Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Ahad, 29hb Julai 2012: Adakah Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd akan membuat kenyataan umum tentang terma penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang? Adakah Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd ataupun Seaport akan berhenti berahsia dan membuat kenyataan umum tentang terma penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang untuk meyakinkan rakyat bahawa tindakan ini akan memanfaatkan masa depan Pulau Pinang dan bukan satu "penlanunan" demi keuntungan sebuah kroni BN? Infrastruktur komunikasi seperti pelabuhan, lapangan terbang dan pengangkutan awam adalah barang awam yang serupa dengan perkhidmatan air, pembekalan tenaga elektrik, kesihatan dan pendidikan. Barang awam ini harus dipantau dengan tegas oleh kerajaan untuk memastikan kepentingan awam diberi keutamaan ke atas keuntungan swasta. Kegagalan untuk membuat demikian akan membenarkan syarikat-syarikat swasta untuk mengaut keuntungan yang tinggi sementara mengurangkan kecekapan, kebolehpercayaan dan kemampu milikan perkhidmatan awam. Tanpa pemantauan kerajaan yang tegas ke atas barang awam, penswastaan akan membawa kepada penlanunan di mana hanya keuntungan yang akan diswastakan dan segala kerugian akan ditanggung pihak awam. Terdapat kebimbangan bahawa sekiranya penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dijalankan tanpa rundingan dengan kerajaan negeri, pihak-pihak berkepentingan setempat serta rakyat Pulau Pinang, maka ia akan menjadi lagi satu program penlanunan. Lebih teruknya adalah keraguan sama ada tender ini terbuka dan berdaya saing kerana hanya mereka yang dijemput oleh Kerajaan Persekutuan telah diterima. Bidaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pun tidak dilayan walaupun surat-surat telah dihantar kepada Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak. Sehingga sekarang tidak ada butiran mengenai penganugerahan Pelabuhan Pulau Pinang kepada Seaport, dan terma penswastaan atau pengambil alihan ini masih lagi diselubungi rahsia dan misteri. Pengisytiharan umum Seaport baru-baru ini bahawa mereka tidak berancang untuk menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan penghantar (feeder port) serta tidak berancang untuk memindah kren-kren Pelabuhan Pulau Pinang kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor seperti yang didakwa tidak akan memadamkan kebimbangan tanpa pendedahan penuh tentang fakta dan perangkaan rancangan mereka. Tambahan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary selaku pemilik Seaport dan pengendali dua pelabuhan di Johor - PTP dan Pasir Gudang, belum lagi menjawab kritikan bahawa pengambil alihan Pelabuhan Pulau Pinang akan mewujudkan monopoli yang bertentangan dengan Akta Persaingan 2010 dan merupakan pelanggaran undang-undang anti-trust. Jaminan Seaport juga bercanggah dengan Presiden MCA dan Pengerusi Penang Port Commission Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang terdahulu telah membuat kenyataan umum bahawa Pelabuhan Pulau Pinang harus menerima hakikat bahawa ia akan menjadi pelabuhan penghantar. Malah, beliau berkata bahawa Pelabuhan Pulau Pinang hanya mendapat keuntungan RM180,000 pada tahun lepas dengan hutang RM1.3 bilion berbanding Johor Port kepunyaan Seaport yang mengaut keuntungan RM185 juta. Apakah jaminan kepada rakyat bahawa Seaport tidak akan menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan penghantar memandangkan PTP dan Pasir Gudang mencatat prestasi yang lebih baik? PTP yang mula beroperasi pada tahun 1999 mengendalikan lebih 6 juta TEU setahun, 5 kali ganda Pelabuhan Pulau Pinang! Pulau Pinang juga melihat pertumbuhan kargo 5.8% setahun antara 1995 hingga 2009 berbanding 14.2% untuk Pelabuhan Klang. Kegagalan untuk mendalamkan saluran navigasi hanya akan menggagalkan usaha untuk memulihkan Pelabuhan Pulau Pinang kepada status dahulu sebagai pelabuhan komersial serantau. Untuk sebab itu, keengganan Kerajaan Persekutuan dan Seaport untuk menyatakan sama ada projek RM353 juta untuk mengorek saluran navigasi di Pelabuhan Pulau Pinang akan dilaksanakan ataupun hanya jumlah yang kecil akan digunakan untuk tujuan tersebut akan menyebabkan kecurigaan bahawa Pelabuhan Pulau Pinang akan dijadikan pelabuhan penghantar. *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
|