red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 7hb Ogos 2012: 

Polisi 1Malaysia Najib dalam tiga tahun ini telah menyemai benih ketegangan diantara kaum

“Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama”

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berfikir sejenak mengapa polisinya yang terkenal, 1Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini telah menyemai benih ketegangan diantara kaum serta menyumbang kepada trend fitnah seperti yang dilihat dalam pembohongan dan pemalsuan insiden 13 Mei untuk menggugat perpaduan negara.

Tidak lain daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah menekankan dalam bulan Jun lepas bahawa pilihanraya umum yang akan datang ini akan bersasarkan “perkauman” kerana “keadaan negara Malaysia kini bersifat amat rasis berbanding dengan sebelum ini”!

Dengan berlandaskan agenda program 1Malaysia, Najib telah merekrut angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ UMNO/BN melalui Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang dijalankan diseluruh negara, bukan untuk menyampaikan mesej 1Malaysia dimana setiap warga Malaysia menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu, dan kemudian berdasarkan kaum, agama dan kedudukan sosio-ekonomi. Akan tetapi, nampaknya akidah Biro Tatanegara (BTN) dan Utusan Malaysia adalah untuk memutarbelitkan kebenaran dan fakta.

Apa yang jelas kelihatan adalah akibat buruk tindakan Najib merekrut angkatan tentera seramai 10,000 ‘cybertrooper’ UMNO/BN – termasuklah dalam menyemai benih prasangka buruk diantara kaum serta menggugat perpaduan negara yang dipaparkan didalam filem tajaan kerajaan “Tanda Putera” yang berdasar kepada rusuhan 13 Mei 1969 dimana angkatan ‘cybertrooper’ ini menyebarkan dakwaan palsu, tidak masuk akal, karut dan berbaur fitnah terhadap saya bahawa saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dalam perhimpunan jalanan, bahawa saya telah membunuh orang Melayu dan juga baru-baru ini insiden kononnya saya telah kencing dibawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor, walhal saya tidak berada pun di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969.

Dakwaan liar yang lain yang telah diputarbelitkan oleh angkatan Media Sosial 1Malaysia termasuklah Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa beliau juga telah memprovokasi dan mencetus rusuhan 13 Mei sebagai Ketua Pemuda DAP walhal pada masa itu umurnya baru lapan tahun sahaja.

Mendiang P. Patto, Timbalan Setiausaha Agung DAP dan seorang Ahli Parlimen juga tidak terlepas dari tuduhan memprovokasi rusuhan 13 Mei 1969 apabila Patto sendiri tidak berada di Kuala Lumpur pada masa itu dan telah melangkah masuk kedalam dunia politik dalam tahun 1973 apabila beliau meletak jawatan sebagai seorang guru sekolah dan telah menerima tawaran saya untuk perlantikan sebagai setiausaha politik saya.

Dengan kedegilan dan keengganan Kabinet untuk memilih tema, logo dan lagu baru bagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 untuk menyatukan rakyat Malaysia daripada memecahbelahkan rakyatnya – satu kedudukan yang diambil oleh UMNO/BN untuk merampas identiti serta maksud sebenar sambutan Hari Kemerdekaan/Hari Malaysia. Rakyat Malaysia berhak untuk menyoal Perdana Menteri mengapa beliau membenarkan rasa benci dan ketegangan diantara kaum berleluasa dan membarah yang menggugat perpaduan negara!

Empat puluh tiga tahun selepas tragedi 13 Mei 1969, masa sudah sampai untuk menutup bab insiden tersebut – bukan sahaja untuk menggunakan titik hitam rusuhan 13 Mei sebagai taktik intimidasi tethadap mana-mana komuniti tetapi harus digunakan sebagai satu teladan dan pengajaran yang amat penting bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, status, umur atau jantina untuk menyatukan semua rakyat Malaysia untuk menyahut seruan untuk satu perubahan bagi kebaikan negara ini dan rakyatnya, samada BN atau PR.

Saya telah menekankan dan menjelaskan secara terbuka bahawa DAP dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk memberi kerjasama penuh bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk memastikan tiada ulangan peristiwa 13 Mei dalam pilihanraya umum yang akan datang ini.

Malah, tiada ruang untuk insiden 13 Mei untuk berulang sekiranya kedua-dua gabungan parti-parti politik – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat memberi jaminan secara ikhlas bahawa mereka akan bekerja bersama untuk menghalang kejadian ini berulang dengan mengambil kira kepentingan dan kedaulatan negara?

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP memberi komitmen penuh terhadap usaha ini untuk memastikan tiada lagi tragedi 13 Mei di Malaysia. Persoalannya adalah adakah UMNO dan Barisan Nasional akan memberi komitmen yang sama terhadap usaha ini?


*Lim Kit Siang, DAP Parliamentary Leader & MP for Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional