Ucapan oleh Lim Guan Eng semasa Debat PR Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang pada hari Rabu, 29hb Februari 2012: Kenapakah tempoh konsesi Jambatan Pulau Pinang dilanjutkan 17 tahun? Saya berasa dukacita bahawa Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop gagal untuk menerima cabaran debat umum di kawasan beliau malam ini atas topik sama ada pemansuhan tol Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Jambatan Pulau Pinang akan menjadikan negara kita bankrap. Malaysia tidak akan bankrap jika PR memansuhkan tol NSE dan Jambatan Pulau Pinang sekiranya kita memenangi Pilihan Raya Umum yang akan datang. Yang akan menjadikan Malaysia bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Saya juga ingin tanya Tan Sri mengenai semakan semula tol. Kenapakah Kerajaan Persekutuan memangsakan Pulau Pinang dengan melanjutkan tempoh konsesi Jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun sehingga 2038 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) selama 11 tahun sehingga 2038, sebagai balasan untuk pembekuan kenaikan tol (lihat rajah di bawah)? Untuk BKE, pembekuan kenaikan tol hanya sampai 2015, dan kadar tol akan dinaikkan 5% setiap 3 tahun dari 2016. PENGECUALIAN PAMPASAN TOL ~ SEMAKAN SEMULA TERMA KONSESI
Pemansuhan tol NSE dan Jambatan Pulau Pinang tidak akan menjadikan negara bankrap tetapi adalah betul dari segi moral dan etika. Yang tidak berhati perut dan tidak adil kepada rakyat adalah hakikat bahawa syarikat-syarikat pengendali tol sedang mengaut keuntungan yang sangat tinggi walaupun kos pelaburan asal untuk pembinaan sudah habis dikutip. Jawapan bertulis Parlimen kepada saya telah menunjukkan bahawa syarikat pengendali tol NSE telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan lebuhraya tersebut, tetapi sudah menerima sebanyak RM24,266 juta daripada kutipan tol dan pampasan kerajaan setakat 31.12.2010. Dalam erti kata lain, syarikat pengendali tol NSE telah mencatat lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31.12.2010 daripada pelaburan asal. Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol? Sepatutnya, dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi NSE patut dihentikan serta merta memandangkan hasil kutipannya yang berjumlah RM18.3 bilion sudah pun 3 kali ganda pelaburan asal iaitu RM6 bilion. Keadaannya serupa untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip sebanyak RM1,859 juta dengan kos pembinaan RM944 juta. Lebihan yang dicatat sebanyak RM924 juta. Bagi BKE, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta manakala kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta. Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja tidak sepatutnya terus dibebani tol sehingga 31 Disember 2038, malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta. Kos Maksimum RM50 Bilion Untuk Pemansuhan NSE dan Jambatan Pulau Pinang Tidak Akan Menjadikan Malaysia Bankrap Kos maksimum untuk pemansuhan NSE dan Jambatan Pulau Pinang adalah RM50 bilion, iaitu RM40 bilion untuk NSE dan RM10 bilion untuk Jambatan Pulau Pinang. RM50 bilion tidak akan menjadikan negara bankrap. Yang akan menjadikan negara bankrap adalah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme. Lagipun, kos projek MRT baru pun sudah mencecah RM50 bilion. Malaysia mampu membayar RM50 bilion untuk memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang dan NSE tetapi tidak mampu menanggung rasuah yang berjumlah 100 bilion dolar Amerika (RM350 bilion). Laporan Global Financial Integriti telah menunjukkan bahawa sejumlah RM1,077 bilion wang haram telah dibawa keluar dari Malaysia dalam dekad yang hilang dek korupsi dari tahun 2000-2009. Tan Sri Nor harus menjelaskan bagaimana semakan semula dan pelanjutan konsesi tol Jambatan Pulau Pinang dari tahun 2021 ke 2038 sebagai balasan untuk pembekuan tol 10% betul-betul boleh membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang. Sekiranya diberi pilihan, rakyat Pulau Pinang lagi sanggup menerima kenaikan tol 10% setiap 5 tahun jika tol dimansuhkan pada 31.12.2021 daripada menunggu sampai 31.12.2038 walaupun tiada kenaikan tol dikenakan. Serupa juga untuk BKE, rakyat Pulau Pinang lagi sanggup membayar kenaikan tol 15-25% setiap 5 tahun sampai 27.6.2026 daripada membayar sehingga 31.23.2038. BKE adalah lebih teruk berbanding Jambatan Pulau Pinang kerana bermula dari tahun 2016 kadar tol akan dinaikkan 5% setiap 3 tahun berbanding setiap 5 tahun. Semakan semula dan pelanjutan tempoh konsesi tol sehingga 2038 sebagai balasan pengecualian pampasan kerajaan sebanyak RM6.5 bilion telah dilakukan tanpa rundingan dengan rakyat dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat pengendali tol sementara yang ruginya rakyat Pulau Pinang dan Malaysia. *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
|