red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 1hb Februari 2012: 

DAP mengecam hebat kepala babi yang dijumpai di sebuah masjid di Rawang sebagai tindakan pengecut dan provokasi yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama  

Kepala babi yang dijumpai di kawasan pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 17, Rawang, Selangor merupakan satu tindakan yang tidak sensitif, pengecut dan provokasi yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama di ambang pilihan raya umum.

DAP mengecam hebat insiden ini dan berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti ini yang bertentangan dengan sifat masyarakat kita yang aman dan berbilang budaya.

Kami menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat. Namun demikian, mereka tidak akan mencapai objektif jahat mereka kerana rakyat Malaysia bukan sahaja sudah biasa hidup bersama malah suka meraikan kepelbagaian budaya dan agama di negara kita. Keamanan masyarakat kita tidak akan hancur dek tindakan-tindakan pengecut oleh puak pelampau.

Kita menyeru agar semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat beribadat, biarpun masjid atau gereja atau kuil, dan berharap agar pihak Kerajaan akan serta merta menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional