red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng in Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 28hb Julai 2012: 

Polis harus menjalankan penilaian statistik jenayah yang bebas dan tepat 

Untuk berjaya menangani gejala jenayah yang kian meledak di serata negara, pihak polis harus menjalankan penilaian statistik jenayah yang bebas dan tepat dan bukan bergantung kepada statistik yang dikompil sendiri atau Kerajaan Persekutuan demi memastikan persepsi awam tentang keselamatan akan setimpal dengan penurunan dalam indeks jenayah yang dilaporkan. Walaupun Menteri Dalam Negeri telah mendakwa bahawa indeks jenayah sudah berjaya diturunkan, kes-kes penculikan, serangan dan rompakan di kawasan-kawasan awam di siang hari makin berleluasa.

Lebih teruknya, mangsa-mangsa rompakan bukanlah hanya rakyat biasa tetapi juga orang-orang kenamaan dan ahli-ahli politik kebangsaan. Dalam kes-kes terbaru, ahli EXCO Melaka Datuk Latiff Tamby Chik telah mengalami kerugian sebanyak RM200,000, sementara rumah bekas Ketua Polis Melaka Datuk Ahmad Long dan jirannya telah dipecah masuk. Kejadian-kejadian seperti ini menimbulkan perasaan curiga terhadap penurunan indeks jenayah yang diuar-uarkan. Untuk sebab ini, penilaian pihak ketiga tentang penurunan indeks jenayah sekurang-kurangnya dapat meyakinkan rakyat bahawa indeks jenayah itu memberi gambaran yang tepat tentang keadaan jenayah dan keselamatan awam di Malaysia.

Jelas penurunan indeks jenayah yang dilaporkan tidak diikuti dengan peningkatan keyakinan awam tentang keselamatan awam. Statistik yang menunjukkan penurunan indeks jenayah adalah tidak relevan apabila persepsi awam adalah bertentangan dan orang tidak berasa selamat. Malah bekas KPN Tan Sri Musa Hassan sendiri mempersoalkan penurunan indeks jenayah yang dilaporkan, dan berkata bahawa jika benar kadar jenayah tidak meningkat maka menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi tidak perlu mengupah pengawal peribadi.

DAP ingin mengulangi tuntutan kami kepada Kementerian Dalam Negeri supaya pegawai-pegawai polis dilantik untuk tujuan memerangi jenayah. Jika perlu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn patut menempatkan semula pegawai-pegawai perisik Cawangan Khas (SB) untuk memerangi jenayah daripada kegiatan mengintip dan mengganggu pemimpin-pemimpin PR. Sehingga kini, beliau masih tidak menjawab dakwaan bahawa SB telah menghasilkan 382,000 laporan mengenai kegiatan-kegiatan politik rakyat Malaysia dan menjalankan 351,000 pemeriksaan keselamatan pada tahun 2010, berdasarkan peruntukan polis dalam Bajet 2012.

Jika SB dapat ditempatkan semula untuk menghasilkan lebih daripada 700,000 laporan tentang jenayah dan penjenayah daripada laporan tentang pemimin-pemimpin PR, maka dana rakyat bukan sahaja akan digunakan dengan betul tetapi keyakinan bahawa polis akan menjaga kepentingan awam dan bukan hanya kepentingan politik UMNO atau BN akan dihasilkan. Semua rakyat Malaysia berhak mempunyai ketenangan fikiran bahawa saudara-mara mereka, khususnya yang wanita, dapat keluar dan balik daripada rumah dalam keadaan selamat.

Jika BN enggan berubah dan terus membenarkan SB untuk digunakan untuk kepentingan politik sendiri, maka rakyat tidak ada pilihan melainkan untuk menukarkan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan PR akan memastikan fungsi SB adalah untuk membuat risikan ke atas penjenayah dan pelampau yang ingin menggunakan keganasan untuk menggulingkan kerajaan dengan cara tidak berperlembagaan, dan bukan sebagai senjata terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyertai proses demokratik secara aman.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional