red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://liewchintong.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Liew Chin Tong di Pulau Pinang pada hari Sabtu, 3hb September 2011:

Jurukamera Malaysia terkorban di Somalia: DAP hulur takziah

Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama yang terkorban semasa bertugas di Mogadishu, ibu kota Somalia, yang dilanda kemarau dan peperangan. Berita pemergian Allahyarham di kala keluarganya menyambut Syawal menyedihkan seluruh Rakyat Malaysia.

Allahyarham Noramfaizul berada di Somalia sebagai salah seorang daripada anggota pasukan media yang membuat liputan lawatan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI ke negara tersebut. Beliau terkorban terkena tembakan apabila kenderaan yang dinaiki diserang tentera pemberontak. Dalam kejadian tersebut, seorang lagi jurukamera TV3 Aji Saregar Mazlan turut mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

Menurut NGO media antarabangsa "Reporters Without Borders", Somalia merupakan negara Afrika yang paling merbahaya kepada anggota media dengan 23 kematian anggota media sejak 2007.

Semangat Allahyarham dan pasukan media yang bertugas mengiringi lawatan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI tersebut amat disanjungi kerana keberanian mengharungi cabaran atas amanat sebagai anggota media. Namun, DAP ingin menegaskan bahawa pihak penganjur misi ke zon merbahaya seperti Somalia perlu mengambil serius segala protokol keselamatan terhadap anggota rombongan. DAP juga menggesa agar satu siasatan dijalankan ke atas kejadian ini termasuk mengenalpasti jika wujud jurang dalam perlaksanaan aspek keselamatan.


* Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional