red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media (2) oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Rabu, 22hb Februari 2012: 

1.6 juta rakyat Pulau Pinang berhak mendapat penghargaan berhubung pencapaian bersejarah Pulau Pinang menjadi nombor 1 di Malaysia dalam pelaburan bagi sektor pembuatan  

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang yang berhak mendapat penghargaan untuk pencapaian bersejarah Pulau Pinang menjadi nombor 1 dalam pelaburan sektor pembuatan untuk 2 tahun berturut- turut pada tahun 2011. Ini merupakan satu pencapaian yang menakjubkan dan luar biasa bagi negeri kedua terkecil di Malysia yang tidak mempunyai mana- mana sumber asli.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad mengumumkan bahawa Pulau Pinang mengungguli pelaburan sektor pembuatan untuk tahun kedua berturut-turut dengan RM9.1 bilion melepasi sasaran RM6.1 bilion. Pada tahun 2010, Pulau Pinang unggul dalam pelaburan sektor pembuatan di Malaysia buat pertama kalinya dalam sejarah dengan jumlah sebanyak RM12.2 bilion.

Pencapaian Pulau Pinang menjadi nombor 1 bagi tahun kedua berturut-turut merupakan sesuatu yang tidak diduga. Kerajaan Negeri telah memberi tumpuan kepada pengukuhan sumber manusia dan membina kapasiti untuk menarik sektor-sektor kritikal yang berpengetahuan intensif, berteknologi tinggi dan bernilai tinggi dalam elektronik, lampu LED, tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar, avionik dan aeroangkasa, peranti perubatan dan bioteknologi.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan bersejarah ini dan akan meneruskan pentadbiran CAT yang berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus. Tender terbuka yang kompetitif dan pengisytiharan aset oleh pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memberikan inspirasi keyakinan di kalangan pelabur terhadap komitmen politik kita ke arah urus tadbir yang baik dan bersih serta tanggungjawab peribadi terhadap integriti dalam kepimpinan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dan MIDA atas kerjasama mereka dengan InvestPenang. Mendiang Tun Dr Lim Chong Eu juga seharusnya tidak dilupakan untuk legasi beliau dalam meletakkan asas sebuah negeri industri yang telah membolehkan kerajaan sekarang membina setiap kejayaan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan terus membina bakat manusia dengan memberi tumpuan kepada latihan, latihan semula, mengekal dan menarik bakat- bakat baru. Tambahan pula, penaiktarafan logistik dan infrastruktur fizikal dan digital juga diperlukan. Pada masa yang sama, pembangunan sektor PKS akan lebih hebat dengan siapnya pusat PKS Pulau Pinang pada bulan Jun tahun ini yang akan menawarkan sewaan murah untuk permulaan syarikat yang berteknologi.

Untuk pertama kalinya, MIDA telah memperkenalkan penunjuk pengukuran baru iaitu "jumlah pelaburan" yang merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama. Dalam kategori baru "jumlah pelaburan" ini, Pulau Pinang tewas tipis kepada Sarawak di mana Sarawak menerima rangsangan yang besar daripada pelaburan minyak dan gas. Sarawak menarik kira- kira RM14.35 bilion dalam keseluruhan pelaburan tahun lepas manakala Pulau Pinang sebanyak RM14.038 bilion. Petronas sahaja melabur sebanyak RM6.7 bilion di Sarawak berbanding pelaburan yang minimum untuk Pulau Pinang.

Walaupun tidak mempunyai pelaburan dalam sektor utama, Pulau Pinang hanya kehilangan sebanyak RM300 juta kepada Sarawak disebabkan kekuatan yang mengagumkan dalam sektor perkhidmatan Pulau Pinang. Perkhidmatan sektor telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri sebagai salah satu enjin berkembar dalam pertumbuhan ekonomi bersama- sama dengan sektor pembuatan. Pulau Pinang berharap dapat melihat perkembangan perkhidmatan lebih 50% daripada KDNK menjelang tahun 2020.

Agensi berita US Bloomberg pada Oktober 2011 telah menyifatkan pertumbuhan Pulau Pinang ke dalam "kejayaan terbesar ekonomi" Malaysia walaupun Kerajaan Persekutuan memberi fokus kepada Johor dan Sarawak. Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk berkongsi kejayaan ini dengan Kerajaan Persekutuan demi manfaat bukan sahaja kepada 1.6 rakyat Pulau Pinang tetapi juga untuk semua rakyat Malaysia yang akan mendapat manfaat daripada peningkatan resit cukai ini.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional