red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang sempena Majlis Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang pada hari Sabtu, 14hb Julai 2012: 

Memenuhi 6 harapan rakyat Pulau Pinang 

Bersempena dengan Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2012 ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang dengan penuh takzim ingin melafazkan kesyukuran dan mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-74 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Saya dan seluruh rakyat sekalian mendoakan, semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat serta mendapat rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa sebagai ketua pemerintah Negeri Pulau Pinang.

Tuan Yang Terutama Tun, di Majlis yang mulia pagi ini, saya sekali lagi bersama-sama dengan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, dengan ini memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan negara Malaysia.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana sepanjang tempoh pemerintahan Tuan Yang Terutama Tun, Negeri ini berada di dalam suasana politik yang stabil dan keadaan ekonomi yang makmur dengan rakyatnya yang bersatu padu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh rakyat Pulau Pinang untuk terus mentadbir negeri ini dengan lancar dan berkesan. Sesungguhnya, amanah yang diberikan ini akan saya pikul dan laksanakan bersama-sama barisan pimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi dan integriti. Adalah menjadi tanggung jawab saya dan barisan pimpinan untuk melaksanakan tugas dengan mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi kebaikan negeri serta kesejahteraan rakyat jua.

Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri pada tahun ini. Semoga pengurniaan ini dapat menyemarakkan lagi azam, semangat dan iltizam para penerima anugerah dalam memberikan sumbangan dan jasa bakti demi pembangunan dan kemajuan negeri dan negara serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Tuan Yang Terutama Tun,

Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri akan terus mendokong usaha-usaha transformasi dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat bagi merealisasikan visi ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar. Bagi tujuan mengekalkan pembangunan negeri ke arah sebuah ekonomi berpengetahuan yang berpendapatan tinggi dan mapan, peruntukan pembangunan berjumlah RM332.93 juta telah disediakan pada tahun 2012 bagi pelaksanaan 669 projek. Jumlah ini melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak 12.87 peratus berbanding tahun 2011 yang berjumlah RM294.95 juta.

Bagi tempoh empat (4) tahun Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memerintah di antara 2008 sehingga 2011, perbelanjaan pembangunan telah dinaikkan 67% lebih tinggi daripada tempoh 4 tahun sebelum ini iaitu 2004 sehingga 2007. Tambahan peruntukan ini dibelanjakan untuk memperbaiki infrastruktur jalan, longkang, taman hijau, dewan orang ramai, pasar dan juga sekolah-sekolah.

i) Peruntukan Pembangunan Meningkat Dalam Tempoh 2008 - 2011 kepada RM743.4 juta berbanding RM444.5 juta pada 2004 - 2007.

Jumlah peruntukan pembangunan bagi 4 tahun daripada 2008 hingga 2012 adalah berjumlah RM743.4 juta berbanding dengan 4 tahun sebelum 2008 (2004-2007) yang berjumlah RM444.5 Juta. Peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM298.9 Juta atau 67.2% menunjukkan tekad jitu kerajaan negeri ini untuk membangunkan negeri Pulau Pinang.

ii) Menaiktarafkan Pasar-Pasar Awam Majlis Perbanaran Seberang Perai(MPSP) Sebanyak RM10 juta

Dalam 2 tahun kebelakangan ini Kerajaan Negeri berusaha menaiktaraf semua pasar-pasar awam di Seberang Perai. Justeru, RM10 Juta telah disediakan dan kerja-kerja menaiktaraf pasar-pasar awam sedang dijalankan.

iii) Pemberian Program Bantuan Sosial Dan Aktiviti Keagamaan Sebanyak RM111.2 juta

Bantuan sosial bagi golongan rakyat yang kurang berkemampuan juga diberi perhatian dan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Sejumlah RM 95.21 Juta telah dibelanjakan dalam tempoh 4 tahun daripada 2008 hingga 2012 untuk program sosial seperti Penghargaan Warga Emas/ Waris Warga Emas, Anak Emas, Pelajar Emas, Ibu Tunggal.

Manakala sejumlah RM 16 juta telah dibelanjakan bagi maksud sumbangan-sumbangan kepada aktiviti keagamaan seperti bantuan khas kewangan kepada Guru KAFA, sumbangan kepada masjid sempena bulan Ramadan dan lain-lain.

Kedua-dua bantuan yang diberikan untuk program bantuan sosial sebanyak RM95.21 juta dan bantuan keagamaan sebanyak RM16 juta, keseluruhannya ialah RM 111.2 juta. Jumlah tersebut tidak pernah diberikan sebelum 2008.

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Masih Mencapai Lebihan Bajet Walaupun Berdepan Dengan Peningkatan RM 42 juta Dalam Perbelanjaan MPPP untuk Tempoh 2008 - 2011 Berbanding dengan 2004 - 2007.

MPPP memperuntukkan sejumlah RM12.0 juta untuk menaik taraf Pasar Chowrasta yang telah dibina pada tahun 1890. Jumlah perbelanjaan keseluruhan MPPP dari tahun 2008 hingga 2011 adalah sebanyak RM 839.6 juta manakala jumlah perbelanjaan keseluruhan MPPP dari tahun 2004 hingga 2007 adalah sebanyak RM 797.6 juta. Sungguhpun MPPP menunjukkan peningkatan perbelanjaan sebanyak RM42 juta atau 5.3%, MPPP masih merekodkan Bajet lebihan.

Program Tebatan Banjir

Kerajaan Negeri juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM7 juta bagi menangani masalah banjir di negeri ini. Peruntukan ini antara lain akan digunakan bagi menaik taraf sistem pembentungan di Kampung Bukit, Bayan Lepas dan di Jalan Berek, Pulau Tikus.

Membasmi Miskin Tegar

Kejayaan Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang bebas dari miskin tegar di Malaysia dengan memastikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dinaikkan kepada RM600.00 sebulan setiap keluarga. Keluarga miskin tegar adalah yang berpendapatan kurang RM420 sebulan. Dengan kata lain, setiap keluarga miskin tegar ditambahkan wang oleh kerajaan negeri sehingga genap RM600 sebulan. Sejak tahun 2008 sehingga Mei 2012, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM3.25 juta selaras dengan pengekalan status Pulau Pinang sebagai miskin tegar sifar. Dengan penambahan PGK ini setiap tahun, Pulau Pinang berazam menjadi negeri pertama yang membasmi kemiskinan sama sekali menjelang 2015.

Pembinaan Modal Insan

Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian Pulau Pinang menjadi jaguh pelaburan di Malaysia buat kali kedua pada 2011 dengan menarik pelaburan sebanyak RM 9.1 bilion. Pada 2010, Pulau Pinang mencipta sejarah apabila menjadi jaguh pelaburan di Malaysia buat kali pertama dengan RM 12.2 bilion. Sumbangan Pulau Pinang sebanyak hampir 30% kepada FDI Malaysia membuktikan betapa pentingnya kerjasama di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri demi faedah rakyat yang menguntungkan semua. Lebih menggalakan bukanlah sekadar pelaburan tetapi juga kerana ia bermutu tinggi, bernilai tinggi dan berteknologi tinggi daripada syarikat antarabangsa berjenama dan terkenal yang memilih Pulau Pinang kerana wujudnya modal insan. Kerajaan Negeri akan berusaha membina dan menarik lebih banyak modal insan.

Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah hab pendidikan cemerlang di Balik Pulau yang boleh mendidik anak kita dan membina modan insan masa depan. Sebuah institusi pengajian tinggi iaitu Asian Women Leadership University (AWLU) yang bernilai RM 492 juta dengan 190 pekerjaan bernilai tinggi telahpun memilih tapak seluas 100 ekar tanah di Kampung Genting, Balik Pulau. Mengikut surat daripada Dato Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin telahpun meluluskan AWLU pada 10 Februari 2012. Kerajaan Negeri memang bangga bahawa AWLU telahpun memilih Pulau Pinang memandangkan tawaran yang lebih baik diberikan baik oleh negeri-negeri lain di Malaysia mahupun negara asing.

AWLU merupakan universiti wanita pertama di Malaysia dan dijangka menjadi salah satu universiti terkenal di rantau ini. Potensi kecemerlangan adalah cerah kerana ia digerakkan oleh universiti wanita yang paling terkenal di Amerika Syarikat- Smith College. Demi masa depan pendidikan anak kita, Kerajaan Negeri akan meneruskan proses pengambilan tanah yang melibatkan 60 ekar tanah milikan bukan Melayu dan 40 ekar tanah milikan Melayu di Kampung Genting mulai 23 Julai 2012, sekiranya AWLU enggan memilih tapak lain. Sebaik sahaja AWLU bersedia menggantikan tapak lain sebelum 23 Julai 2012, maka proses pengambilan tanah akan dibatalkan.

Tuan Yang Terutama Tun,

Di samping sektor industri pembuatan, sektor perkhidmatan khususnya pelancongan adalah sayap kedua jentera pembangunan ekonomi. Kerajaan Negeri berhasrat menarik 10 juta pelancong pada 2014. Ini memerlukan pembangunan infrastruktur seperti pusat pameran antarabangsa sPICE dan penggunaan pengangkutan awam yang meningkat. Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang diharapkan dapat siap selepas lewat satu setengah (1 1/2) tahun dengan tarikh siap bina terbaru pada 24 November 2012. Dengan kapasiti baru sebanyak 5 juta penumpang, bilangan penumpang sebanyak lebih 4.5 juta orang pada 2011 dijangka melepasi 5 juta orang pada tahun ini.

Kepercayaan yang diberikan kepada MPPP untuk menganjurkan 5th Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) mulai 17 hingga 20 September 2012, merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna buat Negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang akan meraikan 68 Datuk Bandar dan wakil-wakil delegasi dari 32 Badan Bukan Kerajaan dalam acara yang gemilang. Ini memperlihatkan kejayaan Kerajaan Negeri mempromosikan Pulau Pinang di sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Menerusi urusan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus atau CAT, Kerajaan Negeri bukan sahaja telah menjalankan pengurusan kewangan yang bersih tetapi juga membuktikan sebuah kerajaan yang bersih dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada sebuah kerajaan yang kotor dan berasuah. Ini boleh dicerminkan dengan rizab aset yang meningkat ke RM1.2 bilion, pengurangan hutang Kerajaan Negeri yang paling besar di Malaysia sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta dan lebihan Bajet yang paling besar dalam sejarah Pulau Pinang.

Pulau Pinang dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara dan Transparency International tetapi semua kejayaan ini tidak bermakna kecuali dinikmati oleh rakyat. Itulah sebabnya Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat selalu menekankan 3P- Perkasakan rakyat dengan pendidikan dan kepakaran, Perkuasakan rakyat dengan hak dan kebebasan agar semua mendapat peluang yang sama dan Perkayakan rakyat agar semua boleh mengecapi hasil ekonomi secara adil.

Rakyat Pulau Pinang berhak hidup dengan 6 harapan (6H) penuh. Harapan pertama adalah dapat cari makan dengan pekerjaan untuk menyara hidup ahli keluarga. Di Pulau Pinang, peluang pekerjaan begitu banyak dengan kemasukan pelaburan tertinggi di Malaysia sehingga wujud kekurangan pekerja baik di sektor pembuatan mahupun di sektor perkhidmatan.

Harapan kedua adalah untuk memastikan mutu kehidupan yang bersih, hijau, sihat dan selamat. Transfornsi Pulau Pinang daripada dulunya yang pernah digelarkan sebagai Darul Sampah, kepada sebuah negeri yang di antara paling bersih di Malaysia diakui semua. Kejayaan kempen Cleaner, Greener Safer & Healthier Penang membolehkan George Town dipilih sebagai most liveable city atau bandar paling sesuai didiami di Malaysia untuk expatriate pada 2011 dan diulanginya sekali pada 2012 oleh pakar antarabangsa ECA International.

Syabas kepada pekerja MPPP dan MPSP bawahan yang tidak jemu menjalankan kerja ¨C kerja sukar, kotor dan bahaya atau Dirty, Difficult and Dangerous (3D) demi memastikan kebersihan Pulau Pinang dan mengurangkan kekerapan banjir kilat. Pagi ini atas perkenan TYT Tun ke atas syor saya, 10 orang pekerja 3D MPPP dan 10 orang pekerja 3D MPSP dikurniakan pingat PJM. Saya ingin mengucapkan penghargaan ke atas kesediaan Tun TYT perkenan penganugerahan sedemikian kepada pekerja 3D sejak kali pertama ia dilakukan pada 2010 yang lebih bermotivasi selepas tanda penghargaan ini.

Harapan ketiga ialah kehidupan yang selamat dan bebas daripada ancaman jenayah. Demi membolehkan bukan sahaja statistik mengatakan kita selamat tetapi yang lebih penting adalah persepsi kita dapat rasa selamat, kerajaan Negeri telah mengambil 3 inisiatif baru : -

i) memasang CCTV di kawasan hotspots

ii) menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela atau PPS di seluruh negeri untuk membantu polis mengawal halaman kediaman mereka

iii) bekerjasama dengan polis dan pasukan keselamatan menerusi mesyuarat bulanan Majlis Keselamatan Negeri untuk mencari penyelesaian inovatif menerusi kepolisan masyarakat.

Adalah diharapkan Kementerian Dalam Negeri boleh menghantar lebih ramai anggota polis dan menambahkan peruntukan kewangan ke Pulau Pinang agar insiden seperti wanita tua Tan Kim Chuan yang mati selepas menjadi mangsa curi ragut dan Fatimah Ahmad, ibu tua berumur 73 tahun kepada Ahli Parlimen Balik Pulau YB Yusmadi Yusof, yang ditumbuk ketika dirompak dalam rumahnya tidak berulang lagi.

Harapan keempat adalah memastikan perumahan mampu milik kepada golongan tidak berada. Tanggungjawab menyediakan perumahan mampu milik yang selamat, kondusif dan selesa tidak pernah diabaikan. Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Berjiwa Rakyat telah meluluskan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sebanyak 11,596 unit yang dilaksanakan secara langsung oleh Kerajaan Negeri melalui agensi pelaksananya Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan pihak swasta.

Bagi memastikan golongan tidak berada dapat memiliki rumah mampu milik yang berkualiti, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM500 juta selepas 4 tahun usaha berjimat cermat dan belanjawan berhemah di bawah urustadbir CAT. Di bawah Fasa 1, PDC memperuntukkan kawasan seluas 200 ekar di Batu Kawan yang melibatkan pembinaan 11,800 unit apartmen. Kerajaan Negeri telah melantik HDB Singapura, iaitu pembina rumah mampu milik yang terbaik di dunia, bagi memastikan rumah mampu milik di Batu Kawan adalah yang paling berkualiti di Malaysia.

Di bawah Fasa 2, kerajaan negeri, MPPP dan MPSP telah memperuntukkan tanah MPPP dan tanah MPSP seluas 77 ekar di empat daerah lain, iaitu 29 ekar di Seberang Perai Utara, 3e ekar di Seberang Perai Tengah, 11 ekar di Daerah Timur Laut dan 6 ekar di Daerah Barat-Daya. Keempat-empat tapak ini melibatkan 6,000 unit rumah mampu milik.

Secara keseluruhan, 277 ekar tapak kerajaan disediakan untuk rumah mampu milik untuk membina 18,000 unit rumah mampu milik. Dengan sumbangan 20,000 yunit rumah mampu milik oleh pihak swasta, diharapkan 38,000 yunit rumah mampu milik cukup untuk menampung permintaan golongan tidak berada.

Harapan kelima adalah memastikan pendidikan yang baik untuk anak-anak kita. Kerajaan Negeri telah merealisasikannya dengan 4 inisiatif baru berikut:-

a) menubuhkan Hub Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau yang telahpun menarik minat AWLU, universiti wanita pertama di rantau ini, yang digerakkan oleh universiti wanita terbaik di Amerika Syarikat Smith College;

b) menubuhkan Majlis Sains Negeri Pulau Pinang yang dipandu oleh pihak swasta dan ahli akademik untuk memantapkan penguasaan ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Pelbagai acara sains seperti Robotik dan Pesta Antarabangsa Sains yang pertama kali di Malaysia dianjurkan di stadium;

c) memberikan bantuan tahunan sebanyak RM12 juta kepada sekolah-sekolah semua aliran; dan

d) menerusi tajaan RM 4 juta daripada ECM-Libra sedang membina Pusat Pembelajaran Pulau Pinang(Penang Learning Center) di Lorong Buah Pala yang akan memperkasakan pelajar-pelajar menguasai bahasa Inggeris dan lain bahasa di samping memberikan tuiysen.

Harapan keenam adalah agar kita semua hidup bermaruah. Harapan kita untuk melihat anak-anak kita dapat hidup lebih maju dan baik daripada kita. Pulau Pinang menghormati hak dan memberikan kebebasan demi menegakkan prinsip "Kerajaan Berjiwa Rakyat, Martabatkan Rakyat". Contohnya masalah kesesakan trafik ditangani dengan rancangan membina projek infrastruktur jalan dan juga terowong bawah laut sebagai "bypass dan ring road".

Sungguhpun pengangkutan awam dikuasai oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri berusaha meningkatkan penggunaan bas dengan memberikan perkhidmatan bas percuma. Kerajaan negeri telah membelanjakan RM 2.5 juta setiap tahun untuk memberikan perkhidmatan bas percuma CAT dalam kawasan warisan dunia UNESCO George Town dan juga bas percuma Bridge Express Shuttle Transit(BEST) di antara Seberang Perai dan Bayan Lepas setiap hari pada waktu puncak.

Sebagai langkah terus mengurangkan kesesakan trafik, Kerajaan negeri telah menawarkan pembayaran RM10 juta setahun kepada Rapid Penang untuk memberikan perkhidmatan bas percuma selama 7 jam pada waktu puncak 6-9 pagi dan 4.30 petang hingga 8.30 malam untuk lima hari bekerja Isnin hingga Jumaat bagi seluruh Pulau Pinang demi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Sekali lagi, Pulau Pinang memimpin dengan muncul sebagai negeri pertama di Malaysia memberikan perkhidmatan WiFi percuma di tempat awam. Tiga (3) tahun selepas idea ini telah diilhamkan, kerajaan negeri buktikan ia cakap serupa bikin dengan penyediaan perkhidmatan WIFI percuma di 1,550 hot spot wifi percuma di kesemua 40 KADUN di seluruh Pulau Pinang. Sungguhpun kerajaan negeri menanggung kos RM8.5 juta, Kerajaan Negeri yakin ia perlu untuk mentransformasikan Pulau Pinang kepada Bandaraya Antarabangsa dan Pintar yang boleh berdaya saing secara global.

Sektor pertanian turut menyumbang kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang. Justeru, Kerajaan Negeri telah membangunkan kawasan seluas 85 ekar di Juru, Daerah Seberang Perai Tengah sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Sehingga kini, lebih 95% kawasan yang terlibat dengan TKPM Juru telahpun mempunyai peserta dari pelbagai subsektor tanaman, penternakan ikan, udang dan ayam. Kerajaan Negeri mensasarkan 100% penyertaan di TKPM Juru menjelang penghujung tahun 2012. TKPM Juru merupakan satu model pertanian baru yang mengintegrasikan tanaman nenas dan cendawan, ternakan ikan, udang, ayam dan ikan hiasan.

Selain itu, Penang Youth Development Corporation dan Penang Women's Development Corporation Sdn. Bhd. (PWDC) telah ditubuhkan sebagai jentera kepada Kerajaan Negeri untuk memantapkan pembangunan belia dan wanita masing- masing di negeri ini. Kerajaan Negeri juga berhasrat menjadikan Negeri Pulau Pinang negeri yang pertama sebagai Negeri "Rakan Penyusuan Ibu".

Saya yakin dan percaya, dengan sifat toleransi, bersatu-padu, hormat-menghormati dan bekerjasama di setiap lapisan masyarakat, segala perancangan dan usaha dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. Justeru, saya mengharapkan agar rakyat sekalian akan melipatgandakan usaha untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri yang kita cintai ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengawai Kerajaan Negeri dan pasukan keselamatan awam atas sumbangan mereka.

Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat negeri ini, sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas jasa bakti dan keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun dalam menerajui pemerintahan negeri ini dan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Jadi Yang Ke-74. Kami berdoa agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Berbahagia Toh Puan serta keluarga sentiasa dilimpahi oleh Yang Maha Esa dengan segala keberkatan di dalam menjalani kehidupan seharian serta hidup aman bahagia dan sejahtera selalu hendaknya.

Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional