red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Isnin, 5hb September 2011:

PRU13: Melahirkan kematangan politik sistem 2 parti

Setelah melalui 12 Pilihanraya Umum, Malaysia sekarang bersedia untuk menghadapi Pilihanraya yang ke 13 seolah-olah sudah wujud sistem dua parti di negara ini. Walaupun perkara ini masih kabur tetapi pertembungan diantara 2 gabungan kuasa besar akan pasti merintis satu pola baru dalam dinamika politik Malaysia. Dua gabungan iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat terdiri daripada komponen-komponen parti politik yang mempunyai ideologi dan kepentingan tersendiri. Gabungan yang dibentuk ini adalah bertujuan menguatkan semua parti-parti yang terlibat dalam pilihanraya. Di Malaysia, tidak ada satu parti pun yang berani berkata bahawa ia boleh menubuhkan kerajaan tanpa ikatan dengan parti-parti komponen yang lain.

Dalam Pilihanraya Umum ke 12, Barisan Nasional yang mempunyai satu gabungan kuat UMNO, MCA, Gerakan, PPP dan parti-parti lain bertembung dengan satu daripada parti pembangkang samada DAP, PAS ataupun PKR. Pertarungan diantara kerajaan dan pembangkang di gelanggang pilihanraya seolah-olah 'pipit berperang dengan garuda'. Pembangkang tidak pernah mempunyai satu gabungan yang kukuh. Hubungan diantara parti-parti pembangkang adalah lemah dan hanya sekadar menepati strategi satu lawan satu dalam pilihanraya umum yang lepas. Tetapi, dalam pilihanraya itu, satu tsunami politik telah mengubah corak permainan politik di negara ini. Ketiga-tiga parti pembangkang yang utama telah menzahirkan satu gabungan yang nyata dan kukuh iaitu Pakatan Rakyat. Malah gabungan ini telah berjaya menubuhkan kerajaan di 5 buah negeri selepas pilihanraya tersebut. Oleh yang demikian wujudlah sistem 2 gabungan parti-parti politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.

Ini adalah satu perkembagan positif dan perlu diterima secara hati terbuka oleh seluruh rakyat negara kita. Ini membuktikan negara kita sedang melalui evolusi politik yang lebih matang. "apabila politik sesebuah negara sudah matang, bilangan parti-parti politik yang banyak akan menjadi semakin kurang dan menguncup", kata Ahmad Boestamam, seorang tokoh politik yang terkemuka di negara kita. Kini, rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan. Mereka bukan lagi terbelenggu dengan dogma 'Barisan Nasional harus menjadi kerajaan, yang lain menjadi pembangkang'. Rakyat sedar bahawa mereka sudah mempunyai alternatif untuk mengubah kerajaan yang memerintah. Tambahan pula, Pakatan Rakyat yang dianggap sebagai pembangkang juga telah membuktikan kehandalan mereka memerintah negeri-negeri di bawah kekuasaannya. Malah rekod atau prestasi pencapaian Pakatan Rakyat adalah lebih mantap dan hebat daripada negeri-negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Sebagai contoh, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, German dan lain-lain lagi sudah lama mengamalkan sistem 2 parti. Rakyat hanya memilih diantara 2 parti yang bertanding. Sering kali rakyat memilih secara bergilir-gilir untuk memberi peluang kepada kedua-dua parti untuk memerintah negara. Rakyat dapat membuat satu penilaian yang bijak berdasarkan polisi-polisi yang diketengahkan oleh kedua-dua pihak yang bertanding. Ini mewujudkan persaingan yang hebat serta melahirkan dasar-dasar negara yang membina dan bernas untuk kepentingan rakyat jelata. Tambahan pula sistem ini berpotensi untuk mengikis amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Rakyat negara kita seharusnya membuka minda menerima sistem 2 parti ini untuk pembangunan yang lebih ketara.

Sistem ini membenarkan peralihan kuasa yang licin daripada satu pihak kepada pihak yang lain. Ini dapat membendung pemusatan kuasa yang terlampau dan terlalu lama dipegang satu pihak yang menjadi kerajaan. Sistem 2 parti ini juga korelasi dengan falsafah yang mengingatkan kita bahawa 'power corrupts, absolute power corrupts absolutely' Sejak tsunami pilihanraya 2008, politik Malaysia buat pertama kalinya memberi satu harapan bahawa pembangkang mempunyai peluang untuk memerintah negara ini. Walaupun kewujudan sistem 2 parti masih samar-samar di negara kita, tetapi pembentukan 2 gabungan politik itu sendiri boleh dianggap sebagai kematangan politik yang licau serta berjaya melakar hala tuju negara ke tahap yang lebih cegat dan cekang.


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional