Utusan Hari Raya Aidilfitri 2012 oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Sabtu, 18hb Ogos 2012: Utusan Hari Raya Aidilfitri 2012 Dividen anti-rasuah yang membolehkan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assisted Programme of Penang, YES! (HAPPY!) sebanyak RM 50 juta untuk memperbaiki, menaiktaraf dan memulihkan rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah pasti akan memastikan suatu perubahan besar dalam kualiti hidup rakyat. Ini adalah kali pertama mana-mana kerajaan negeri di Malaysia menjalankan suatu program sistematik untuk rumah pangsa kos rendah(di bawah RM42,00) dan sederhana rendah(di bawah RM72,500). RM 50 juta yang diperuntukkan untuk HAPPY! adalah berdasarkan keyakinan bahawa kerajaan negeri akan memperolehi lebihan sekurang-kurangnya RM 50 juta pada 2011 hasil usaha anti-rasuah dan menjalankan pentadbiran bersih berdasarkan CAT atau Cekap, Akauntabel dan Telus. Kerajaan negeri mencatatkan lebihan sebanyak RM88 juta untuk 2008, RM77 juta untuk 2009 dan RM33 juta untuk 2010. HAPPY! RM50 juta memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk membawa perubahan besar kepada lebih 600 skim perumahan kos rendah dan sederhana rendah dan membabitkan puluhan ribu unit di Pulau Pinang. Kerajaan persekutuan telah menubuhkan tabung penyelenggaraan RM500 juta untuk semua skim perumahan kos rendah dan sederhana rendah dengan menawarkan pembiayaan kos 90% oleh kerajaan pusat dan 10% oleh penduduk untuk semua projek pembaikan atau penaiktarafan untuk rumah pangsa kos rendah manakala untuk rumah pangsa kos sederhana rendah adalah 70% oleh kerajaan pusat dan 30% oleh penduduk. Usaha sedemikian gagal kerana kebanyakan penduduk rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah tidak mampu menanggung kos 10% dan 30% masing-masing. Kerajaan persekutan hanya akan keluar kos penyelenggaraan 90% dan 70% untuk rumah kos rendah dan sederhana rendah bila ada komitmen atau jaminan 10% dan 30% masing-masing. Demi menjayakan program penyelenggaraan ini, kerajaan negeri akan menanggung kos 10% dan 30% ini bagi pihak penduduk rumah kos rendah dan sederhana rendah. Kerajaan negeri akan tanggung setakat RM50 juta memperbaiki, menaiktaraf dan memulihkan rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah dan semua persatuan penduduk diminta buat permohonan dengan kerajaan persekutuan dengan segera. Adalah diharapkan pengumuman HAPPY! RM50 juta disamping menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri juga akan merancakkan pembangunan ekonomi setempat. Kerajaan negeri mendesak agar tender terbuka diadakan hanya untuk kontraktor tempatan supaya ia memanfaatkan warga Pulau Pinang secara adil. Program HAPPY! yang berjiwa rakyat ini tidak diberikan liputan besar di suratkhabar yang lebih berminat ke atas fitnah terhadap pemimpin PR Pulau Pinang. Baru-baru ini ada juga rencana yang ditulis oleh penulis upahan pihak tertentu yang menggunakan nama samaran dan bukan nama sebenarnya untuk menaburkan fitnah tersebut. Memang fitnah akan digunakan bila pihak tidak bertanggungjawab ini tidak ada modal untuk menghadapi dasar berjiwa rakyat kerajaan negeri yang telahpun membelanjakan RM100 juta untuk program kebajikan membasmi kemiskinan tegar dan sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU, pelajar IPTA, ibubapa baru serta pelajar sekolah rendah dan menengah. Oleh itu pemimpin kerajaan negeri akan sentiasa bersabar kerana faham bahawa hanya yang baik akan difitnah kerana yang jahat tidak perlu lagi difitnah kerana sudahpun jahat. Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan meriah dan juga ingatan membezakan di antara benar dan palsu serta menjauhi fitnah. Maaf zahir dan batin. *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
|