 sekolah Tamil. Setahu saya kurang daripada 10% sekolah-sekolah Tamil ini mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah. Kenapakah kerajaan negeri tidak mengambil sebarang usaha untuk menubuhkan Lembaga Pengurus Sekolah di setiap sekolah Tamil di Perak?

Ini merupakan satu kegagalan Kerajaan Negeri untuk memberi perhatian sewajarnya kepada kebajikan dan pembangunan sekolah-sekolah Tamil. Kalau kerajaan mahu mengharapkan MIC untuk tujuan ini, adalah sama seperti memberi tugas kepada Mat Jenin dan mengharapkan beliau menyiapkan kerja itu. MIC akan tunggu sampai gagak putih dan bangau hitam datang untuk menyelesaikan masalah ini. MIC juga mungkin mempunyai agenda tersendiri atau sesuatu muslihat untuk mengelak daripada menubuhkan Lembaga Pengurus Sekolah di Sekolah-sekolah Tamil di Negeri Perak. Di Pulau Pinang, 5 daripada 28 sekolah Tamil iaitu 17.8% mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah. Begitu juga di Selangor, lebih daripada 30% daripada sekolah-sekolah Tamil sudahpun mempunyai Lembaga Pengurus Sekolah.

Saya juga ingin mengucapkan syabas dan taniah kepada Yang Berhormat daripada Alor Pongsu kerana prihatin terhadap sekolah-sekolah Tamil di kawasan beliau. Saya hendak bertanyakan kepada Dewan yang mulia ini, tahukah Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gopeng sedang dimakan anai-anai? Perkara ini telah dibangkitkan berulang kali kepada pihak berkuasa tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya diambil setakat ini. SJKT Gopeng merupakan sebuah sekolah yang dibina pada tahun 1965.

Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Saya difahamkan pihak sekolah telah melaporkan perkara ini kepada pihak Pejabat Pelajaran Negeri Perak. Hasil daripada aduan tersebut, pihak Jabatan Kerja Raya telah menyiasat keadaan bangunan sekolah itu beberapa bulan yang lepas. Sebagai tindakan awal, pihak Jabatan Kerja Raya telah meterai salah satu daripada bilik darjah di sekolah itu. SJKT Gopeng hanya memiliki 6 bilik darjah dan 1 daripadanya tidak digunakan sekarang kerana telah reput dimakan anai-anai.

Saya telah mendapat maklumat bahawa ke semua bilik darjah menghadapi masalah anai-anai yang sangat serius. SJKT Gopeng mempunyai jumlah murid seramai 200 orang. Keselamatan anak-anak ini adalah penting dan harus diberi keutamaan. Ibubapa murid-murid sekolah ini sungguh mengharapkan pihak kerajaan mengambil tindakan segera sebelum apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di sekolah ini.

Satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan ialah SJKT Menglembu, Ipoh. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 304 orang murid-murid. Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan setakat ini. Setiap pemimpin yang melawat sekolah ini hanya memberi janji-janji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah ini.

Sekolah ini merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. SJKT Menglembu hanya memiliki 6 buah bilik darjah utama untuk menampung 304 orang murid-murid. Tambahan pula, bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan. Ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa di anaktirikan oleh kerajaan. Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin. Harap Dewan mengambil perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan ini.

Sungguh sedih dalam belanjawan ini tidak ada peruntukan yang secukupnya untuk sekolah-sekolah Tamil di negeri Perak. Kerajaan Negeri Perak hanya memberi RM1juta perbelanjaan utiliti untuk sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Untuk makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi RM4juta empat tahun berturut-turut kepada sekolah-sekolah Tamil sejak tahun 2009. Pada tahun ini, di bawah program 'Geran Selangorku', peruntukan tambahan yang dianggarkan lebih kurang RM5juta lagi akan diberikan untuk 97 sekolah Tamil di Selangor.

Begitu juga di Pulau Pinang, Kerajaan Pakatan Rakyat memberikan RM1.5juta pada tahun 2009, RM1.75 juta pada tahun 2010 dan RM1.75juta pada tahun 2011. Jumlah ini diberikan untuk ke semua 28 buah sekolah Tamil di Pulau Pinang. Sedangkan di Negeri Perak, yang mempunyai jumlah sekolah Tamil yang paling banyak di Malaysia, iaitu 134 buah sekolah, terpaksa berkongsi peruntukan untuk utiliti dengan sekolah-sekolah lain berjumlah hanya sekadar RM1juta sahaja. Ini membuktikan bahawa kerajaan ini sekali lagi menganak-tirikan sekolah-sekolah Tamil di negeri Perak.

Pada masa yang sama, saya juga kesal bahawa hanya RM500 ribu sahaja diperuntukan terhadap pendidikan anak-anak orang asli di bawah program Murid Cemerlang Orang Asli. Jumlah ini adalah terlalu rendah untuk membantu kaum orang asli yang amat memerlukan sokongan dan dokongan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Kerajaan boleh memperuntukan sejumlah RM3.5juta untuk Program Pemetaan Minda untuk sekolah-sekolah menengah tetapi tidak berjiwa besar untuk membantu masyarakat orang asli yang sentiasa dipinggirkan dalam segala aspek pembangunan negara. Saya berharap kerajaan akan menambahkan jumlah peruntukan pendidikan untuk membantu anak-anak orang asli supaya mereka juga turut menikmati arus pembangunan negara.

Sekali lagi, di Dewan yang mulia ini saya ingin membangkitkan isu permohonan tanah kolam oleh penternak-penternak ikan kui di Kampung Baru Bali, Tronoh. Permohonan telah dibuat oleh penternak-penternak ini untuk sekian lama tetapi kerajaan langsung tidak mempedulikan permohonan mereka. Pada tahun 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat telah bercadang untuk memberikan tanah kepada penternak-penternak ikan kui ini secara 'in situ' mengikut keluasan kawasan yang telah diusahakan oleh mereka.

Saya difahamkan perkara ini pernah dibincangkan dalam mesyuarat EXCO pada ketika itu. Kami juga pernah mengadakan mesyuarat dengan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian beberapa kali. Perbincangan juga selesai diadakan dengan penternak-penternak ikan kui ini. Kerajaan Pakatan Rakyat amat serius dan prihatian untuk menyelesaikan masalah ini. Tetapi, fail tersebut kini menghidapi penyakit sembelit di bawah urus tadbir kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan telah mengabaikan tanggungjawabnya kepada penternak-penternak ini. Malangnya penternak-penternak ikan kui ini masih lagi menunggu 'durian runtuh', tetapi mungkin pokok perlu ditumbangkan sebelum mereka dapat merasai nikmat itu pada masa hadapan.

Pada 20 Oktober 2011 satu mesyuarat mengenai Garispanduan Tempat Ibadat, Tanah Perkuburan dan Krematorium Orang-orang Bukan Islam Negeri Perak telah diadakan. Saya rasa sungguh sedih dan kecewa kerana garispanduan ini dikeluarkan oleh Urusetia Hal Ehwal Bukan Islam yang sepatutnya menjaga kepentingan orang-orang bukan Islam tetapi kini membelakangkan tanggungjawab itu seperti kerbau dicucuk hidung. Antara garispanduan yang diberikan ialah :

  1. Tanah untuk tempat ibadat tidak dibenarkan dibina di kiri kanan jalan utama.

  2. Penempatan satu tempat ibadat sahaja untuk satu fahaman bagi satu Bandar/Pekan/Kampong/ Penempatan/Kawasan dengan kepadatan penduduk tidak kurang daripada 1000 keluarga untuk Pusat Bandar/Bandar Utama dan tidak kurang daripada 300 keluarga bagi kawasan yang bukan Pusat Bandar/ Bandar Utama.

  3. Keluasan tanah untuk satu tempat ibadat ialah tidak melebihi 0.406 hektar (1 ekar)

  4. Setiap tempat ibadat hanya boleh digunakan bagi tujuan ibadat dan perayaan-perayaan agama sahaja dan tidak untuk tujuan-tujuan lain.

  5. Tempat ibadat hanya dibenarkan dibina di atas tanah yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan tidak di tempat-tempat lain seperti tempat kediaman dan lain-lain.

Usaha kerajaan untuk megenakan peraturan-peraturan ini adalah tidak sahih kerana ia adalah bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu Kebebasan Agama. Saya cukup yakin bahawa pak-pak angguk dari MIC, MCA dan Gerakan telah berlumba-lumba untuk menyokong dalam meluluskan garispanduan ini. Saya membantah sekeras-kerasnya terhadap garispanduan ini yang tidak direstui oleh golongan bukan Islam di negeri Perak.

Saya juga ingin tahu samada pemimpin-pemimpin politik boleh memasuki ke kawasan sekolah? Pada ketika ini, ramai pemimpin-pemimpin politik dari kalangan UMNO, MCA dan MIC mengambil kesempatan untuk memasuki perkarangan sekolah dengan alasan memberi wang RM100 kepada ibubapa. Mereka juga berkempen meraih undi untuk Barisan Nasional.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan beberapa pekeliling berkaitan dengan undangan kepada tetamu kehormat ke majils-majlis rasmi di sekolah. Antaranya Surat Pekeliling (Ikhtisas Bil. 10/1989 : Aturcara Majlis Rasmi Sekolah bertarikh 5 Oktober 1989, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1991 : Mengundang Orang-Orang Kenamaan Ke Upacara Sekolah/Institusi Pendidikan bertarikh 16 Mei 1991 dan yang terbaru berhubung perkara ini adalah Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2008 : Mengundang Orang-Orang Kenamaan Ke Upacara Sekolah dan Penggunaan Premis Sekolah Oleh Pihak Luar bertarikh 31 Mac 2008.

Walau bagaimanapun, setakat ini Kementerian Pelajaran Malaysia tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan secara spesifik yang melarang Ahli Parlimen atau wakil rakyat untuk menyertai ataupun memasuki sekolah. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bahawa semua majlis rasmi di sekolah yang melibatkan majlis perasmian oleh orang-orang kenamaan atau individu-individu tertentu, hendaklah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pengarah Pelajaran Negeri masing-masing terlebih dahulu bagi memastikan majlis yang dianjurkan bukan untuk bertujuan politik serta tidak mengganggu pengajaran dan pembelajaran murid. Adalah tidak wajar institusi pendidikan dipengaruhi mana-mana ideologi politik di negara kita. Saya ada maklumat kukuh bahawa Ketua Bahagian MIC Batu Gajah telah memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Changkat dengan alasan memberi wang RM100 tetapi berkempen untuk Barisan Nasional. Perkara ini perlu disiasat dan diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa.

Pada hemat saya, jumlah peruntukan wang untuk Pihak Berkuasa Tempatan juga adalah terlalu sedikit iaitu hanya RM3.5juta sahaja untuk melaksanakan pelbagai projek termasuk pembangunan infrastruktur, perkhidmatan bandar, kemudahan awam dan kemudahan komersial. Pihak Berkuasa Tempatan merupakan badan bermatlamat serampang dua mata yang paling rapat dengan rakyat jelata tetapi peruntukan untuk kesemua Pihak Berkuasa Tempatan itu hanya 0.41% daripada jumlah perbekalan sebanyak RM847,255,200. (Lapan Ratus Empat Puluh Tujuh Juta Dua Ratus Lima Puluh Lima Ribu Dua Ratus Ringgit)

Dalam pada itu, saya juga berasa kesal dengan tindakan Majlis Daerah Batu Gajah kerana mengubahsuai tapak buah-buahan berhampiran dengan Taman Orkid. Tempat ini merupakan satu tapak kosong yang luas berhadapan dengan pasar awam Batu Gajah. Tapak ini telah dibina lebih kurang 3 tahun yang lalu dan berada dalam keadaan yang cukup baik. Sudah tentu Majlis Daerah telah membelanjakan beratus ribu ringgit menyiapkan tapak ini. Pada hari Ahad dan pada musim perayaan, tapak ini digunakan oleh orang ramai sebagai tempat letak kereta. Ini adalah kerana pasar awam Batu Gajah tidak mempunyai tapak tempat letak kereta yang mencukupi. Selain daripada itu, tapak ini juga digunakan untuk mendirikan gerai-gerai pada bulan Ramadhan.

Tiba-tiba Majlis Daerah Batu Gajah mula membuat satu projek baru yang tidak diketahui umum di tapak ini. Tidak ada sebarang papan tanda di tapak itu untuk menerangkan atau memberi maklumat mengenai projek yang dijalankan. Apa gunanya mewar-warkan 'Local Agenda 21' jika Majlis Daerah tidak telus dalam memberitahu wakil rakyat dan penduduk tempatan tentang projek yang dijalankan di sesuatu kawasan di bawah bidang kuasanya?

Melihatkan kerja-kerja yang sedang dijalankan, projek ini sudah tentu menelan belanja beratus ribu ringgit. Ini adalah satu projek semata-mata untuk menghabiskan wang rakyat dan tidak membawa sebarang keuntungan ekonomi kepada orang ramai.

Banyak lagi projek-projek yang lebih berfaedah perlu dilaksanakan tetapi tidak dihiraukan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah. Aduan rakyat mengenai longkang tersumbat, jalan rosak, masalah banjir kilat, keperluan lampu jalan, kerosakan alat-alat mainan di padang permainan dan macam-macam lagi tidak dipedulikan oleh pihak Majlis Daerah. Natijahnya, ini menimbulkan perasaan marah dan meluat di kalangan orang ramai yang membuat aduan mengenai masalah harian yang dihadapi oleh mereka. Pembayar cukai taksiran diabaikan dengan alasan tidak cukup dana.

Saya hendak bertanyakan kepada YAB Menteri Besar, adakah benar seorang ahli MCA (kalau tak silap saya ketua Wanita MCA Bahagian Batu Gajah) yang mungkin juga akan dicalonkan dalam pilihanraya akan datang, telah diambil kerja secara kontrak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Batu Gajah. Seringkali saya melihat beliau mempamerkan dirinya dalam akhbar. Bukankah amalan ini bertentangan dengan konsep neutraliti perkhidmatan awam? Ini merupakan salahguna kuasa yang amat jelas sekali. Seorang ahli politik diberi jawatan awam semata-mata untuk mengambil kesempatan meraih undi daripada golongan fakir miskin yang datang ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Batu Gajah. Mohon perkara ini disiasat dengan segera.

Perak masih mempunyai masalah setinggan yang sangat ketara. Kita tidak mahu rakyat tinggal sebagai setinggan dan duduk merempat di negeri sendiri. Saya amat terpikat dengan program setinggal sifar yang dijanjikan oleh YAB Menteri Besar menjelang tahun 2012. Walaupun 9994 kes setinggan iaitu 69.98% telah diselesaikan setakat ini, tetapi masih mempunyai 30.02% yang belum diselesaikan lagi. Pada hemat saya, kerajaan sudah pasti tidak dapat selesaikan masalah ini dalam tempoh 12 bulan akan datang. Walau bagaimanapun, saya juga berminat untuk mengetahui status kawasan setinggan di Batu Gajah dan Tronoh.

Saya memohon YAB Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah setingan di Tronoh Mines, Kampung Ara Payung dan Kampung Sri Kanthan, Kampung Kamariah, Kampung Pasir, Perak River-Hydro dan Siputeh Jalan Tronoh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Baru-baru ini sekumpulan petani dan penternak dari kawasan Bakap, bersempadan dengan Kinta Valley Estate telah datang berjumpa dengan saya. Mereka mengadu bahawa tanah yang mereka mohon itu telah dicerobohi oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan mengambil pasir (mungkin curi pasir).

Saya telah membawa mereka ke Pejabat Tanah & Daerah Batu Gajah untuk menyemak status permohonan tanah tersebut, mengikut rekod komputer dan pelan di pejabat itu didapati bahawa keseluruhan tanah yang mereka mohon itu telah diberi milik kepada seorang yang tidak mengusahakan tanah itu. Ini telah memeranjatkan semua pemohon yang datang pada hari itu. Kemudian apabila perkara ini dirujuk semula kepada pegawai atasan, kami dimaklumkan bahawa tanah itu memang telah diluluskan kepada seorang lelaki dan kemudiannya telah dibatalkan kelulusan itu oleh kerajaan negeri. Saya rasa amat curiga dengan aktiviti meluluskan tanah dan kemudian membatalkan kelulusan itu secara sewenang-wenangnya. Mohon YAB Menteri Besar memberi penjelasan mengenai perkara ini juga.

Sebagai penutup tirai, saya memohon maaf jika ada kata-kata yang telah menguris hati mana-mana pihak, bajak biasa terdorong, perkataan biasa terlanjur. Sebelum mengakhiri perbahasan, ingin saya membacakan serangkap pantun untuk seisi Dewan yang mulia ini.

Belanja Kawan Siap Dibentang
Ditabur Gula Sekeliling Pinggang
Barisan Nasional Tetap Ditentang
Malaysia Selamat Rakyat Senang


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional