red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Steven Sim Chee Keong di Bukit Mertajam pada hari Jumaat, 13hb Januari 2012:

Isytihar harta: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tunai janji CAT dan menuju ke arah mencapai urus tadbir bertaraf dunia pertama

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang menyambut baik tindakan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Langkah ini bukan sahaja membuktikan pegangan kukuh pada prinsip CAT (Cekap, Amanah, Telus) oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, malah merupakan preseden bersejarah buat pentadbiran kerajaan di Malaysia. Pengisytiharan harta telah disarankan sebagai salah satu indikator untuk menilai ketelusan bahagian Eksekutif sesebuah kerajaan oleh Transparency International (Transparency International Souce Book 2000, bab 7). Justeru, dengan perlaksanaan ini, Pakatan Rakyat telah memacukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah urus tadbir bertaraf dunia pertama.

Langkah seterusnya bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah untuk menginstitusikan dasar pengisytiharan harta ini melalui suatu enakmen negeri bagi memastikan legasi urus tadbir baik akan berkekalan di Pulau Pinang.

DAPSY Pulau Pinang menyeru Kerajaan-kerajaan Negeri yang lain serta Kerajaan Persekutuan untuk mencontohi langkah pengisytiharan harta tersebut bagi memastikan ketelusan di kalangan penjawat jawatan tertinggi kerajaan agar tugas yang diamanahkan tidak menjadi batu loncatan untuk memewahkan diri secara tidak sah. DAPSY Pulau Pinang akan menghubungi rakan-rakan seperjuangan kami di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat agar menyarankan Kerajaan-kerajaan Negeri tersebut untuk berbuat sedemikian.

Akhir sekali, DAPSY Pulau Pinang ingin memberi peringatan kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak bahawa janji bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008 bahawa Kabinet Menteri akan mengisytiharkan harta mereka secara terbuka masih belum terlaksana. Dalam keadaan negara dilanda gejala rasuah berleluasa, keengganan Menteri-menteri UMNO-Barisan Nasional untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka menimbulkan pelbagai persoalan terhadap integriti mereka serta komitmen mereka dalam membendung rasuah.


* Steven Sim Chee Keong, Bendahari DAPSY Pulau Pinang & Ahli Majlis MPSP

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional