red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di George Town pada hari Isnin, 13hb Februari 2012: 

Pemimpin UMNO diingatkan hentikan fitnah tentang penjualan tanah di Bayan Mutiara 

Pemimpin UMNO diingatkan hentikan fitnah tentang penjualan 102.6 ekar tanah pada 2010 di Bayan Mutiara yang merangkumi 67.6 ekar tanah dan 35 ekar untuk ditambak laut. Pemimpin UMNO telah membuat fitnah bahawa penjualan Bayan Mutiara tidak dibuat secara tender terbuka, pemaju tidak perlu terikat dengan syarat membina rumah mampu milik di kawasan pulau tetapi boleh bina di Batu Kawan dan juga tidak ada peruntukan untuk rumah beribadat/surau.

Penjualan adalah dibuat secara tender terbuka menerusi Request for Proposal(RFP). Tender terbuka ini diiklankan dalam suratkahbar pada 2010. Tender dengan harga yang paling tinggi dipilih, bukan secara rundingan. Harga rizab sebanyak RM200 sekaki persegi ditetapkan, yang jauh lebih tinggi daripada anggaran harga penilaian yang diperolehi oleh PDC.

Tender dengan harga yang paling tinggi adalah RM240 sekaki persegi untuk dibayar dalam 5 tahun menjadikan keseluruhan bayaran RM1.07 bilion. Kos tambak laut akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju Ivory Properties Group Bhd. Sekiranya UMNO cakap harga penjualan RM240 sekaki persegi adalah rendah sangat dan harga yang lebih tinggi boleh diperolehi, mengapakah syarikat kroni UMNO tidak masuk tender membida tanah tersebut?

Adalah tidak benar pemaju dikecualikan dari membina rumah mampu milik ataupun boleh membinanya di Batu Kawan. Pemaju masih perlu memenuhi pembinaan mampu milik seperti yang disyaratkan di kawasan pulau. Pemaju juga perlu memenuhi keperluan sekolah dan surau/rumah beribadat seperti yang disyaratkan oleh MPPP sekarang.

Kerajaan negeri telah menggunakan keuntungan daripada penjualan tanah ini sebanyak RM500 juta sebagai Tabung Rumah Mampu Milik. Pembinaan lebih 12,000 unit rumah mampu milik di Batu Kawan daripada dana RM500 juta ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri sendiri dan tidak ada kena mengena dengan pemaju di Bayan Mutiara. Pemaju tersebut masih terikat dengan syarat rumah mampu milik tetapi ke kawasan pulau.

Adalah sungguh jahat sekali untuk UMNO cuba menipu rakyat bahawa kerajaan negeri hendak halau orang miskin ke Batu Kawan dengan mensyaratkan pemaju di kawasan pulau membina rumah mampu milik di Batu Kawan. Ini adalah tidak benar sekali kerana pemaju di kawasan pulau tidak dibenarkan berhijrah ke Seberang Perai untuk membina rumah mampu milik.

Oleh itu, saya ingatkan pemimpin UMNO untuk hentikan fitnah bahawa penjualan tanah di Bayan Mutiara adalah dirundingkan dan pemaju hanya perlu bina rumah mampu milik di Batu Kawan bila ia dibuat tender terbuka pada 2010 dan pemaju tetap terikat dengan syarat rumah mampu milik, sekolah dan surau/beribadat di Pulau Pinang.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional