red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan oleh Lim Guan Eng sempena Majlis Makan Malam Dan Pungutan Derma DAP Petaling Jaya Utara pada hari Rabu, 22hb Februari 2012: 

Kemunculan Pulau Pinang dan Selangor sebagai dua destinasi pelaburan sektor pembuatan yang terunggul di Malaysia bagi tahun 2011  

Kemunculan Pulau Pinang dan Selangor sebagai dua destinasi pelaburan sektor pembuatan yang terunggul di Malaysia bagi tahun 2011 dengan RM9.1 bilion dan RM8.7 bilion masing-masing membuktikan bahawa PR mampu mentadbir dengan bersih dan cekap dan menimbulkan keyakinan para pelabur. Inilah kali kedua di mana Pulau Pinang menduduki tempat pertama dalam pelaburan sektor pembuatan, susulan kejayaan menjadi nombor satu buat julung kali dengan jumlah pelaburan RM12.2 bilion pada tahun 2010.

Untuk 2011, tiga daripada lima negeri yang menerima pelaburan tertinggi merupakan negeri-negeri PR iaitu Pulau Pinang(1), Selangor(2) dan Kedah(5) dengan RM6.1 bilion. Sarawak mendapat No.3 dengan RM8.5 bilion dan Johor No.4 dengan RM6.6 bilion. Pentadbiran cekap berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus serta tender terbuka dan pengisytiharan aset secara umum oleh barisan pimpinan Kerajaan Pulau Pinang telah menimbulkan keyakinan para pelabur yang tidak perlu risau tentang "kos tersembunyi".

PR percaya bahawa komitmen toleransi sifar terhadap korupsi dan integriti pemimpin merupakan antara faktor utama kejayaan Pulau Pinang menjadi lokasi terpilih para pelabur untuk dua tahun berturut-turut. Kerajaan-kerajaan PR bukan sahaja telah menarik pelabur tetapi juga telah menonjolkan kemahiran pengurusan kewangan dengan lebihan bajet yang telah mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara.

Pengurangan Hutang Pulau Pinang Sebanyak RM600 Juta Atau 95% Dari RM630 Juta Kepada RM30 Juta Adalah Yang Paling Tinggi Dalam Sejarah Malaysia.

Pengurangan hutang Pulau Pinang sebanyak RM600 juta atau 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta telah dipertikaikan oleh BN sebagai penstrukturan semula hutang. Sekali lagi BN ingin menafikan kejayaan PR Pulau Pinang dalam pengurangan hutang yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia dengan mengatakan bahawa hutang Pulau Pinang telah distruktur semula dan dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Penstrukturan semula hutang adalah berbeza daripada pengurangan hutang.

Secara lazim, penstrukturan semula hutang merupakan proses yang membolehkan syarikat swasta, syarikat umum atau kerajaan yang menghadapi masalah aliran tunai dan masalah kewangan untuk mengurangkan atau merunding semula hutang tertunggak untuk meningkatkan atau memulihkan likuiditi supaya ia boleh terus beroperasi. Penggantian hutang lama dengan hutang baru di bawah keadaan biasa dirujuk sebagai pembiayaan semula.

Tidak berlaku penstrukturan semula hutang dalam kes ini kerana Pulau Pinang tidak mempunyai hutang tertunggak, tidak mempunyai masalah aliran tunai dan tiada masalah kewangan. Juga tidak berlaku pembiayaan semula kerana Pulau Pinang tidak menggantikan hutang lama RM630 juta dengan hutang baru. Yang berlaku hanya pengurangan hutang daripada RM630 juta kepada RM30 juta, di mana Kerajaan Negeri sekarang tidak perlu membayar RM600 juta.

BN mendakwa bahawa pindahan hutang yang sama telah dilakukan di negeri-negeri BN. Jika begitu, kenapa hutang negeri-negeri BN tidak dikurangkan sebanyak RM95% seperti di Pulau Pinang?

Malaysia telah kehilangan berbilion-bilion dolar Amerika melalui rasuah. Dalam laporan terkini Global Financial Integrity, unjuran sebanyak RM1,077 bilion wang haram (kebanyakannya wang rasuah) telah dialirkan keluar dari Malaysia dari tahun 2000-9. Kerugian satu trilion ringgit ini telah menjadikan 10 tahun pertama abad ke-21 sebagai dekad yang telah hilang dek korupsi. Tidak ada tindakan diambil ke atas skandal saham bumi RM52 bilion yang sepatutnya diagihkan kepada bumiputra miskin tetapi telah lenyap begitu sahaja ataupun skandal Perwaja dan kerugian pertukaran matawang asing Bank Negara yang berjumlah RM20 bilion.

Tidak hairanlah kenapa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah menjunam ke tangga ke-60, iaitu kedudukan yang paling teruk dalam sejarah. Keengganan Kerajaan Persekutuan BN untuk mengikuti langkah bersejarah Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengisytiharkan aset Ketua Menteri dan ahli-ahli Exco tidak memberi keyakinan terhadap komitmen BN dalam integriti kepimpinan dan kebertanggungjawaban awam.

BN juga telah gagal untuk melaksanakan sistem tender terbuka, justeru mengakibatkan kapitalisme kroni. Ambil sebagai contoh Lebuhraya Pantai Barat RM7.07 bilion baru-baru ini dengan tempoh konsesi 60 tahun, dan keengganan untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang walaupun pengendali tol sudah mengaut keuntungan lebih 100% daripada pelaburan modal, yang menunjukkan bagaimana sistem kapitalisme kroni menguntungkan segelintir elit dan menyusahkan 28 juta rakyat Malaysia yang lain.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional