red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 4hb Oktober 2011: 

Datuk Seri Rais Yatim tidak seharusnya berbohong seperti Utusan Malaysia; sebaliknya beliau harus membuktikan mana satu program rasmi kerajaan negeri Pulau Pinang yang dihadiri beliau mengenepikan Bahasa Malaysia 

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim telah membuat kenyataan palsu yang berbahaya bahawa program rasmi yang dihadiri beliau di Pulau Pinang hanya menggunakan Bahasa Inggeris dan Mandarin. Rais seharusnya tidak berbohong seperti Utusan Malaysia; sebaliknya beliau harus membuktikan mana satu program rasmi anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang meminggirkan Bahasa Malaysia.

Saya mengesyaki bahawa program rasmi yang dirujuk oleh Rais adalah satu program di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang di mana beliau menjadi tetamu kehormat mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 September 2011. Saya ingin mengingatkan Rais bahawa Kolej Han Chiang merupakan kolej swasta dan program tersebut dianjurkan oleh Han Chiang dan bukannya Kerajaan Negeri.

Kenyataan Rais bahawa beliau seorang sahaja menggunakan Bahasa Kebangsaan dan sedikit sahaja Bahasa Inggeris adalah tidak benar. Saya juga turut bercakap menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Mengapa Rais tidak menyebut bahawa saya juga turut bertutur dalam Bahasa Malaysia? Jika Rais tidak berasa gembira dengan program yang dianjurkan oleh Kolej Han Chiang, mengapa beliau tidak menyampaikan rasa tidak puas hati tersebut kepada Han Chiang? Mengapa beliau tidak menuntut penjelasan daripada Han Chiang?

Sebaliknya Rais memilih untuk tidak berlaku adil dengan menyalahkan Kerajaan Negeri untuk program yang dianjurkan oleh sebuah kolej swasta. Kenyataan palsu terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini jelas bertujuan untuk memainkan sentimen perkauman kononnya Pulau Pinang tidak menghargai Bahasa Malaysia. Kenyataan sebegini tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional. Rais turut menggesa orang Melayu di Pulau Pinang supaya membangkitkan isu tersebut.

Jika Rais boleh membuktikan mana satu program rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pianng yang dihadiri beliau tidak menggunakan Bahasa Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan bagi membetulkan kesalahan tersebut. Walau bagaimanapun sekiranya beliau gagal untuk membuktikannya, maka beliau harus menarik balik dan meminta maaf atas kata-kata tersebut. Jika tidak, beliau akan dituduh sebagai seorang yang tidak bermaruah dan yang bersikap perkauman kerana cuba membangkitkan sentimen perkauman.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan kekecewaan terhadap percubaan sistematik dan bersiri yang dilakukan untuk melemahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja berbau perkauman tetapi juga jelas merupakan satu pembohongan. Walaupun pilihan raya umum dijangkakan menjelang tiba, pembangkitan isu perkauman bukan sahaja satu cubaan terdesak tetapi juga perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan yang boleh mengancam keharmonian dan kestabilan masyarakat.

Walaupun BN mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang, kemenangan ini harus bermaruah dan berdasarkan kebenaran, bukan pembohongan.

Saya terkejut dengan serangan terbaru BN terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan peribadi saya sendiri. Saya tidak akan membalas serangan peribadi Rais terhadap saya. Serangan Rais ini mengekori laporan merapu dalam The New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia pada 02/10/2011 bahawa ada kemungkinan yang saya telah mendedahkan rahsia negara kepada pemimpin Singapura dalam satu majlis makan malam. Laporan tersebut turut mempersoalkan kesetiaan saya kepada negara.

Saya tidak faham mengapa kesetiaan saya kepada Malaysia turut dipersoalkan seperti mana yang dilaporkan dalam NST apabila saya tidak mempunyai status pemastautin tetap di negara Australia walaupun saya merupakan graduan lulusan Universiti Monash. Kenapa laporan NST tidak pula mempersoalkan kesetiaan pemimpin-pemimpin BN yang mempunyai status PR di Australia?

Datuk Seri Rais, bola berada di gelanggangmu. Apa kata anda?


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional