http://pgforward.blogspot.com/
Kenyataan media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada hari Jummat, 25hb November 2011: Tindakan saman mahkamah akan diambil terhadap Utusan Malaysia dan sebagainya Demi membersihkan nama saya ekoran didakwa menghina dua orang wanita yang berkahwin dengan warga Bangladesh sebagai Pengkhianat Negara, saya akan mengambil tindakan saman mahkamah terhadap Utusan Malaysia, Sarimah Packeer dan Fatimah Sharmin. Saya akan mengarahkan peguam saya supaya mengeluarkan notis peguam kepada ketiga-tiga pihak yang tersebut di atas. Jikalau Utusan Malaysia dan kedua-dua pihak yang lain gagal menarik balik kenyataan atau laporan mereka, maka tindakan saman mahkamah akan disusuli selepas itu. Semua saksi yang turut berada di tempat kejadian dapat membuktikan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan sebarang perkataan yang berbaur perkauman, termasuk istilah "Pengkhianat Negara" seperti yang didakwa. Saya tidak pernah menghalau warga-warga Bangladesh balik ke negara asal mereka walaupun saya tetap dengan pendirian saya bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap pendatang-pendatang asing yang haram. Saya tidak mengenali kedua-dua wanita tersebut dan Fatimah Sharmin langsung tidak berada di tempat tersebut. Fatimah Sharmin merupakan seorang Muslim Cina yang berkahwin dengan seorang warga Bangladesh manakala Sarimah Packeer merupakan seorang Muslim India yang berkahwin dengan seorang warga Bangladesh. Jikalau saya langsung tidak terserempak dengan Fatimah Sharmin, macam mana saya boleh didakwa melemparkan kata-kata kesat terhadapnya. Bagi Sarimah Packeer, saya juga tidak bercakap terus dengannya dan macam mana saya dapat menghinanya. Jikalau istilah tersebut tidak pernah terlintas dalam pemikiran saya, macam mana saya boleh mengeluarkan kata-kata demikian. Sememangnya, saya amat tidak berpuas hati dengan kewujudan kedai kitar semula yang tidak berlesen di kawasan tersebut. Banyak kali saya menerima aduan daripada peniaga-peniaga serta penduduk-penduduk di sekitarnya yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap risikonya berlaku kebakaran di sini. Kedai tersebut yang sebelum ini beroperasi di Lebuh Noordin juga terlibat dalam suatu kebakaran maut awal tahun ini. Maka, tindakan yang tegas perlu diambil sebelum berlakunya sesuatu yang di luar jangkaan kita. Saya amat kesal dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan Oh Tong Keong, Ketua Pemuda Gerakan Negeri Pulau Pinang yang terus membuat tuduhan terhadap saya tanpa mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku. Kepentingan penduduk-penduduk setempat perlulah dipertahankan supaya mereka tidak akan hidup dalam ketakutan lagi. Ng wei Aik, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang & ADUN Kawasan Komtar
|