red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Memorial Ulangtahun Ketiga Kematian Teoh Beng Hock (dibaca oleh Ean Yong Hian Wah) pada hari Ahad, 15hb Julai 2012:

Ucapan Memorial Ulangtahun Ketiga Kematian Teoh Beng Hock

Pada hari ini, tiga tahun lalu, pegawai MACC telah datang ke pejabat kita. Mereka bawa kamu pergi, tanpa memberi peluang untuk kamu ucapkan selamat tinggal. Tidak kami bayangkan, itu kali terakhir kami menatap wajah kamu.

Hari ini, tiga tahun telah berlalu sejak perpisahan terakhir itu. Dalam tiga tahun ini, kami telah jenuh mencari kebenaran di sebalik kematian kamu. Kami lalui proses hiba bedah siasat dan inkues di mahkamah. Kami bertabah melalui proses Suruhanjaya Siasatan DiRaja. Kami menanti penuh seksa, namun semuanya sia-sia belaka. Akhirnya kami terima laporan yang tidak sepenuhnya benar berkata-kata.

Laporan itu mengatakan kamu 'terdorong sehingga membunuh diri', apalah mengarut dan dangkalnya kesimpulan itu. Kami tidak boleh menerima konklusi menentang logika seperti itu. Kami masih ingat, sewaktu SPRM membawa kamu pergi, kamu sedang sibuk bersiap-siap untuk perkahwinan kamu. Saya telah bersetuju untuk hadir majlis perkahwinan kamu itu. Teman-teman kamu sudah siap sedia untuk menjadi 'adik beradik' pada upacara menjemput pengantin perempuan. Semua orang riang gembira memikirkan tentang kamu yang akan menjadi seorang suami dan ayah.

Tidak pula kami tahu, sejarah sedang bergurau dengan kami. Gurauan yang kejam dan menyakitkan.

Saya tidak boleh membayangkan penderaan mental dan emosi yang kamu lalui pada saat-saat akhir kamu di dunia ini. Ia pastinya kesakitan yang tidak mampu dilalui oleh sesiapapun. Di saat kamu memerlukan kami, kami tidak dapat bersama kamu. Kamu lalui semuanya sendiri.

Perjalanan hidup kamu seharusnya tidak terhenti dengan sekelip mata. Kamu ada pilihan. Kamu boleh memilih untuk bekerjasama dengan perancangan SPRM. Memilih untuk berbuat begitu pastinya membunuh demokrasi, tapi sekurang-kurangnya kamu akan menyelamatkan nayawa sendiri.

Tetapi kamu memilih untuk tidak bersekongkol. Kamu gunakan jiwa raga kamu sendiri untuk mempertahankan kebebasan dan demokrasi di negara ini. Kerana pengorbanan kamu itu, kerajaan negeri Selangor tidak digulingkan pihak lawannya. Kami hari ini menikmati hasil pentadbiran yang baik. Tetapi keluarga kamu, isteri dan anak kamu, kawan-kawan kamu, kehilangan kamu buat selama-lamanya.

Beng Hock, kami tidak akan melupakan pengorbanan kamu. Kami tidak lupakan kenangan indah kita bersama. Telah menjadi satu rahmat bagi saya untuk berpeluang bekerja dengan kamu. Saya amat berterima kasih untuk segala yang telah kamu lakukan, dan saya rindukan hari-hari yang kita habiskan merantau dan beruang untuk demokrasi.

Beng Hock, kami akan terus bekerja keras sehingga bertemu kebenaran dan keadilan ditegakkan. Kami tidak akan undur sehingga kamu mendapat keadilan daripada masyarakat dan negara ini.

Beng Hock, kami berjanji pengorbanan kamu tidak akan sia-sia. Kami akan membina negara yang lebih baik. Negara di mana rakyatnya tidak perlu takut kepada sebarang penganiayaan dan kehilangan nyawa. Negara yang dapat kita semua banggakan. Negara di mana Er Jia dan kanak-kanak lain akan membesar dengan gembira.

Beng Hock, hari ini saya bercakap bagi pihak seluruh rakyat Malaysia yang mendambakan demokrasi dengan mengucapkan, terima kasih.


* Parti Tindakan Demokratik

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional