red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng in Kuala Lumpur pada hari Selasa, 24hb Julai 2012: 

Dato' Sri Najib harus mengarahkan Timbalan Pengerusi UMNO PP & Pengarah Pilihan Raya BN PP untuk memulangkan keuntungan kepada 31 pemilik tanah Melayu 

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak harus mengarahkan timbalan pengerusi UMNO Pulau Pinang Dato' Musa bin Haji Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang Dato' Omar Haji Faudzar untuk memulangkan keuntungan RM5 juta sebagai broker tanah atau 57% keuntungan yang dikaut dalam 3.5 bulan kepada 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang. Walaupun tindakan kedua-dua pemimpin UMNO ini tidaklah haram, tindakan mereka sebagai broker tanah untuk menjual tanah Melayu untuk keuntungan peribadi yang sepatutnya dimiliki pemilik tanah Melayu adalah tidak bermoral dan tidak berprinsip, apatah lagi apabila mereka mendakwa kononnya mempertahankan hak tanah Melayu.

Minggu lepas, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain telah mendedahkan skandal pencatutan tanah oleh kedua-dua pemimpin UMNO ini yang membabitkan hampir 10 ekar tanah di Kampung Terang, Balik Pulau:

  • Tanah dipindah milik daripada 31 pemilik tanah Melayu kepada Maison Heights Sdn Bhd pada 31 Januari 2012 dengan jumlah harga RM8.6 juta;

  • Maison Heights Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 6 Mac 2009 untuk tujuan pembinaan, tanah, pelaburan dan pemajuan hartanah serta perdagangan am;

  • Maison Heights Sdn Bhd mempunyai modal berbayar RM1 juta dan dimiliki oleh Dato’ Musa dengan RM500,000 saham, Dato' Omar dengan RM499,999 sementara adik Omar Harun mempunyai RM1 saham.

  • Maison Heights Sdn Bhd telah menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd pada 16 Mei 2012 dengan harga RM13.5 juta.

Dalam erti kata lain, Maison Heights Sdn Bhd ataupun Dato' Musa dan Dato' Omar telah mengaut keuntungan hampir RM5 juta daripada transaksi tanah dalam masa 3.5 bulan. Keuntungan RM5 juta ini daripada pelaburan asal RM8.6 juta bermaksud margin keuntungan adalah 57% dalam masa 3.5 bulan sahaja - satu keuntungan yang luar biasa dalam masa yang singkat.

Adakah ini caranya pemimpin UMNO mempertahankan hak Melayu – dengan mengaut keuntungan yang sepatutnya dimiliki orang Melayu biasa? Sehingga sekarang, mereka belum lagi menjelaskan bagaimana keuntungan RM5 juta itu boleh membawa manfaat kepada 31 pemilik tanah Melayu tersebut.

Dahulu, kedua-dua pemimpin UMNO ini telah mengkritik kerajaan negeri kerana ingin mengambil tanah Melayu demi mengejar keluar orang Melayu daripada Pulu Pinang. UMNO juga telah mengkritik kerajaan negeri kerana ingin memperoleh tanah 100 ekar di kawasan lain di Balik Pulau untuk tujuan pendidikan dengan mendirikan Asian Women Leadership University (AWLU). Kerajaan Pulau Pinang telah dimangsakan dengan serangan rasis UMNO walaupun 60% tanah tersebut dimiliki bukan Melayu dan hanya 40% dimiliki Melayu.

AWLU telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Februari 2012 sebagai projek utama pendidikan dalam usaha mentransformasikan Malaysia kepada ekonomi pendapatan tinggi. Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Idris Jala pada 12 Jun 2012 telah meminta kerajaan negeri untuk memulakan proses pemindahan milik tanah 100 ekar kepada AWLU.

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyokong inisiatif untuk menubuhkan universiti wanita pertama di Malaysia, memandangkan ia akan dikendalikan oleh Smith College, iaitu universiti wanita terunggul di Amerika Syarikat. Selepas kerajaan negeri berjaya memujuk AWLU untuk memilih kawasan lain, proses pemerolehan tanah telah dibatalkan. Ini bukan sahaja telah melumpuhkan serangan rasis UMNO tetapi juga telah membuktikan bahawa kerajaan negeri hanya memperoleh tanah untuk tujuan awam dan juga hanya berdasarkan cadangan yang kredibel daripada institusi yang boleh dipercayai.

Pada masa yang sama, pendedahan skandal pencatutan tanah oleh pemimpin-pemimpin UMNO membuktikan kemunafikan UMNO yang menguar-uarkan pertahanan hak Melayu tetapi sebenarnya menggadaikan hak mereka. Jelas bukanlah kerajaan negeri PR Pulau Pinang tetapi pemimpin-pemimpin UMNO seperti Dato' Musa dan Dato' Omar yang telah menggadaikan tanah Melayu.

Najib harus menyelamatkan kredibiliti UMNO dengan mengarahkan kedua-dua pemimpin UMNO ini untuk memulangkan keuntungan RM5 juta yang diperoleh kepada 31 pemilik tanah Melayu. Jika mereka adalah broker tanah yang tulen, mereka berhak untuk mendapat komisyen pada kadar pasaran iaitu 2% ataupun RM270,000 dan bukan RM5 juta ataupun kadar komisyen 57%!


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional