red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 24hb Februari 2012: 

DAP menyesal kejadian pembakaran Kitab Suci Al-Quran oleh askar AS di Afghanistan yang merupakan tindakan penodaan dan penghinaan 

Kejadian yang cuai di Afghanistan di mana beberapa naskhah Kitab Suci Al-Quran telah dihantar ke tempat pembuangan sampah di sebuah Kem Askar AS dan kemudiannya dibakar merupakan tindakan penodaan dan penghinaan terhadap Agama Islam yang tidak boleh diterima.

DAP menyesal tindakan kurang sensitif ini yang tidak sepatutnya berlaku.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sudah pun meminta maaf dengan segera dan berjanji untuk mengambil langkah untuk mengelakkan pengulangan kejadian ini dan juga untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab. Ini merupakan reaksi yang positif daripada pihak Amerika, dan kami berharap bahawa tindakan susulan akan diambil supaya insiden seperti ini tidak akan berulang.

Pada masa yang sama, DAP menolak keras penggunaan kekerasan, dan menyesal bahawa tindakan balas telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya lima pembantah Afghan dan dua askar Amerika. Kami menyeru agar semua pihak akan bertenang dan tidak bertindak secara terburu-buru sementara penyiasatan sedang dijalankan.

Sebagai parti yang mendokong prinsip keamanan dan keadilan, DAP menekankan keperluan untuk kefahaman dan persaudaraan antara semua orang dalam dunia yang pelbagai budaya dan agama ini.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional