http://lokesiewfook.blogspot.com/
Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 31hb Oktober 2011: DAPSY mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap AUKU dan menempelak hipokrasi Pemuda MCA DAPSY mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara. Keputusan ini adalah satu kemenangan moral kepada kebangkitan gerakan mahasiswa di Malaysia yang telah lama memperjuangkan pemansuhan AUKU. 4 pelajar UKM yang membawa kes mereka ke mahkamah sehingga terhasilnya keputusan ini perlu dipuji di atas keberanian dan semangat perjuangan mereka yang cukup tinggi. DAPSY juga bersetuju dan menyokong saranan pertubuhan pelajar GAMIS yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan serta merta. Sememangnya AUKU perlu dimansuhkan seperti ISA dan mengembalikan autonomi dan kebebasan akademik kepada pihak universiti. AUKU telah lama mengonkong pemikiran mahasiswa tempatan dan melenyapkan budaya pemikiran kritis di kampus-kampus universiti awam. Namun, hipokrasi politik Pemuda MCA cukup terserlah dalam kenyataan Ketua Pemudanya Datuk Wee Ka Siong yang mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini. Ka Siong mengatakan Pemuda MCA konsisten dalam pendirian mereka selama ini yang menuntut supaya Seksyen 15 AUKU dibatalkan. Saya ingin mengingatkan Ka Siong semasa Rang Undang-undang untuk meminda AUKU dibahaskan di Parlimen pada tahun 2008, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen MCA yang memperjuangkan supaya Seksyen 15 AUKU dibatalkan. Malah, cadangan-cadangan untuk meminda Seksyen 15 oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di peringkat Jawatankuasa juga ditentang oleh Ahli Parlimen BN termasuk MCA. DAPSY akan terus memperjuangkan pemansuhan AUKU dan kami akan menyokong segala usaha yang dibawa oleh gerakan mahasiswa untuk menghapuskan AUKU. Malah, pemansuhan AUKU merupakan salah satu agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya kita mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU yang ke-13 nanti. * Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah
|