red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Khamis, 12hb Januari 2012: 

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan harta mereka secara terbuka hari ini 

Hari ini, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (tidak termasuk ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri) telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang. Saya telah mencadangkan 6 langkah integriti untuk memastikan kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).

6 langkah integriti adalah seperti berikut:

Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan. Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun.

Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni. Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

Rakyat Malaysia sudah pun kehilangan "satu dekad yang telah hancur dek korupsi", di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI). Skandal RM250 juta "lembu dan kondo" baru-baru ini di mana wang pinjaman untuk projek penternakan lembu yang telah diberikan kepada syarikat kepunyaan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani, telah digunakan untuk pembelian kondominium mewah, menjadi bukti bahawa BN tidak akan berubah.

Tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya di Pulau Pinang, kita telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Ketiga, Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan dan juga pendedahan umum kontrak-kontrak kerajaan.

Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah mengisytiharkan harta mereka.

Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis.

Terakhir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri.

Sudah jelas terbukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, tetapi juga bersih dan telus dalam pentadbiran. Kita telah menunjukkan kesungguhan terhadap integriti nasional dengan pengisytiharan harta penjawat-penjawat awam tertinggi, iaitu Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). Ini adalah ekoran daripada Akta Maklumat Bebas yang diperkenalkan dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tahun lepas serta sistem Tender Terbuka yang telah mendapat pujian daripada Transparency International dan juga Ketua Audit Negara.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional