red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Rabu, 22hb Februari 2012:

BN gagal dalam Program 'Bantuan Rasuah 1Malaysia'

Rakyat sedang menghadapi tekanan inflasi yang cukup kuat. Pendapatan mereka adalah tetap atau tidak berubah tetapi harga barang-barang terus naik. Adakalanya pendapatan jatuh kerana hilang peluang untuk kerja lebih masa disebabkan kehadiran pekerja asing yang telalu ramai. Tambahan pula fenomena pengangguran juga tidak dapat diatasi dengan sepenuhnya. Pemberhentian kerja juga berlaku di merata tempat kerana kegawatan ekonomi. Semua ini membebankan rakyat dalam keadaan inflasi yang semakin bertambah buruk. Barisan Nasional yang juga dikenali ramai sebagai 'Barang Naik' tidak dapat mengawal kadar inflasi yang sedang makan kocek rakyat negara kita setiap hari. Tidak ada apa-apa polisi yang nyata untuk mengawal inflasi ini. Malah,tindakan kerajaan Barisan Nasional mengurangkan subsidi bagi barang-barang tertentu seperti petrol telah menjadi mangkin untuk menaikan lagi harga semua barang-barang di pasaran.

Dalam keadaan yang tertekan ini, Barisan Nasional mengambil peluang untuk memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 kepada keluarga berpendapatan kurang daripada RM3000. Adakah ini satu penyelesaian untuk mengurangkan kadar inflasi? Tentu sekali tidak kerana pemberian ini adalah hanya untuk satu tahun sahaja. Mungkin pemberian ini akan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat untuk tahun ini. Tetapi, ini bukannya satu penyelesaian kepada masalah inflasi yang dihadapi oleh negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil kesempatan daripada tekanan inflasi ini untuk membantu rakyat dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia. Beliau dapat mencari satu peluang untuk membeli undi rakyat dengan memberi bantuan ini. Beliaulah punca kepada inflasi yang tidak terkawal ini. Tetapi, beliau berlagak seolah-olah menjadi pembela rakyat dengan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia. Pada hemat saya, pemberian ini adalah satu program 'Bantuan Rasuah 1Malaysia' untuk memancing undi bagi PRU13.

Kita harus sedar bahawa kesusahan yang dialami oleh rakyat adalah berpunca daripada polisi-polisi Barisan Nasional yang tidak berjiwa rakyat. Sebagai contoh, tindakan menaikan harga petrol adalah satu polisi yang memberi kesan kewangan yang buruk kepada seluruh rakyat Malaysia. Sudah tentu kerajaan Barisan Nasional tahu tentang perkara ini, tetapi polisi tersebut tetap dilaksanakan. Ini membuktikan bahawa kerajaan ini tidak prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Kenaikan harga petrol akan menberi impak yang luas dalam aliran wang sesebuah negara. Kenaikan harga petrol akan menyebabkan harga barang-barang lain juga turut naik. Perkara ini tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak.

Apabila harga barang-barang naik, maka pendapatan sebenar seseorang itu akan semakin menurun. Dalam kata lain, pendapatan seseorang mungkin tidak berubah tetapi nilai wang yang dimilikinya telah menurun. Ini bermaksud kemampuan urusniaga beliau dari segi ekonomi menjadi semakin hari semakin buruk. Inflasi ini telah mengurangkan daya beli seseorang yang akhirnya menimbulkan banyak masalah sosio-ekonomi yang lain. Ekonomi rumahtangga terganggu menyebabkan hutang bertambah. Adakalanya seseorang tidak mampu membayar hutang bank kerana wang pendapatanya tidak memadai untuk menaggung kos saran keluarga. Ini pula akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi yang lain seperti rumah dilelong, menjadi muflis dan sebagainya. Salah satu daripada puncanya ialah inflasi yang tidak terkawal. Kerajaan Barisan Nasional gagal mengambil kira semua perkara ini dan meneruskan polisi-polisi yang membebankan rakyat jelata. Pemberian RM500 akan dimakan inflasi dalam beberapa hari atau bulan sahaja.

Bagaimanakan masalah ini boleh ditangani? Pakatan Rakyat sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat. Satu daripada tindakan awal yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat jika menjadi Kerajaan Persekutuan ialah mengawal inflasi. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan bahawa 'jika kita menjadi kerajaan hari ini, esok harga petrol akan diturunkan'. Ini adalah satu polisi yang lebih mantap dan menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia. Penurunan harga petrol akan mengawal kenaikan harga. Tindakan ini akan meringankan beban rakyat. Ini adalah salah satu remedi untuk masalah yang kita hadapi sekarang. Polisi Pakatan Rakyat adalah untuk mengubat penyakit yang disebabkan oleh Barisan Nasional. Manakala, pemberian RM500 ringgit adalah satu usaha kerajaan 'memabukkan rakyat' supaya melupakan kesakitan dan keperitan hidup untuk sementara waktu.


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional