|
Teks ucapan Lim Kit Siang semasa menyertai perbahasan ke atas usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen Mengenai Pembaharuan Pilihanraya di Dewan Rakyat pada hari Isnin, 3hb Oktober 2011:
Teks ucapan semasa menyertai perbahasan ke atas usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen Mengenai Pembaharuan Pilihanraya di Dewan Rakyat
Saya mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen ini tetapi masih mempunyai keraguan.
Sejak tahun 70an di Parlimen, DAP telah menyeru supaya system pilihanraya mestilah bebas, adil dan bersih. Antara cadangan pembaharuan yang dikemukakan oleh DAP termasuklah:
Senarai pengundi yang bersih, jujur dan komprehensif di mana satu sistem pendaftar pengundi otomatik dilaksanakan dan setiap rakyat yang mencapai umur mengundi akan disenaraikan, beserta dengan proses pembersihan senarai pengundi dan menghapuskan semua pengundi hantu dan tidak sah;
Penurunan umur pengundi sah dari 21 menjadi 18 tahun;
Kempen pilihanraya yang adil supaya pengundi diberikan masa yang cukup untuk mendapat segala maklumat yang diperlukan bagi mereka membuat keputusan yang sewajarnya dalam memilih parti dan calon yang disokongnya;
Menghapuskan segala kesalahn dan praktik pilihanraya yang korup, seperti politik wang di mana undi dibeli-jual;
Menghapuskan penyelewengan undi pos;
Memperkenalkan konsep kerajaan caretaker untuk melaksanakan tugas pentadbiran harian sepanjang tempoh selepas parlimen dibubarkan hingga ke hari pengundian di mana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dilarang dari menyalahgunakan kuasa, sumber atau dana jawatan rasmi mereka untuk sebarang tujuan kempen pilihanraya dan menghadapi risiko kehilangan kelayakan bertanding sekiranya mereka melanggari peraturan begini – sepertimana yang berlaku kepada Perdana Menteri India, Indira Gandhi dalam tahun 1975 di mana pemilihannya ke Parlimen didapati tidak sah kerana melakukan salahlaku pilihanraya dengan menggunakan sumber-sumber kerajaan termasuk helicopter kerajaan dalam kempen beliau;
Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas, kredible dan professional unutk melaksanakan tugas perlembagaan mengendalikan pilihanraya yang bebas dan adil, dan bukannya satu badan yang mendakwa bahawa ianya bertanggungjawab mengendalikan proses pilihanraya tetapi tidak berkuasa untuk memastikan pilihanraya itu bersih, adil dan bebas;
Akses yang bebas dan adil kepada media;
Pembahagian kawasan pilihanraya yang adil dan demokratik supaya prinsip “satu orang, satu undi, satu nilai” dipertahankan.
Seruan DAP selama empat dekad ini tidak dihiraukan oleh UMNO dan Barisan Nasional kerana mereka berjaya meneruskan kuasa pemerintahan mereka berpandukan sistem pilihanraya yang tidak demokratik, tidak adil malah penuh dengan praktik-praktik korup.
Adakah sekarang, Perdana Menteri, UMNO dan Barisan Nasional tiba-tiba bertukar hati berikutan dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk pembaharuan pilihanraya di Dewan yang mulai ini?
Sungguhpun Datuk Seri Najib Razak kini nampaknya memeluk semangat pembaharuan politk dan demokratik, rakyat berhak bertanya samada Perdana Menteri benar-benar berhasrat murni dengan tiba-tiba bertukar menyokong usaha pembaharuan pilihanraya ini.
Ini berikutan dengan tindakan kerajaan yang menindas dan tidak demokratik dalam menangani perhimpunan aman Bersih-2 pada 9hb Julai (709) lepas yang menuntut supaya pilihanraya adil dan bebas di Negara ini.
Jikalau ada mana-mana orang yang diminta melaksanakan satu tugas khas iaitu menulis segala senario terburuk mengenai cara pentadbiran Najib menguruskan perhimpunan aman Bersin 2.0 yang menuntut pilihanraya bersih dan adil, tiada siapa pun yang cukup kreatif untuk merancang terdahulu kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum, semasa dan selepas 709.
Sebelum 709:
Secara sewenang-wenangnya mengumumkan bahawa Bersih 2.0 adalah menyalahi undang-undang.
Mengharamkan kemeja-T Bersih dan sebarang benda-benda yang berkaitan, termasuk kemeja-T berwarna kuning, serta melakukan penahana yang sembarangan.
Pihak berkuasa mungkir janji setelah satu kompromi dicapai untuk perhimpunan diadakan di dalam stadium dan bukannya secara perarakan sungguhpun cadangan ini diterimabaik oleh Bersih 2.0.
Sekatan jalan oleh pihak polis mengakibatkan kesesakan jalanraya yang teruk di semua jalan masuk dan keluar Kuala Lumpur, jalan-jalan di beberapa kawasan di kotaraya ditutup sama sekali, menyebabkan rakyat tidak sempat mengambil bahagian.
Ugutan yang berbentuk liar dan ekstrim bahawa demonstrasi-kaunter dan huru-hara perkauman termasuk ugutan akan berlakunya “satu lagi peristiwa 13 Mei.
Menyalahgunakan proses mahkamah menerusi injunksi satu pihak, mengharamkan para pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat dari masuk ke kawasan-kawasan utama di KL pada 709.
Kempen maki hamun yang tidak berasas untuk memburuk-burukkan para pemimpin Bersih, khasnya pengerusi Bersih, S Ambiga, yang bertujuan mencetuskan kebencian dan ketegangan agama dan kaum.
Percubaan setiap hari menerusi kempen benci-membenci dan pembohongan oleh media arus utama BN – bercetak dan elektronik – khasnya Utusan Malaysia.
Salah guna kuasa yang serius dengan menahan Ahli Parlimen PSM Dr Michael Jeyakumar dan lain-lain aktivis PSM, mula-mulanya atas dakwaan yang tak masuk akal kononnya mereka hendak “melancarkan perang terhadap Agong” dan “menghidupkan kembali komunisma”m dan kemudiannya pula menahan mereka di bawah Ordinan Darurat (EO) tanpa perbicaraan.
Refusal/failure of the Election Commission to respond to Bersih 2.0’s eight demands for free, fair and clean elections.
Semasa 709:
Tindakan keras polis yang melakukan penahanan beramai-ramai dan kes-kes individu di mana polis melakukan keganasan dan kekejaman.
Peristiwa kematian Baharuddin Ahmad.
Penggunaan gas pemedih mata secara sembarangan dan cuai tanpa memberikan notis ke dalam terowong KL Sentral – satu kawasan yang tertutup – tidak menghiraukan keselamatan para pemimpin Bersih dan Pakatan Rakyat serta orang ramai.
Penembakan gas pemedih mata serta pemecut air bercampur bahan kimia yang sembarangan dan menyalahi undang-undang ke dalam kawasan hospital Tung Shun.
Selepas 709:
Ucapan Najib yang garang di depan 6000 pemimpin UMNO sehari selepas 709.
Kredibility UMNO dan polis yang terus menjunam kerana mempertikaikan bahawa seramai 50,000 orang telah berkumpul menyokong perhimpunan Bersih 2.0, di mana Ketua Polis Negara mendakwa hanya 6000 orang yang hadir, manakala Hishammuddin pula berkata 10,000 orang, dan Najib pula berkata di London hanya15000 orang yang hadir di perhimpunan tersebut.
Menolak tanggungawab salah urus perhimpunan Bersih 2.0, khasnya menafikan bahawa polis bertindak kejam dan ganas dan melontar gas pemedih mata dan serangan pemecut air di Hospital Tung Shin (oleh Menteri Kesihatan Datuk Liow Tong Lai) serta terowong KL Sentral sungguhpun terdapat bertimbun-timbun bukti samada dalam bentuk saksi atau rekod video.
Amaran oleh Timbalan Menteri Kewangan Awang Adek bahawa Bank Negara boleh membekukan harta para pemimpin Bersih.
Penapisan artikel Economist “Taken to the cleaners – an overzealous government response to an opposition rally”.
Kempen fitnah dan dusta media arus perdana BN yang mereka cerita “hantu” dan “musuh” sehinggakan Jabatan Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan suatu kenyataan – yang jarang dilakukannya – yang hanya ditujukan kepada media asing untuk menjauhkan diri dari dakwaan Utusan bahawa Bersih mempunyai hubungan Yahudi yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN – yang turut menggambarkan kegagalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO untuk melakukan sekatan dan kawalan ke atas Utusan, iaitu suratkhabar rasmi UMNO.
Bagaimanakah suatu kerajaan boleh melakukan begitu banyak kesilapan sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman Bersih 709?
Hasilnya, lawatan rasmi Perdana Meneri ke United Kingdom, Vatican dan Perancis menjadi malapetaka kerana Perdana Menteri kerap diburu oleh media antarabangsa dan ditanya soalan mengenai salah urus kerajaan dalam isu perhimpunan aman Bersih 2.0 ini.
Adakah Perdana Menteri akhirnya terjaga oleh hakikat bahawa beliau telah salah urus perhimpunan Bersih-2 709 yang menyebabkannya kehilangan sokongan rakyat Malaysia pada keseluruhannya?
DAP, Pakatan Rakyat, masyarakat madani dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya kini mempunyai sebab yang amat munasabah untuk meragui keikhlasan dan tujuan sebenar cadangan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen kerajaan ini – samada ianya suatu pertukaran hati yang sebenar, ataupun ia hanya sekadar helah politik.
Memandangkan kita akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen ini, maka usul ini tidak sesuai dijadikan perbahasan penuh mengenai pembaharuan system pilihanraya yang bersih, adil dan bebas kerana ianya sepatutnya ditangani oleh Jawatankuasa Pilihanan Parlimen, tetapi rakyat Malaysia berhak diberikan jaminan yang tegas bahawa Jawatankuasa Pilihanan Parlimen ini bukannya suatu helah politik tetapi merupakan ‘pertukaran hati’ sebenar untuk membaharui system pilihanraya kita.
Bolehkah Perdana Metneri memberikan jaminan-jaminan berikut yang termasuk:
satu jaminan tegas bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan dan pilihanraya umum seterusnya tidak akan diadakan sehingga cadangan-cadangan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen serta system pilihanraya yang menjaminkan pilihanraya bersih, bebas dan adil dapat dilaksanakan?
Lapan Tuntutan Pilihanraya Yang Bebas dan Adil oleh Bersih-2.0 dimasukkan ke dalam terma rujukan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen;
Menarik balik pengharaman yang dikenakan ke atas Bersih-2.0 dan melakukan rundingan menyeluruh dengan semua pihak berkenaan dan masyarakat madani dalam proses pertimbangan dan membuat keputusan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen.
Jawatankuasa Pilihanan Parlimen tidak menjadi alasan oleh Suruhanjaya Pilihanraya untuk tidak melakukan pembaharuan pilihanraya segera yang tidak perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen, misalnya membersihkan senarai pengundi, menghapuskan salah laku pilihanraya dan memastikan setiap rakyat yang cukup umur dapat membuang undi mereka dalam pilihanraya nanti.
Saya ingin mengumumkan di sini bahawa, sungguhpun kita mempunyai pendapat yang berbeza-beza, dan tidak kira apa yang berlaku di masa lepas, termasuk peristiwa Bersih-2.0 709, dan tidak kira berapa banyak syak wasangka dan keraguan terhadap bona fides cadangan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen ini, DAP, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya ingin lihat Jawatankuasa Pilihanan Parlimen ini berjaya membawa pembaharuan pilihanraya supaya system pilihanraya Negara kita benar-benar bebas, adil dan bersih.
Kami berjanji akan memberikan segala sokongan kepada Jawatankuasa Pilihanan Parlimen untuk menjayakannya dan bukannya gagal seperti dua Jawatankuasa Pilihan yang lepas – iaitu mengenai Integriti Negara dan mengenai Perpaduan Negara, yang tidak dapat mengemukakan laporan muktamad mereka sebelum parlimen dibubarkan. Pada hakikatnya, dalam kes Jawatankuasa Pilihanan Parlimen Mengenai Integriti Negara, Menteri yang mempengerusikannya, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri masa itu, Tan Sri Bernard Dompok, terpaksa meletak jawatan kerana kecewa dengan segala jenis rintangan, bantahan malah pemulauan jabatan-jabatan kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan kanan semasa cuba mendapatkan maklumat dari mereka, khasnya apabila menyentuh perihal Projek Mahathir yang didakwa bertanggungjawab menghalalkan pendatang tanpa izin secara besar-besaran dan memberikan kuasa mengundi kepada mereka ini di Sabah menerusi pengeluarkan dokumen-dokumen kerakyatan yang palsu!
Bolehkah Perdana Metneri memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang rintangan, bantahan atau pemulauan dari pihak jabatan atau pegawai kerajaan kali ini dan Jawatankuasa Pilihanan Parlimen Mengenai Pembaharuan Pilihanraya ini akan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak kerajaan termasuklah sekiranya ia menyiasat mengenai Projek Mahathir?
Sementara wakil-wakil DAP dan Pakatan Rakyat di Jawatankuasa Pilihanan Parlimen ini akan memberikan segala kerjasama yang diperlukan untuk menjayakan matlamat Jawatankuasa Pilihanan Parlimen sebagai satu proses pendemokrasian Malaysia, kita tidak akan menyokong sekiranya Jawatankuasa Pilihanan Parlimen ini bertukar menjadi satu helah politik yang hanya memberikan markah politik tambahan kepada Perdana Menteri dan BN tanpa sebarang hasrat untuk melaksanakan pembaharuan yang benar-benar membawa kepada system pilihanraya yang bebas, adil dan bersih dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Sebagai kesimpulan, saya menyeru supaya Perdan Menteri menunaikan janji-janjinya baru-baru ini yang kononnya hendak menjadikan Malaysia “best democracy in the world” dan menarik balik perisytiharannya di Perhimpunan Agong UMNO tahun lepas iaitu “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa”, bahawa beliau, UMNO dan Barisan Nasional akan menerima keputusan rakyat, termasuk keputusan untuk bertukar kerajaan di Putrajaya, dalam pilihanraya yang akan datang.
*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor
|
|