Surat oleh Lim Guan Eng kepada Ketua Polis Negara YBhg Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar pada hari Rabu, 29hb Februari 2012: Tindakan keras ke atas ahli UMNO dan Perkasa yang memukul wartawan dan mengancam saya 29 Februari 2011 YBhg Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar YBhg Tan Sri, TINDAKAN KERAS KE ATAS AHLI UMNO DAN PERKASA YANG MEMUKUL WARTAWAN DAN MENGANCAM SAYA Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk. 2. Seperti yang Tan Sri sedia maklum, pada 26 Februari 2012, beberapa pembantahan telah diadakan di seluruh Malaysia berkenaan dengan isu pembinaan loji nadir bumi Lynas di Kuantan. Malangnya, pembantahan anti-Lynas pada 26 Februari 2012 pada pukul 6:00 petang di Dataran Pidato, Padang Kota Lama, Pulau Pinang, telah diganggu oleh ahli-ahli UMNO dan Perkasa yang telah membuat rusuhan di kawasan itu. Sebelum saya sampai ke situ pada pukul 6:30 petang, saya difahamkan bahawa perusuh-perusuh itu telah cuba memaksa orang awam dan pembantah anti-Lynas balik rumah dan meninggalkan tempat itu. Ramai pula yang ditolak dan dipukul sehingga mereka jatuh, termasuklah wanita-wanita. Adalah nasib baik bahawa mangsa-mangsa tersebut tidak bertindakbalas balik. 3. Ini boleh dilihat dari laporan-laporan media dan juga dari rakaman video yang dilampirkan bersama surat ini, di mana perhimpunan aman yang diadakan di Dataran Pidato Pulau Pinang telah diganggu dan digugat oleh kekecohan sekumpulan orang yang dikenali sebagai ahli-ahli UMNO dan Perkasa Pulau Pinang, yang telah menyerang perhimpunan aman anti-Lynas itu dan telah menggunakan bahasa kasar, makian dan carutan perkauman seperti "Cina Babi, Cina Pulau Pinang Bodoh, Babi Sokong Lim Guan Eng Ketua Menteri". Ahli-ahli kumpulan tersebut telah juga mengganas peserta-peserta dan wakil-wakil media yang hadir, setakat dua orang wartawan Kwong Wah Jit Poh, Chew Seng Tun dan Lee Hong Chun, telah dipukul sehingga tercedera dan dipaksa mendapat rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang. 4. Peristiwa ini adalah kali kedua wartawan dan orang awam diugut dan diganas oleh perusuh-perusuh UMNO-Perkasa tanpa tindakan keras diambil ke atas mereka oleh polis. Sebelum ini, pada 1 Julai 2011 dua orang wartawan telah dipukul oleh peserta-peserta demonstrasi yang melibatkan ahli-ahli UMNO dan Perkasa di KOMTAR dan selepas itu juga di Jambatan Pulau Pinang. Sehingga sekarang, tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang memukul wartawan itu. 5. Saya ingin menarik perhatian Tan Sri kepada tingkahlaku perusuh-perusuh UMNO-Perkasa pada 26 Februari 2012 itu yang memukul, menghalang dan meludah kereta saya. Peristiwa ini berlaku secara terbuka dan sewenang-wenangnya di hadapan anggota-anggota polis yang hadir berhampiran, tetapi anggota-anggota polis tersebut tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengawal keadaan, melindungi saya dan mengambil tindakan ke atas mereka yang menghalang, memukul serta meludah kereta saya. Dari rakaman video yang dilampirkan bolehlah dilihat bahawa anggota-anggota polis berdiam diri dan menonton sahaja apabila orang awam diganas dan apabila kereta saya dihalang, dipukul dan diludah. 6. Saya sebagai Ketua Menteri negeri ini telah dijemput menghadiri perhimpunan tersebut, tetapi saya sendiri telah diancam dan hampir dipukul oleh ahli-ahli kumpulan UMNO-Perkasa yang tersebut. Ahli-ahli UMNO dan Perkasa telah menunjukkan penumbuk terhadap saya dan telah menggunakan carutan perkauman dan kata-kata ancaman seperti "You jaga". Jika tidak kerana rakyat umum yang melindungi saya, saya percaya bahawa saya sendiri akan diserang. Saya difahamkan bahawa sebelum saya sampai, sudah berlaku kekecohan di mana ada beberapa orang awam diserang dan dipukul kumpulan ahli Perkasa dan UMNO ini. Semua laporan polis yang berkenaan dan rakaman video telah dibuat dan diberikan kepada pihak polis. 7. Adalah jelas bahawa tinkahlaku anggota-anggota polis yang berdiam diri dan tidak menghalang mereka yang mengganas rakyat Pulau Pinang itu tidak boleh diterima. Saya berharap bahawa tindakan yang keras sekarang akan diambil oleh pihak polis ke atas mereka yang bersalah agar peristiwa-peristiwa seperti ini tidak berlaku lagi di Negeri Pulau Pinang. Perhatian peribadi Tan Sri ke atas perkara ini adalah didahului dengan terima kasih. Sekian, LIM GUAN ENG s.k.: YBhg Dato' Wira Ayub Haji Yaakob, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
|