red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Phee Boon Poh di Komtar, Georgetown pada hari Jumaat, 27hb Julai 2012:

Teng Chang Yeow makin terdesak untuk memenangi kembali Pulau Pinang untuk UMNO

Selain daripada 5 penipuan yang sudahpun didedahkan, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow makin terdesak untuk memenangi kembali Pulau Pinang untuk UMNO dengan menipu lagi tentang kes tanah 0.4 hektar di Jalan Zainal Abidin dan keengganan Kementerian Kesihatan untuk memberi lesen untuk hospital swasta multidisiplin.

Saya sudah pun mendedahkan 5 penipuan terdahulu:

  1. Sehingga sekarang, tiada lesen hospital swasta, seperti yang didakwa Teng, yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Yang ada hanya sepucuk surat "tiada halangan" daripada Kementerian Kesihatan yang bertarikh 12.7.2012 dan diterima pada 20.7.2012. Surat "tiada halangan" bukanlah lesen tetapi hanya pemakluman bahawa tidak ada bantahan terhadap permohonan lesen untuk hospital swasta khusus, yang harus dibuat dalam jangka masa 6 bulan. Teng tidak boleh menafikan bahawa Kementerian Kesihatan telah menolak permohonan untuk hospital swasta khusus dua kali pada 2.5.2012 dan 22.10.2012.

  2. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan kerajaan negeri tidak pernah meluluskan bangunan 30 tingkat di kawasan itu seperti yang didakwa Teng. Teng sengaja memutar belitkan "permohonan" pemaju untuk bangunan 30 tingkat sebagai "kelulusan" sedangkan ia telah ditolak oleh MPPP.

  3. Teng menakwa bahawa kawasan 0.4 hektar itu telah dirizabkan untuk perumahan awam oleh kerajaan BN terdahulu, tetapi Teng atau kerajaan negeri lama tidak pernah membuat walau satu pun kenyataan sebelum tahun 2008 mengenai pembangunan perumahan awam di kawasan itu. Teng sekarang mengeluarkan pelbagai dokumen yang bertarikh sebelum 2008 yang kerajaan negeri PR tidak pernah lihat kerana pejabat-pejabat kami telah diwarisi dalam keadaan kosong apabila kami mengambil alih pada tahun 2008. Kerana kawasan 0.4 hektar itu terlalu kecil sangat, kerajaan negeri PR telah memperuntukkan 4.2 hektar di Jalan SP Chelliah untuk tujuan perumahan mampu milik. Jelas 4.2 hektar di Jalan SP Chelliah adalah lebih baik daripada 0.4 hektar.

  4. Teng mendakwa bahawa sekiranya BN tidak "mendedahkan" perkara ini, orang awam tidak akan tahu rancangan kerajaan negeri PR untuk mebangunkan kawasan Jalan Zainal Abidin itu kepada hospital swasta. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah pun membuat pengumuman awam dan kenyataan-kenyataan akhbar 3 tahun lalu dalam pertengahan tahun 2009 tentang rancangan kerajaan negeri untuk mendirikan hospital swasta di pusat bandar. Teng boleh sahaja mencari maklumat ini dalam internet tetapi beliau memilih untuk menipu bahawa beliau dan orang awam tidak diberitahu tentang rancangan untuk mendirikan hospital swasta di situ.

  5. Teng mempersoalkan tender terbuka yang dijalankan dalam penjualan tanah tersebut walaupun tender ini bukan sahaja telah disiarkan melalui kenyataan-kenyataan akhbar tetapi juga melalui iklan suratkhabar. Kerajaan negeri telah menganugerahkan tender tersebut kepada pembida yang tertinggi.

Kini, Teng dalam hasratnya untuk mengenepikan dakwaan palsunya bahawa lesen hospital swasta telah diluluskan untuk tanah Jalan Zainal Abidin, sedang cuba untuk mengalihkan perhatian daripada hakikat bahawa kerajaan negeri harus menebus balik lebih RM10 juta jika lesen hospital swasta tidak dapat diperolehi. Teng telah menipu sekali lagi bahawa kerajaan negeri PR telah memberi jaminan kepada pemenang tender bahawa kelulusan daripada Kementerian Kesihatan akan diberi untuk pengendalian hospital swasta.

Kerajaan negeri PR tidak pernah memberi apa-apa jaminan sedemikian. Kerajaan negeri PR telah dengan jelasnya menyatakan bahawa tanah yang dijual itu hanya boleh digunakan untuk pembangunan sebuah hospital dan bukan untuk projek komersial. Sebagai salah satu usaha untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai nombor satu dalam pelancongan kesihatan, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membayangkan kesukaran dan keengganan Kementerian Kesihatan untuk memberi lesen hospital swasta walaupun terdapat kekurangan katil hospital di kalangan hospital-hospital swasta.

Jika lesen hospital swasta tidak diluluskan, adalah adil jika tanah itu dikembalikan kepada kerajaan negeri dengan penebusan apa-apa bayaran yang sudah dibuat. Tindakan Teng untuk mengkritik kami kerana ingin mengambil balik tanah tersebut adalah tidak munasabah dan mengelirukan kerana dahulu beliau telah mengkritik kami kerana menjual tanah tersebut.

Jika Teng tidak terdesak untuk membantu UMNO memenangi kembali Pulau Pinang, beliau harus memberi tekanan kepada Kementerian Keshiatan untuk memberi kelulusan untuk lesen hospital swasta. Sebaliknya, beliau hanya berminat untuk bermain politik dan membantu UMNO daripada memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri nombor satu dalam pelancongan kesihatan di Malaysia.


Phee Boon Poh, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Untuk Kesihatan, Kebajikan Dan Alam Sekitar & ADUN Kawasan Sungai Puyu

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional