http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Isnin, 6hb Februari 2012: MIC mengaku lemah di Perak MIC merupakan antara parti politik yang paling lemah dalam komponen Barisan Nasional di negeri Perak. Dalam PRU 12, MIC telah bertanding 4 kerusi di DUN negeri Perak iaitu Pasir Panjang, Behrang , Hutan Melintang dan Sungkai. Di kerusi Pasir Panjang MIC dikalahkan oleh DS Nizar daripada PAS yang kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar negeri Perak. Manakala calon-calon MIC yang bertanding di DUN Behrang dan Hutan Melintang pula tewas kepada PKR. Begitu juga calon MIC di Sungkai dikalahkan oleh calan daripada DAP. Ini bermaksud MIC telah tumbang 100% dalam pilihanraya DUN negeri Perak pada 8 Mac 2008. Manakala MIC juga bertanding 2 kerusi Parlimen di Perak iaitu Sungai Siput dan Tapah. Pertama kali MIC dijatuhkan di Parlimen Sungai Siput oleh calon PSM Dr Jayakumar yang bertanding di atas tiket PKR. Kekalahan Persiden MIC Dato Seri S.Samy Vellu di Sungai Siput telah membuktikan bahawa MIC ditolak sama sekali oleh rakyat negeri Perak. MIC hanya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tapah kerana mempunyai undi orang asal yang sangat signifikan di kawasan itu. Dalam kata lain, hanya seorang wakil MIC sahaja di Perak yang berjaya dipilih masuk ke Parlimen. Kekalahan MIC di negeri Perak adalah akibat keangkuhan pemimpin-pemimpin yang sentiasa mempunyai rekod kemenangan 100% dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum itu. MIC Perak gagal memperjuangakan hak orang-orang India di Perak. Mereka memperdayakan orang-orang India dengan pelbagai janji kosong semata-mata untuk mendapatkan sokongan di piliharaya. Rakyat Perak sudah muak dengan janji-janji ini dan akhirnya membuat keputusan untuk mengalahkan semua calaon-calon MIC dalam PRU 12. Ini membuktikan bahawa rakyat Perak bijak dan berani untuk membuat perubahan ini. Tetapi, Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dipilih oleh Rakyat telah dirampas oleh Barisan Nasional selepas 11 bulan pemerintahannya. Selepas itu, Barisan Nasional menubuhkan kerajaan haram melalui "pintu belakang". Kerajaan haram itu tidak mempunyai wakil rakyat India. Oleh yang demikian, tidak ada wakil orang India dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Banyak juga usaha dilakukan oleh Barisan Nasional untuk membeli wakil rakyat kaum India daripada Pakatan Rakyat. Setelah semua usaha itu gagal, maka Barisan Nasional telah melantik Dato Veerasingam yang mengetuai MIC negeri Perak untuk menjawat jawatan Penasihat kepada Menteri Besar Perak berhubung dengan hal-ehwal orang-orang India. Selepas 3 tahun merampas kuasa, Barisan Nasional sedar bahawa MIC tidak mempunyai pimpinan yang berkemampuan untuk menyelesaikan masalah kaum India di Perak. Selama 3 tahun pemimpin MIC tidak dapat menguasai pengundi-pengundi India. Mereka hanya memberi sumbagan wang kepada Kuil, sekolah dan NGO. Selain daripada itu, MIC gagal menaikkan status sosio-ekonomi kaum India di Negeri Perak. Kelemahan MIC diakui oleh Barisan Nasional apabila Dato Seri Palanivel menggantikan Dato Veeerasingam sebagai Ketua MIC Negeri Perak semalam. Tindakan ini diambil serta-merta oleh pucuk pimpinan MIC kerana MIC Perak gagal membuktikan apa-apa kecemerlangan dalam tempoh 3 tahun yang lepas. Walaupun perlantikan Dato Seri Palanivel akan memecah belahkan lagi MIC negeri Perak tetapi parti itu terdesak mengambil keputusan tersebut. Pada pandangan saya MIC terperangkap dalam jerat politik perkauman kerana jika 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'. Perlantikan Dato Seri Palanivel untuk mengetuai MIC Perak adalah satu tindakan yang lambat, nasi sudah menjadi bubur. Pada hemat saya, perlantikan ini adalah satu gimik politik untuk menipu orang India dengan mengatakan bahawa MIC Perak mempunyai pemimpin baru yang akan membawa harapan baru. Ini merupakan taktik kotor Barisan Nasional untuk meraih undi orang-orang India di negeri Perak. Dato Seri Palanivel sudah pasti akan turun padang untuk menaburkan banyak janji-janji kosong kepada kaum India di negeri Perak. Seperti biasa Dato Seri Palanivel dan pemimpin-pemimpin MIC yang bermula dengan ungkapan "Kalau BN menang, kita akan..." Rakyat Perak harus bersedia untuk mendengar semua janji-janji kosong mulai hari ini daripada pimpinan MIC negeri Perak. Saya mencabar pimpinan MIC Perak supaya jangan hanya memberi janji kosong pilihanraya. Kalau benar mereka memperjuangkan hak orang-orang India, buat segala yang mungkin sebelum pilihanraya. Lima puluh tahun rakyat Malaysia sudah muak dengan janji pilihanraya MIC yang sudah lama basi. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|