Kenyataan media oleh Tony Pua Kiam Wee di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 15hb Ogos 2012: Sesi rakaman video khas dengan Lim Kit Siang mengenai peristiwa 13 Mei 1969 Berhubung dengan tuduhan ke atas DAP dan juga Lim Kit Siang berkaitan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, DAP hari ini dengan tegas menolak semua fitnah yang telah dijaja oleh media dan blogers yang pro UMNO. Fitnah yang mendakwa Lim Kit Siang dan DAP sebagai dalang yang mencetuskan peristiwa lampau tersebut boleh dianggap sebagai karut dan ia boleh mengundang rasa curiga antara kaum. DAP percaya bahawa tindakan oleh rakan-rakan UMNO ini adalah persediaan akhir sebelum pilihanraya umum ke 13 diadakan, malah ia sebagai promosi kepada sebuah filem yang akan ditayangkan kelak yang dilaporkan mempunyai elemen-elemen hasutan perkauman. Tuduhan-tuduhan ini juga digunakan hanya dengan memetik beberapa kenyataan MAGERAN yang tidak jelas butir laporannya, malah gambar yang digunakan sebagai bukti juga adalah salah dan tidak benar sama sekali. Bagi menjawab fitnah tersebut, DAP telah merakamkan satu sesi rakaman khas bagi menjelaskan kedudukan sebenar atas semua dakwaan palsu oleh media dan bloger pro UMNO. Rakaman ini akan memaparkan beberapa persoalan yang tidak pernah diberi perhatian oleh media arus utama berhubung fakta kejadian dan realiti bahawa Lim Kit Siang tidak pernah berada atau terlibat dengan mana-mana rapat umum atau demonstrasi di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas peristiwa berdarah itu. Rakaman ini diterbitkan oleh http://roketkini.com/ dan ia mengandungi enam episod yang dimuatnaikkan ke https://www.youtube.com/user/roketkinidotcom dan akan disiarkan di laman-laman rasmi media DAP iaitu: https://www.facebook.com/DAPMalaysia; https://www.facebook.com/roketkini; https://www.facebook.com/therocket.com.my DAP yakin, dengan adanya rakaman ini, ia akan membantu generasi baru rakyat Malaysia untuk melihat peristiwa ini secara objektif dan tidak sekali-kali termakan dengan fitnah semberono pihak UMNO dan kuncu-kuncunya. DAP amat konsisten bahawa jika UMNO benar-benar ingin menyelak kembali trajedi ini, maka kita sarankan agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh tentang peristiwa 13 Mei 1969. * Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Petaling Jaya Utara
|