red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Penang Forum di Kompleks Masyarakat Penyayang, George Town pada hari Sabtu, 4hb Ogos 2012: 

Pulau Pinang sebagai bandaraya pintar dan antarabangsa dapat dicapai melalui pembinaan bandaraya yang sesuai untuk didiami 

Saya ingin berterima kasih kepada Penang Forum kerana menjemput saya untuk membentangkan wawasan saya untuk Pulau Pinang sebagai Bandaraya Pintar Dan Sesuai Untuk Didiami. Saya rasa kedaya tahanan Penang Forum dalam usaha menganjur dan menggerakkan rakyat Pulau Pinang untuk mengambil kepentingan dalam menentukan masa depan bandaraya dan negeri selama beberapa tahun ini melambangkan semangat masyarakat sivil yang sihat.

Saya diberitahu bahawa saya akan memasuki sarang serigala tetapi salah satu filem kegemaran saya adalah “Dancing With Wolves”. Walaupun saya bersedia untuk dikritik dan dimaki, ini adalah sebahagian daripada demokrasi penyertaan, dan merupakan sesuatu yang diterajui dengan bangga oleh kerajaan negeri PR yang berusia 4 tahun ini. Malah Lim Mah Hui yang sangat kritikal pun masih lagi berkhidmat dalam Penang Institute dan sebagai ahli majlis MPPP, dan ini tidak akan ditemui dalam negeri-negeri kawalan BN.

Walaubagaimanapun, kritiklah kami untuk sebab yang betul dan bukan untuk sebab yang salah. Kami mengakui kesilapan-kesilapan kami tetapi kami tidak akan menanggung dosa-dosa masa lalu. Kami akan bertindak terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi kami juga akan bertindak dengan tegas terhadap dakwaan palsu yang melibatkan integriti kami. Kami kerajaan bersih dan kami bangga dengan integriti kepimpinan yang diiktiraf ramai.

Kami bangga bukan sahaja kerana berjaya menjadi negeri pertama di Malaysia yang menikmati kebebasan bersuara tetapi juga kebebasan selepas bersuara di Sudut-sudut Pidato di Pulau dan juga di Seberang Perai. Sebagai Ketua Menteri, pintu saya senantiasa terbuka kepada ahli-ahli masyarakat sivil Pulau Pinang, dan saya mengalu-alukan peluang untuk mendengar dan berdiskusi dengan rakyat Pulau Pinang.

Pulau Pinang memang tidak senang untuk ditadbir, apatah lagi untuk memerintah. Saya pernah diberitahu oleh seorang bekas Ketua Setiausaha Negara bahawa sekiranya seseorang penjawat awam dapat mengendalikan rakyat Pulau Pinang dengan berjaya, maka beliau berupaya untuk mengendalikan apa-apa jawatan di mana jua di Malaysia. Saya rasa ini adalah kerana 2 faktor kejayaan yang cukup mencerminkan jiwa Pulau Pinang.

Pertama, untuk menjalin masyarakat sivil yang kuat, masyarakat itu seharusnya bertamadun. Dalam hal ini, Pulau Pinang mendahului atas asas pendidikan serta institusi demokratik yang kuat. Kedua, Pulau Pinang boleh berbangga kerana menghasilkan modal insan yang paling hebat dan pandai di Malaysia.

Pada tahun 1951, A.S.M. Hawkins, Penyelia Pilihan Raya British untuk pilihan raya tempatan George Town, iaitu pilihan raya pertama di Malaya, telah melaporkan bahawa:

“Pulau Pinang merupakan tanah yang subur untuk pertumbuhan institusi demokratik ... rekod prestasinya yang lama dan mulia dalam sektor pendidikan telah menghasilkan tahap celik huruf yang lebih tinggi berbanding bandar-bandar lain. [Institusi-institusi tempatan] membantu untuk menggembleng rakyat untuk mewujudkan masyarakat yang bukan sahaja mempunyai kepentingan bersama tetapi juga ideal bersama. Terdapat juga kebanggaan tempatan dan semangat patriotisme tempatan yang tidak berpecah akibat skizofrenia sebuah bandar mentropolitan. Sebuah bandar yang melaungkan cogan kata “Pulau Pinang Mendahului” sepertimana Birmingham menggunakan “Mara Ke Depan”, di mana cogan kata tersebut bukanlah satu doa atau aspirasi, bukan juga kebanggaan tetapi satu hakikat, dengan jelasnya merupakan satu tempat yang bermutu tinggi.”

Pulau Pinang masih lagi bermutu tinggi. Namun dalam 18 tahun yang lepas, cogan kata “Pulau Pinang Mendahului” sudah pun tidak kedengaran, dan sebaliknya diberi jenama baru iaitu “Pulau Pinang Darul Sampah” oleh seorang doktor daripada Kubang Pasu. Kita telah menjadi mangsa pengabaian dan salah urus.

Pelabuhan Pulau Pinang yang bersejarah yang pada suatu masa dahulu merupakan pelabuhan utama Persekutuan, dua setengah kali ganda lebih besar daripada Pelabuhan Kelang pada tahun 1950, kini hanya nombor 5 di Malaysia, di belakang Bintulu dan Johor. Kerajaan Persekutuan sudah pun berputus asa dan sekarang ingin menswastakannya atau menlanunkannya memandangkan tiada tender terbuka. Pengabaian infrastruktur fizikal seperti jalanraya yang telah berlaku adalah begitu teruk sampai Lee Kuan Yew pun telah memberi amaran pada tahun 2009 bahawa kita mungkin akan ketinggalan berbanding Ipoh dan Seremban.

Oleh itu, kita harus kembali kepada yang asas – kepada rahsia kejayaan Pulau Pinang pada masa lalu, iaitu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti antarabangsa. Kita harus mentransformasikan Pulau Pinang kepada bandaraya pintar dan antarabangsa dengan standard antarabangsa, dengan amalan terbaik untuk menarik modal insan.

Pulau Pinang sebagai bandaraya pintar dan antarabangsa dapat dicapai melalui pembangunan bandaraya yang sesuai untuk didiami yang dapat menarik modal insan serta menyediakan dasar-dasar berjiwa rakyat yang mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah ekonomi yang maju, mampan dan inklusif tanpa kemiskinan. Ini membabitkan 3 sektor utama iaitu membangunkan ekonomi yang inklusif, menubuhkan pusat-pusat kecemerlangan dalam kecekapan-kecekapan teras serta menjadikan Pulau Pinang lebih sesuai untuk didiami.

Kami mempunyai Penang Blueprint yang ditangguhkan untuk memberi peluang kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Induk Greater Penang. Saya baru sahaja bercakap dengan Datuk Seri Idris Jala minggu lepas yang telah memberitahu saya bahawa beliau sedang menunggu tarikh daripada Perdana Menteri untuk membentangkan hasil kajian bersama. Saya harap kita tidak akan menunggu sehingga selepas pilihan raya umum.

Bandaraya antarabangsa tidak bermaksud kita harus mengikuti bandaraya-bandaraya seperti Singapura atau Hong Kong ataupun KL. Pulau Pinang harus mencari pengkhususannya sendiri berdasarkan kekuatan dan kelebihannya. Selagi KL menjadi pusat pentadbiran dan kewangan negara, Pulau Pinang harus memainkan peranan sekunder.

Namun begitu, bandaraya sekunder tidak bermaksud kita harus menjadi kelas kedua. Bandaraya-bandaraya sekunder seperti Barcelona, Melbourne dan Edinburgh boleh menjadi kaya dan setanding di peringkat antarabangsa seperti bandaraya-bandaraya utama di negara masing-masing. Bandaraya sekunder yang diurus tadbir dengan baik boleh menjadi alternatif yang segar berbanding tekanan masa, jenayah dan kekotoran sebuah metropolis yang besar.

Semestinya kita memerlukan peruntukan yang lebih adil daripada Kerajaan Pusat. Tetapi kita juga memerlukan perubahan kepada satu cara pemikiran yang menuntut standard antarabangsa dalam pentadbiran dan pembangunan, dan satu yang mengiktiraf Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa yang dapat menarik modal insan antarabangsa.

Kita mahukan Pulau Pinang yang mempunyai ruang dan peluang untuk semua. Salah satu isu yang dihadapi Pulau Pinang hari ini adalah kekurangan peluang untuk anak-anak muda. Rungutan yang selalu dibangkitkan di kalangan ibu bapa Pulau Pinang hari ini adalah bagaimana mereka menyimpan rumah besar untuk Tahun Baru Cina dan Hari Raya apabila seluruh keluarga akan berkumpul bersama, tetapi sepanjang tahun rumah mereka berada dalam keadaan kosong kerana anak-anak mereka sudah memulakan kerjaya dan kehidupan di KL dan Singapura.

Walaupun kami mengalu-alukan dan menghormati warga emas kita, Pulau Pinang harus menjadi lebih daripada tempat persaraan. Pulau Pinang yang berjaya harus membangun dari segi populasi untuk mencapai ketumpatan yang diperlukan untuk menjana pekerjaan-pekerjaan pendapatan tinggi, prasarana kebudayaan dan pengangkutan awam yang cekap.

Ada yang menentang strategi ini kerana takut dengan kenaikan harga hartanah dan kesesakan trafik. Namun hakikatnya adalah Pulau Pinang telah kehilangan anak-anak yang paling cerdik sementara dalam dua puluh tahun yang lepas populasi bandar-bandar di Lembah Kelang dan Singapura telah berganda akibat penghijrahan ekonomi anak-anak muda kita.

Jika pertumbuhan akan mengakibatkan tekanan ekonomi, maka kita harus mengendalikan tekanan-tekanan ini supaya rakyat Pulau Pinang tidak akan dipaksa keluar daripada negeri sendiri. Kami percaya bahawa kerajaan negeri harus memainkan peranan yang aktif dalam perumahan mampu milik serta dari segi pemajuan dan kewangan. Oleh itu, kami telah menubuhkan Lembaga Perumahan Negeri dan telah mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk membiayai 18,000 unit perumahan mampu milik, termasuk 1,328 unit di Jalan SP Chelliah (Lines Road) di George Town, 12,000 unit di kawasan industri baru Batu Kawan dan yang selebihnya di kawasan-kawasan lain.

Kami sudah pun menaikkan harga minima untuk pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM2 juta untuk hartanah di kawasan Pulau, [dan kami kini sedang dalam proses mengkaji semula caj dan yuran pendaftaran bagi pemindahan milik hartanah mewah untuk memastikan pemajuan hartanah tidak hanya pencong kepada pembangunan mewah]. Pada masa yang sama, kami harus menggunakan tanah kita dengan lebih bijak melalui perancangan yang lebih bijak. Kami juga mahu meningkatkan kesalinghubungan antara Pulau dan Seberang Perai untuk mengurangkan tekanan tanah di Pulau dan juga untuk menyebarkan manfaat pembangunan kepada populasi majoriti yang mendiami Seberang Perai.

Pulau Pinang hari ini mendapat manfaat bukan sahaja daripada populasi yang mahir dan berpendidikan tetapi juga daripada bukit-bukau, pantai, makanan dan warisan sosial dan fizikal yang pelbagai. Ini semua merupakan khazanah Pulau Pinang yang menarik orang, pelabur dan pelancong ke Pulau Pinang dan menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar paling sesuai didiami di Malysia dan ke-8 paling sesuai didiami di Asia.

Anda mempunyai jaminan saya bahawa Kerajaan ini akan melindungi khazanah tersebut. Kami sedang dalam proses menyediakan Rancangan Khas Kawasan untuk memelihara, menaik taraf dan melindungi Kawasan Warisan Dunia George Town, Kebun Bunga dan Bukit Bendera, di mana beberapa pusingan rundingan awam sudah pun dijalankan. Kami juga telah mengumumkan rundingan awam bagi cadangan-cadangan kami untuk menubuhkan taman awam yang baru, dataran awam dan pusat kesenian dan budaya di sebelah Prangin Canal sebagai Fasa 5 KOMTAR, dan kami harap dapat menubuhkan dan memulihkan lagi kawasan-kawasan awam untuk Pulau Pinang di masa depan.

Walaupun Kerajaan Persekutuan ingin melindungi kuasa mereka atas pengangkutan awam, Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang akan cuba mendapatkan sokongan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Tidak membuat apa-apa itu bukanlah satu pilihan. Kami telah memulakan pembangunan infrastruktur yang bercita-cita tinggi. Sama ada kami berjaya atau gagal itu akan ditentukan oleh rakyat Pulau Pinang.

Janganlah dikatakan bahawa kami tidak berani mencuba. Saya lebih rela gagal kerana mencuba daripada gagal untuk mencuba. Kerajaan Negeri ini telah dipilih oleh rakyat Pulau Pinang untuk menamatkan keadaan tidak berkembang dan menyampaikan pembangunan yang bersih, cekap dan saksama. Kami akan membuat demikian berdasarkan kepercayaan bahawa Pulau Pinang mampu mendahului sekali lagi, dan mampu menjadi perintis untuk seluruh Malaysia.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional