red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 3hb Februari 2012: 

Hanya PR akan memastikan loji nadir bumi dan loji nuklear tidak dibina di negeri-negeri PR 

DAP berasa kesal bahawa Kerajaan BN jelas tidak berkomited terhadap pembangunan mapan dan hijau, dan sudi mengorbankan kesihatan rakyat demi keuntungan. Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia telah memberi Lesen Kendalian Sementara (TOL) kepada syarikat Australia Lynas Corporation untuk pembinaan loji pemprosesan nadir bumi yang terbesar di dunia di Pahang sekiranya mereka dapat memenuhi lima syarat yang ditetapkan.

Daripada menumpukan sumber dan tenaganya kepada isu-isu perkauman dan agama, adalah lebih baik Barisan Nasional menjelaskan kenapa loji nadir bumi di Kuantan dibenarkan untuk beroperasi, sedangkan projek itu berbahaya dan pihak pengawal selia sendiri tidak menerima cadangan pembuangan sisa radioaktif yang jelas daripada Lynas. Tambahan pula, pelan pembuangan sisa Lynas tidak mendedahkan sepenuhnya kandungan aliran-aliran sisa.

Dua hari lepas, New York Times (NYT) telah melaporkan bahawa syarikat antarabangsa dari Belanda iaitu AkzoNobel, salah satu kontraktor utama, telah menarik diri daripada projek tersebut ekoran kebimbangan keselamatan. Jurutera-jurutera yang terlibat dalam projek serta emel-emel dalaman telah menunjukkan bahawa AkzoNobel telah menarik diri daripada pembekalan resin setelah diberitahu bahawa lapik kaca gentian yang akan dipasang di tangki berdinding konkrit tidak memenuhi standard keselamatan dan piawaian.

Susulan pemberian TOL bersyarat, saham syarikat Lynas telah melonjak semalam. Adalah jelas bahawa Kerajaan BN yang tidak bertanggungjawab ini sedang berpakat dengan pihak-pihak industri sehingga menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan beratus-ratus ribu rakyat Malaysia yang tidak bersalah.

Tahun lepas, Kerajaan BN telah membawa masuk sebuah panel pakar radiologi daripada IAEA untuk mengkaji kes ini. Namun demikian, panel tersebut bukan sahaja tidak mengandungi seorang pakar kesihatan awam dan persekitaraan, IAEA itu sendiri dilihat umum sebagai didorong oleh pihak industri, dan dijangka akan meluluskan projek tersebut.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mendedahkan bahawa projek Lynas telah mendapat kelulusan "fast-track" oleh Jabatan Persekitaran (DOE) Pahang. DOE telah menerima Penilaian Awal Impak Alam Sekitar (PEIA) pada 21 Januari 2008 dan meluluskannya pada awal bulan Februari. Kenapakah DOE memberi kelulusan dengan begitu tergesa-gesa dalam sebuah projek yang bukan sahaja rumit dan melibatkan sisa-sisa radioaktif yang berbahaya, tetapi juga tidak mempunyai pelan pembuangan dan penyimpanan sisa yang jelas?

Ekoran daripada bencana nuklear yang terjadi di negara maju seperti Jepun, Kerajaan BN harus meninggalkan sahaja rancangan mereka untuk membina dua loji nuklear menjelang 2020. Lynas selalu berkeras mempertahankan loji mereka yang akan memproses nadir bumi yang diimport dari Australia sebagai selamat, tetapi jika memang selamat kenapa tidak bina sahaja loji itu di Australia? Adakah ia kerana Lynas tidak dapat meyakinkan pihak pengawal selia persekitaran dan kesihatan di Australia bahawa loji mereka betul-betul selamat?

Sekiranya pihak berkuasa di Australia tidak sanggup menghadapi risiko yang berbahaya walaupun mereka mempunyai standard keselamatan yang tinggi, bagaimanakah kita boleh yakin bahawa BN akan memastikan standard kesihatan dan keselamatan projek yang berbahaya dan berisiko tinggi ini? BN mempunyai rekod prestasi yang tidak cemerlang apabila stadium yang dibina pun mengalami keruntuhan bumbung dan bangunan Parlimen pula bocor. Sehingga sekarang, tidak sesiapa tahu di mana loji seterusnya akan ditempatkan.

Hanya negeri yang ditadbir PR tidak akan mengambil risiko sedemikian. Saya telah lama menyatakan dengan bahawa selama PR berkuasa di Pulau Pinang, loji pemprosesan nadir bumi atau nuklear tidak akan dibina. Kerana itu, rakyat di Pahang dan juga negeri-negeri BN lain harus tahu bahawa hanya negeri-negeri yang ditadbir PR sahaja yang boleh memastikan tidak ada loji nadir bumi atau nuklear yang akan mengancam kesihatan dan keselamatan keluarga mereka.

Undi anda dalam Pilihan Raya Umum akan datang akan menentukan sama ada anda mahukan loji nuklear atau nadir bumi di kawasan rumah anda!


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional