red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Perutusan Thaipusam Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 7hb Februari 2012: 

Korupsi dan kapitalisme kroni, bukan negeri kebajikan yang akan membuatkan Malaysia bankrap 

Thaipusam diraikan bukan sahaja oleh masyarakat Hindu tetapi juga oleh golongan bukan Hindu sebagai tanda kemenangan kebaikan atas kejahatan serta kesedaran terhadap kebijakan dan pengetahuan. Ramai orang bukan Hindu juga mengangkat kavadi untuk menunaikan nazar. Inilah semangat harmoni dan saling hormat-menghormati yang begitu penting dalam sesebuah masyarakat berbilang budaya dan agama.

DAP mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut Hindu. DAP berharap bahawa pesanan kebaikan mengatasi kejahatan serta kebijakan dan pengetahuan akan mengukuhkan komitmen kita untuk membanteras korupsi dan kapitalisme kroni.

Malaysia telah kehilangan beratus-ratus bilion dolar Amerika melalui korupsi. Dalam unjuran terbaru Global Financial Integrity, sejumlah RM1,077 bilion wang haram (kebanyakannya wang rasuah) telah dikeluarkan daripada Malaysia dari tahun 2000-9. Kerugian satu trilion ringgit ini bermakna bahawa 10 tahun pertama dalam abad ke-21 adalah dekad yang telah hilang dek korupsi. Tiada tindakan yang telah diambil ke atas skandal RM52 bilion saham bumi yang sepatutnya diagihkan kepada masyarakat Bumiputra yang miskin tetapi telah lenyap begitu sahaja. Begitu juga dengan skandal Perwaja dan kerugian dalam tukaran matawang asing (forex) oleh Bank Negara yang berjumlah RM20 bilion.

Tidak hairanlah mengapa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah menjunam ke tahap yang paling teruk selama 60 tahun. Keengganan Kerajaan Persekutuan BN untuk mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengisytiharkan harta Ketua Menteri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menunjukkan kekurangan komitmen BN terhadap integriti dalam kepimpinan dan kebertanggungjawab awam.

Kegagalan BN untuk melaksanakan sistem tender terbuka juga telah mengakibatkan kapitalisme kroni. Sebagai contoh, Lebuhraya Pantai Barat RM7.07 bilion dengan tempoh konsesi selama 60 tahun serta keengganan untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang walaupun pengendali tol sudahpun mengaut keuntungan lebih daripada 100% ke atas pelaburan modal menunjukkan bagaimana kroni-kroni mendapat untung yang besar sementara yang ruginya 28 juta rakyat Malaysia.

Negara kebajikan yang memastikan bahawa yang miskin dan lemah tidak dipinggirkan tidak akan menjadikan Malaysia bankrap. Yang akan menjadikan Malaysia bankrap adalah korupsi dan kapitalisme kroni. Masa sudah tiba untuk membasmi kemiskinan, melaksanakan gaji minima dan mengurangkan beban kewangan golongan 60% terbawah yang mempunyai purata pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dan 40% terbawah yang terpaksa hidup dengan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Inflasi yang melambung telah membawa kesukaran kepada rakyat Malaysia. Program-program sosial mungkin memerlukan berbilion-bilion ringgit, tetapi tidak sampai kerugian RM1,077 bilion yang telah dibawa keluar daripada negara kita. Tidak ada sebab mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ingin menentang negara kebajikan yang akan membantu semua rakyat Malaysia terutamanya yang miskin, melainkan beliau merasa bimbang untuk segelintir kroni kapitalis yang akan rugi.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional