Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Khamis, 16hb Februari 2012: Pengecualian pembayaran balik pinjaman pelajaran PTPTN perlu diberi kepada semua graduan kelas pertama Kerajaan persekutuan pada tahun 2010 telah menetapkan bahawa graduan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dan menamatkan pengajian mulai tahun 2010 akan diberi pengecualian pembayaran balik pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Dasar ini dilaksanakan sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada mahasiswa-mahasiswi yang mencapai kecemerlangan dalam prestasi akademik mereka dan secara tidak langsung sebagai satu bentuk dorongan dan motivasi kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka. Walaupun terdapat kecacatan dalam dasar ini kerana pengecualian ini hanya akan diberi kepada mereka yang menamatkan pengajian mulai tahun 2010 sahaja. Bagi graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang menandatangani perjanjian dengan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian mereka sebelum tahun 2010, mereka tidak diberi apa-apa bentuk pengecualian dan perlu membayar balik pinjaman ini dengan kadar bunga yang ditetapkan. Pada masa yang sama, graduan yang menandatangani perjanjian dengan PTPTN sebelum 1 Julai 2005 dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pula diberi pengecualian yang sama. Justeru itu, dasar ini adalah tidak adil untuk mereka yang menandatangani perjanjian dengan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian mereka sebelum 2010. Graduan-graduan ini telah menulis kepada kerajaan persekutuan sebelum ini dan menuntut supaya mereka diberi layanan yang adil dan saksama dan perkara ini tetapi tidak dilayan dan sehingga sekarang tiada apa-apa maklum balas secara rasmi daripada kerajaan berkenaan dengan kes ini. Malahan saya juga telah menulis kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Bin Nordin pada 10 Januari 2012 dan menerangkan perkara yang sama kepada beliau, sehingga ke hari ini saya belum menerima apa-apa jawapan sama ada daripada beliau atau wakil beliau. Saya berasa kecewa dengan sikap Kementerian Pengajian Tinggi dalam menangani isu ini kerana sepatutnya Kementerian patut memberi jawapan sama ada permohonan graduan-graduan ini diterima atau tidak ddan bukannya berlengah-lengah dalam perkara ini sehingga tiada satu jawapan konkrit diberi kepada mereka sehingga sekarang. Saya juga berasa kecewa kerana Kerajaan Persekutuan harus berlaku adil kepada semua graduan Ijazah Kelas Pertama dan bukannya bertindak pilih kasih. * Lau Weng San, Setiausaha Organisasi DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku
|