Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 17hb April 2012: Demi kepentingan umum, PM harus menjelaskan sama ada rampasan tanah KGNS adalah lagi satu usaha "Penlanunan" Laporan-laporan semalam mengatakan bahawa industrialis besar Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Sunway Bhd telah menyerahkan cadangan untuk memperoleh hartanah perdana 330 ekar yang digunakan Kelab Golf Negara Subang (KGNS), yang termasuk dua padang golf 18-lubang dengan harga komersial yang dijangka melebihi RM5 bilion. Adalah difahamkan bahawa Perspective Lane (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan swasta yang dikusai Syed Mokhtar, dan Sunway City Sdn Bhd, telah menyerahkan pelan pada akhir tahun lepas kepada Kerajaan Persekutuan. Walaupun presiden KGNS Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas telah menafi penglibatan Syed Mokhtar, masih terdapat desas-desus bahawa aplikasi telah diserahkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memperoleh tanah 330 ekar tersebut. Untuk mengesahkan sama ada laporan-laporan ini benar atau tidak, Perdana Menteri harus memberi penjelasan demi prinsip kebertanggungjawaban dan kepentingan pihak awam serta ahli-ahli kelab. Sekali lagi, bukan sahaja lagi satu perjanjian penswastaan sedang dilakukan tanpa tender terbuka, tetapi ia juga kelihatan seperti rampasan tanah yang serupa dengan apa yang sedang berlaku dengan projek MRT di kawasan-kawasan warisan di Kuala Lumpur. Rampasan tanah KGNS ini berpotensi menjadi satu lagi "penlanunan" yang merupakan contoh tipikal gejala kapitalisme kroni yang sudah sinonim dengan kerajaan BN. Namun begitu, cadangan kali ini telah membangkitkan tentangan yang kuat dan penuh emosi dari kalangan ahli UMNO sendiri. Presiden KGNS Tan Sri Megat Najmuddin, yang juga merupakan seorang ahli jawatankuasa disiplin UMNO, telah mengutuk tindakan ini sebagai perbuatan yang mampu memusnahkan diri untuk kerajaan BN. Perdana Menteri harus menjelaskan sama ada "penlanunan" tanah KGNS ini akan berlaku atau tidak, dan kalau ya beliau harus mendedahkan butir-butir kepada pihak awam. Kalau tidak, segala transformasi yang diuar-uarkan akan dibuktikan sebagai kata-kata kosong. Sampai sekarang, Najib dan BN hanya dapat membuktikan bahawa sempadan perkauman tidak menjadi faktor dalam usaha untuk merampas tanah. Bukan sahaja orang Cina, Iban, Kadazan, Orang Asli atau India, tetapi orang Melayu juga menjadi mangsa kepada rampasan tanah 1Malaysia. *Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|