red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 9hb Februari 2012:

Walaupun sudah terbukti tidak bersalah, anak Ketua Menteri masih lagi dimangsakan dengan sindiran berunsur fitnah

Susulan daripada laporan polis yang telah dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 12 Januari 2012, hari ini saya telah membuat aduan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laman-laman web Umno-Online, Pisau.net dan Papa Gomo.

Mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan isu ini, pada bulan Oktober tahun lepas beberapa laman web telah memainkan desas-desus kononnya anak Ketua Menteri Lim Guan Eng telah ditukarkan sekolah gara-gara mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan di sekolah lamanya. Tambahan pula, laman-laman web tersebut, termasuk laman web rasmi Umno iaitu Umno-Online, telah mendakwa bahawa Ketua Menteri telah membayar RM200,000 kepada pelajar perempuan tersebut sebagai sogokan untuk berdiam.

Ekoran daripada itu, pelbagai pihak telah muncul untuk menyangkal tuduhan-tuduhan tersebut sebagai fitnah yang langsung tidak berasas. Misalnya, "pelajar perempuan" yang terbabit, Anya Corke, telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah sesekali pun bertemu dengan Ketua Menteri atau anaknya.

Kenyataan Anya telah diikuti dengan pengesahan daripada Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin bahawa tidak ada sebarang bukti untuk mengaitkan anak Ketua Menteri kepada apa-apa kejadian sedemikian. Tambahan pula, pengetua SMJK Heng Ee, iaitu sekolah lama anak Ketua Menteri, juga telah menafikan kejadian itu.

Walaupun macam-macam bukti telah ditampilkan, laman-laman web tersebut masih lagi meneruskan serangan mereka tanpa melaporkan perkara yang sebenar. Sehingga sekarang, artikel-artikel yang palsu dan fitnah itu masih lagi dipaparkan dalam laman-laman web tersebut.

Sebagai contoh terbaru, saya memetik daripada artikel Papa Gomo pada 7 Februari 2012 yang bertajuk "Lim Guan Eng Nenen Memang SIAL - Ibrahim Ali", di mana Papa Gomo telah membuat sindiran berikut:

"Psssttt.. Guan Eng Kaki Nenen, patut anak pun suka Raba Tetek... Memang SIAL"

Adalah jelas di sini bahawa laman-laman web seperti Papa Gomo mempunyai motif jelik dan keji serta sanggup melakukan apa-apa termasuk memainkan sindiran yang bukan sahaja memfitnahkan Ketua Menteri tetapi juga memangsakan seorang kanak-kanak dalam usia persekolahan yang tidak bersalah.

Sehingga hari ini, tindakan daripada pihak berkuasa masih lagi ditunggu-tunggu. Pada 12 Januari 2012, pihak polis telah menghubungi Ketua Menteri dan menasihati supaya beliau membuat laporan polis untuk memudahkan tindakan susulan ke atas pengendali-pengendali laman-laman web berkenaan. Malah, Ketua Menteri telah diberitahu bahawa permintaan untuk membuat laporan ini telah datang daripada "pihak atasan". Namun demikian, setakat ini siasatan masih belum lagi menghasilkan sebarang tangkapan.

Berikutan ini, saya telah diarahkan untuk membuat aduan kepada SKMM atas perkara ini kerana penerbitan dan penyiaran artikel-artikel palsu dan fitnah oleh Pisau.net, Umno-Online dan juga Papa Gomo merupakan suatu kesalahan di bawah, antara lainnya, Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Saya berharap dan memohon agar pihak SKMM dapat mengambil tindakan siasatan yang segera serta tindakan susulan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak tersebut.


* Zairil Khir Johari, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional