red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 1hb Julai 2012: 

Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi berperanan sebagai lidah rasmi fitnah dan "akhbar-karut"

Utusan Malaysis sekali lagi berperanan sebagai “akhbar-karut” dalam laporan Awang Selamat didalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini dengan dakwaan “Lim Kit Siang adalah antara orang kepercayaan Kuan Yew ketika dalam PAP. Beliau juga adalah bekas Setiausaha Akhbar Kuan Yew sewaktu zaman muda nya.”

Ini merupakan helah bohong dan fitnah semata-mata, kerana saya tidak pernah sekalipun terlibat didalam PAP dalam tempoh saya memegang jawatan sebagai wartawan di Singapura dari tahun 1961-1964, walaupun saya aktif dalam Singapore National Union of Journalists, sebagai Setiausaha Agung 1962-1963.

Tambahan pula, saya tidak pernah sekalipun menjadi setiausaha akhbar kepada Kuan Yew walaupun saya telah berkhidmat untuk satu tempoh didalam bahagian media didalam Kementerian Kebudayaan.

Tetapi apa yang mengaitkan Utusan Malaysia sebagai “akhbar-karut” daripada fungsi sah sebuah akhbar adalah peningkatan kempen tohmahan dan fitnah yang tidak berprinsip dan palsu terhadap DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat, terutama sekali dengan keyakinan pemimpin dan pakar strategi UMNO/Barisan Nasional yang semakin terhakis dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 seperti yang dijangkakan meskipun dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan kekalahan teruk PR didalam tangan BN “14-0”.

Ini telah mengakibatkan penangguhan tarikh pilihanraya umum ke-13 disebabkan kerisauan Najib bahawa ramalan politik “RAHMAN” mungkin benar – bahawa singkatan RAHMAN terdiri daripada enam Perdana Menteri UMNO terutama sekali Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan “N” untuk Najib yang menandakan penghujung barisan Perdana Menteri UMNO.

Adakah PRU13 akan memperlihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru?

Hakikatnya adalah Najib kini mengalami isu keyakinan yang kian merosot; jika bukan, beliau sudah lama menetapkan tarikh untuk PRU13.

Dalam keadaan terdesak ini, pemimpin UMNO dan pakar strategis termasuklah Tun Dr Mahathir kini sudah mengambil jalan untuk menyerang kembali – pertamanya, mengungkitkan isu perkauman dan perselisihan diantara kaum untuk ‘memenangi’ tanah Melayu ini tanpa mempedulikan seruan konsep Mahathir iaitu Bangsa Malaysia dan konsep 1Malaysia oleh Najib; dan keduanya, kempen fitnah dan tohmahan terhadap DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Pilihanraya Umum ke-13 mungkin akan menjadi pilihanraya umum yang paling kotor dalam sejarah negara ini.

Kini, pelbagai kenyaatan palsu, fitnah dan tohmahan telah dilemparkan terhadap pemimpon DAP dan ini baru permulaannya.

Sebagai contoh, diantara pembohongan dan dusta mengenai DAP dalam laman sesawang dan media sosial yang tiada sekelumit pun fakta atau kebenaran, termasuklah:

  • DAP mahu mewujudkan Malaysia yang Kristian dan menjadikan agama Kristian sebagai agam rasmi;

  • Melantik Perdana Menteri beragama Kristian;

  • Memansuhkan sistem raja berperlembagaan dan menubuhkan negara republik.

Melalui laman sesawang, ‘cybertrooper’ UMNO/BN sedang menyebarkan fitnah dengan niat jahat bahawa saya bertanggungjawab dalam mencetus rusuhan 13 Mei 1969 dan saya telah melemparkan tohmahan anti-Melayu selepas pilihanraya umum 1969 yang telah mencetus rusuhan itu.

Hakikatnya, saya tidak berada di Kuala Lumpur pun pada 10, 11, 12 dan 13 Mei 1969, sesuatu yang boleh disahkan oleh media pada masa itu dan dalam rujukan laporan polis.

Pada masa itu, saya sedang bertanding dalam pilihanraya umum di kerusi Bandar Melaka tahun 1969 dan pada pagi 13 Mei 1969, sya atelah berlepas menaiki penerbangan awal pagi ke Kota Kinabalu untuk menghulurkan sokongan dan bantuan dalam kempen pilihanraya di Sabah kerana pilihanraya ditangguh selama dua minggu di Sabah selepas berlangsungnya pilihanraya di Semenanjung Malaysia.

Tetapi apa yang lebih mendukacitakan adalah dakwaan kejam oleh ‘cybertrooper’ UMNO/BN bahawa Lim Guan Eng juga bertanggungjawab mencetus rusuhan 13 Mei 1969 diatas dasar Guan Eng sebagai pemimpin Pemuda DAP pada masa itu dan berada di ‘barisan hadapan’ dalam lemparan tohmahan anti-Melayu.

Ini merupakan tiga dusta sekaligus!

Pertamanya, DAP tidak pernah bersikap anti-Melayu tetapi telah memberi komitmen penuh sejak penubuhan parti kita dalam bulan Mei 1966 yang berlandaskan sebuah parti Malaysia yang mewakili hak-hak asasi dan kepentingan semua kaum di negara ini.

Bahkan, dalam tahun 1969, beberapa calon Melayu dari DAP telah bertanding dalam kerusi Parlimen dan DUN dan dua orang ADUN Melayu dibawah tiket DAP telah dilantik, seorang di negeri Perak dan seorang lagi di Negeri Sembilan.

Keduanya, tidak wujud Pemuda DAP dalam tahun 1969 kerana Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang ditubuhkan pada 1973 dan mendiang P. Patto dilantik sebagai ketua DAPSY yang pertama.

Ketiga, umur Guan Eng dalam bulan Mei 1969 baru lapan tahun sahaja – dan ini menggambarkan betapa kotornya, tidak berprinsip dan tidak bertanggungjawab politik murahan yang telah dicipta di Malaysia menjelang pilihanraya umum yang akan datang dan bagaimana lemparan fitnah seperti ini boleh dibuat terhadap seorang kanak-kanak lapan tahun!

Adakah Najib benar-benar bersedia untuk berjuang untuk memastikan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil dalam pilihanraya umum ke-13 yang akan datang?

Utusan Malaysia kini adalah lidah rasmi UMNO. Bila pula ia akan berhenti daripada menjadi “akhbar-karut” dan menjadi akhbar yang sah sepertimana yang dilihat dalam tiga dekad pertama sejarahnya?


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional