red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 30hb Januari 2012: 

UMNO dan Utusan Malaysia sudah kehilangan kredibiliti malahan di kalangan Melayu  

Serangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap DAP sebagai cauvinis dan anti-Melayu serta kenyataan bersifat hasutan Utusan Malaysia bahawa DAP adalah parti paling rasis di dunia menunjukkan betapa kecewanya mereka kerana makin ramai Melayu sudah tidak percaya dalam UMNO dan Utusan sehingga mereka menyertai DAP. Utusan Malaysia sudah kehilangan kredibiliti malahan di kalangan Melayu apabila akhbar itu telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan diarahkan untuk membayar RM200,000 kerana memfitnah saya sebagai anti-Islam dan anti-Melayu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berhak untuk memanggil DAP cauvinis apabila DAP adalah sebuah parti berbilang kaum yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia manakala Tan Sri Muhyiddin adalah Melayu terdahulu dan rakyat Malaysia kemudian. Keengganan beliau untuk mengutuk Utusan Malaysia kerana menggambarkan tragedi rusuhan Mei 13 yang mengakibatkan kematian beribu-ribu rakyat Malaysia sebagai "hari keramat" jelas menunjukkan siapa sebenarnya yang bersikap cauvinis dan rasis.

DAP bangga dengan rekod memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan Orang Asli. Kerana itu, sudah makin ramai orang Melayu yang tidak percaya kepada UMNO dan penipuan Utusan tentang DAP.

Saya bangga walaupun terpaksa dipenjarakan dalam perjuangan menentang ketidakadilan terhadap sebuah keluarga miskin Melayu di Melaka. Adakah mana-mana pemimpin BN pernah ke penjara kerana memperjuangkan hak Melayu atau bukan Melayu? Kalau ada pun pemimpin BN yang dipenjarakan, ia adalah kerana penyelewengan dan rasuah dan bukan kerana memperjuangkan rakyat.

Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Utusan Malaysia membuktikan bahawa DAP dan saya sendiri tidak bersifat anti-Melayu atau anti-Islam. Sebaliknya, peruntukan untuk orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang telah ditingkatkan berkali-kali ganda berbanding dengan pentadibran BN.

Serangan Utusan yang mengatakan bahawa DAP adalah parti paling rasis di dunia adalah ekoran daripada kenyataan balas Lim Kit Siang kepada Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang telah menyeru agar masyarakat Cina tidak bereksperimen dengan perubahan dan terus menyokong BN. Kenapa tidak salah apabila Chua menyeru kepada masyarakat Cina untuk bersatu menentang perubahan, tetapi salah apabila Kit Siang menyeru supaya masyarakat Cina untuk bersatu untuk menukar kerajaan dengan menyokong PR?

Adakah DAP itu sebuah parti rasis kerana meminta supaya tindakan diambil terhadap kes rasuah seperti permintaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai skandal RM250 juta "lembu dan kondo" yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet? Adakah DAP itu rasis kerana menyerang UMNO yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kehilangan saham bumiputra berjumlah RM52 bilion yang sepatutnya diberikan kepada orang Melayu kebanyakan yang tidak menerima walau satu saham? Adakah DAP itu rasis kerana mempersoalkan konsesi lebuhraya Banting-Taiping selama 60 tahun dan berjumlah RM7.07 bilion kepada Kumpulan Europlus Bhd yang dimiliki seorang bukan Melayu?

Abraham Lincoln pernah berkata, "Anda boleh menipu sesetengah orang pada setiap masa, malah semua orang pada sesetengah masa, tetapi tidak semua orang pada setiap masa." Adalah jelas bahawa Utusan Malaysia sudah tidak relevan apabila orang Melayu pun sudah tidak percaya dalam fitnahnya.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional