red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://pgforward.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada hari Ahad, 1hb Januari 2012:

Tindakan polis mengganas di UPSI dikutuk

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan polis yang mengganas terhadap sekumpulan mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim semalam, menyebabkan lebih kurang 20 aktivis ditangkap dan beberapa mahasiswa berdarah teruk akibat dibelasah oleh pihak polis.

Pihak polis telah menggunakan kekuatan yang melampau terhadap aktivis-aktivis mahasiswa tersebut walaupun mereka hanya berkumpul semata-mata untuk menuntut kebebasan akademik serta menuntut supaya kes UPSI terhadap Adam Adli, aktivis yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib Tun Razak digugurkan.

Tuntutan mahasiswa-mahasiswi terhadap kebebasan akademik melalui himpunan aman merupakan sesuatu yang suci dan tulen. Tindakan polis yang mengganas semalam seolah-olahnya suatu bentuk campur tangan terhadap autonomi kampus dan seterusnya mencemarkan kesucian UPSI sebagai salah sebuah institusi akademik di tanah air kita.

Dilaporkan bahawa kira-kira lapan orang polis dan "Cawangan Khas" memukul Muhammad Safwan, Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) sehingga menyebabkannya mengalami patah tulang di bahagian kiri pipi setelah pihak polis meluru ke arah kumpulan mahasiswa terbabit apabila beberapa kali arahan polis tidak diendahkan.

Ini tidak bermakna pihak polis berkuasa untuk menggunakan kekerasan yang melampau terhadap seorang mahasiswa yang tidak bersenjata. Mengapa seorang mahasiswa perlu dilayan dengan cara polis yang biasanya membelasah seorang penjenayah? Tidakkah tindakan polis sedemikian telah melampaui batasan undang-undang dan anggota-anggota polis yang terbabit perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya?

Jikalau bukannya Muhammad Safwan sempat ditarik keluar oleh rakan-rakannya, kemungkinan besar Safwan telah mengalami maut akibat dibelasah oleh pihak polis. Sejak bilakah pihak polis boleh bertindak semacam samseng berlesen sehingga boleh mengganas tanpa mengambil kira keselamatan seseorang yang dikenakan tindakan olehnya?

DAPSY menuntut supaya pihak polis bertanggungjawab penuh terhadap kekerasan melampau yang digunakan terhadap kumpulan mahasiswa yang terbabit serta menuntut supaya anggota-anggota polis yang melampaui batasan undang-undang perlu dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, UPSI haruslah dengan serta-merta menggugurkan kesemua tindakan terhadap Adam Adli supaya pihak pengurusan serta barisan akademik dapat menyertai golongan mahasiswa untuk sama-sama menuntut kebebasan akademik untuk UPSI secara khasnya dan IPTA serta IPTS secara amnya.


Ng wei Aik, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang & ADUN Kawasan Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional