red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan persidangan media oleh Lim Guan Eng di George Town pada hari Selasa, 14hb Februari 2012: 

Mencabar UMNO atau kroni-kroninya untuk membeli tanah 102.6 ekar di Bayan Mutiara pada harga RM420 sekaki persegi yang UMNO mendakwa adalah harga pasaran sebenar 

UMNO masih belum belajar daripada pesanan Abraham Lincoln yang berbunyi: "Anda boleh menipu sesetengah orang pada setiap masa, malah semua orang pada sesetengah masa, tetapi tidak semua orang pada setiap masa." Ahli Parlimen UMNO Kota Belud Abdul Rahman Dahlan begitu terdesak ingin mengaitkan Kerajaan Negeri PR dengan skandal sampai beliau mendakwa bahawa Kerajaan Negeri tidak menjualkan 102.6 ekar tanah secara tender terbuka tetapi dengan cara rundingan dan telah menjualkannya pada harga yang rendah iaitu RM240 sekaki persegi dan bukan harga pasaran RM420 sekaki persegi.

Abdul Rahman harus menunjukkan bukti bahawa tanah itu telah dijual secara rundingan. Projek ini telah melalui tender terbuka yang diiklankan dalam suratkhabar. Jika harga pasaran tanah di Bayan Mutiara adalah RM420 sekaki persegi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mencabar UMNO atau kroni-kroninya untuk membeli 102.6 ekar tanah di Bayan Mutiara pada harga RM420 sekaki persegi.

Dalam kata lain, Kerajaan Negeri boleh menerima RM1.873 bilion berbanding dengan RM1.07 bilion yang diterima pada harga RM240 sekaki persegi jika Abdul Rahman atau kroni-kroni UMNO boleh membayar RM420 sekaki persegi. Jika UMNO atau kroni-kroninya tidak berani menyahut cabaran dan membeli tanah ini pada harga RM420 sekaki persegi, maka mereka dibuktikan sebagai penipu.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang lain juga telah menipu bahawa Ivory Properties Group Bhd, pemaju yang telah memenangi tender terbuka, telah dikecualikan daripada pembinaan perumahan kos sederhana rendah di kawasan pulau dan dibenarkan untuk membina perumahan tersebut di Batu Kawan. UMNO juga telah mendakwa bahawa tidak ada kawasan yang diperuntukkan untuk sekolah atau surau/tempat beribadat.

Itu semua fitnah belaka. Pihak pemaju tidak diberi apa-apa pengecualian dan dikehendaki untuk membina perumahan kos sederhana rendah di kawasan Pulau serta memperuntukkan tanah untuk sekolah-sekolah dan tempat-tempat beribadat seperti yang disyaratkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Projek perumahan yang melibatkan hampir 12,000 unit rumah mampu milik di Batu Kawan adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tambahan kepada perumahan kos sederhana rendah yang mesti dibina oleh Ivory.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik HDB Singapura untuk merancang dan mereka bentuk perumahan Mampu Milik Berkualiti Yang Terunggul di Malaysia dan bukan untuk kerja pembinaan yang akan diberi secara tender terbuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan

Kerajaan Negeri telah menggunakan keuntungan RM500 juta daripada penjualan tanah di Bayan Mutiara untuk membina perumahan mampu milik di kawasan pulau dan juga di Batu Kawan. Ini adalah jumlah "one-off" yang terbesar pernah diperuntukkan oleh mana-mana kerajaan negeri untuk perumahan mampu milik di Malaysia.

Projek Batu Kawan merangkumi 12,000 unit rumah mampu milik dan akan menjadi perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang layak hidup dalam rumah dan bukan "kotak" supaya anak-anak mereka boleh membesar dengan sihat dan selamat. Daripada meniru yang terbaik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik perancang perumahan mampu milik yang paling terbilang di dunia - Housing Development Board (HDB) Singapura.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik HDB Singapura hanya untuk merancang dan mereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia, dan bukan untuk kerja-kerja pembinaan yang akan diberikan melalui tender terbuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan. Dakwaan UMNO bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih mempercayai kontraktor Singapura berbanding dengan kontraktor tempatan dalam pembinaan rumah mampu milik adalah tidak benar sama sekali kerana kerja-kerja pembinaan belum lagi ditawarkan lagi.

Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan memohon maaf kerana melantik HDB Singapura sebagai perunding perancang kerana mereka merupakan pereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di dunia. Kenapakah apabila firma Singapura datang ke Iskandar Johor, mereka dialu-alukan dan disanjung tetapi apabila firma Singapura datang ke Pulau Pinang mereka diserang dan dikritik?

Dwistandard oleh UMNO ini jelas bermotif politik untuk mengapi-apikan sentimen perkauman di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan menunduk kepada serangan perkauman dan akan berdiri teguh dalam objektif untuk menyediakan perumahan mampu milik yang terbaik di Malaysia untuk semua rakyat Pulau Pinang, tidak kira kaum atau agama, dengan melantik pihak yang terbaik di dunia untuk membantu kita.

Semua rakyat Pulau Pinang layak untuk hidup dalam rumah idaman mereka di mana anak-anak boleh hidup, belajar, bekerja dan bermain dalam keadaan sihat dan selamat. Kita mahu supaya semua rakyat Pulau Pinang, sama ada kaya atau miskin, boleh berkongsi rumah idaman ini.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional