red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang pada di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 12hb Ogos 2012: 

Kempen berbisa “Haram Sokong DAP” Utusan dilahirkan oleh puak ekstremis UMNO yang anti-nasional yang berniat menolak warisan yang ditinggalkan tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama

Nampaknya Utusan Malaysia masih belum bertaubat lagi dengan kempen “Haram Sokong DAP” yang telah dilancarkan lima hari yang lalu dengan terus melaporkan berita untuk memberi justifikasi kempen tersebut.

Adalah jelas kempen berbisa “Haram Sokong DAP” Utusan dilahirkan oleh puak ekstremis UMNO yang anti-nasional yang berniat menolak warisan yang ditinggalkan tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein.

Takkanlah puak yang mendalangi kempen “Haram Sokong DAP” Utusan begitu naïf sehingga tidak tahu bahawa sasaran susulan kempen “Haram Sokong DAP” adalah tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama sepertimana pendirian DAP bahawa Malaysia adalah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama rasmi yang juga pendirian yang telah diambil oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein dalam 24 tahun pertama sejarah tanahair dari 1957-1981.

Sekiranya pakar strategi UMNO yang telah melancarkan dan menyokong serangan “Haram Sokong DAP” Utusan keatas DAP tidak sedar bahawa serangan ini mampu ditujukan kepada tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama diatas isu yang sama, maka pakar-pakar ini nampaknya tidak tahu apa yang mereka lakukan dan memakan gaji buta dan dalam kes ini harus dipecat dengan serta-merta.

Sudah tentu Mahathir membezakan dirinya daripada tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama dalam serangan “Haram Sokong DAP” apabila membuat pengumuman yang tidak mengikut semangat perlembagaan pada 29 Sept 2001 dalam persidangan kebangsaan delegasi Gerakan yang telah diberi sokongan padu serta pengesahan segera oleh pimpinan MCA dan Gerakan pada masa itu.

Biar saya lemparkan soalan ini kepada Mahathir: Dengan membezakan dirinya daripada tiga Perdana Menteri yang pertama, adakah beliau sebenarnya memberi sokongan kepada kempen “Haram Sokong DAP” Utusan?

Setakat ini, hanya seorang sahaja pemimpin UMNO yang telah bersuara untuk membezakan diri beliau daripada kempen “Haram Sokong DAP” Utusan yang berbaur fitnah, hasutan, tidak bertanggungjawab dan anti-nasional – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang telah menyatakan “tidak perlu” untuk membuat deklarasi “haram” bagi umat Islam menyokong DAP kerana ianya hanyalah pendapat politik yang berbeza.

Kata Saifuddin: “Ini bukanlah soal apa yang dibenarkan atau apa yang tidak dibenarkan seperti kesalahan jenayah. Ini hanyalah politik.

“Jika kita tidak bersependapat, kita boleh menggunakan cara yang lebih meyakinkan untuk meredakan satu situasi, untuk mematah atau untuk membentangkan idea-idea yang relevan.”

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Saifuddin diatas keberanian bagi menegakkan keadilan sebagai suara anak bangsa Malaysia yang sejati.

Tetapi, Saifuddin adalah satu-satunya suara yang berani dalam UMNO/Barisan Nasional kerana sebelum ini belum ada lagi mana-mana Menteri atau pemimpin UMNO/BN yang berani untuk membezakan diri mereka daripada kempen berbisa “Haram Sokong DAP” Utusan yang berbaur fitnah, anti-nasional dan hasutan walaupun kempen ini telah mencemar dan mewujudkan satu titik hitam dalam bidang kewartawanan Malaysia yang dilancarkan untuk mengapi-apikan kebencian dan ketegangan diantara kaum dan agama serta menggugat kestabilan dan perpaduan negara.

Sekiranya satu pertandingan diadakan untuk menilai akhbar yang paling anti-nasional di negara ini, sudah pasti Utusan Malaysia memenangi anugerah tersebut dengan kempen “Haram Sokong DAP”.

Jika Datuk Seri Najib Razak tidak bersedia lagi untuk mengambil tindakan tegas untuk menangani kempen berbisa “Haram Sokong DAP” Utusan yang berbaur fitnah, anti-nasional dan menghasut, Perdana Menteri telah kehilangan peluang untuk menyebarluas polisi 1Malaysia beliau atau menyampaikan khutbah Wasatiyahnya atau pendekatan yang sederhana terhadap agama.

Lebih teruk lagi, beliau menunjukkan yang beliau telah gagal sebagai Perdana Menteri untuk semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri atau kelas, dan puak-puak didalam UMNO dan Barisan Nasional.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional