red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Tenom pada hari Ahad, 22hb Julai 2012: 

Terbongkar – UMNO semakin terdesak untuk kekal berkuasa dalam PRU13

Terbongkar – UMNO kini bersenjatakan fitnah dan taktik kotor 4R iaitu “Race, Religion, Malay Rulers and Riots” (Kaum, Agama, Raja Melayu dan Rusuhan (ancaman 13 Mei) untuk terus menyerang DAP dan Pakatan Rakyat sebagai modus operandi bagi menghadapi apa yang dianggap pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah negara ini dalam usaha terdesak untuk kekal berkuasa di Putrajaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13.

Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, puak-puak propagandis UMNO dengan menggunakan dan memanipulasi media arus perdana serta media sosial dan alam-alam sesawang, telah menggunakan taktik kotor 3R iaitu Race, Religion and Malay Rulers (Kaum, Agama dan Raja Melayu) untuk menfitnah dan menghitamkan DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Raja Melayu tetapi tiada kesan yang mendalam dewasa ini dengan teknologi maklumat yang lebih transparen yang menunjukkan semua ini adalah palsu dan fitnah.

Sejak penubuhan 46 tahun yang lalu dalam 1966, DAP telah memberi komitmen untuk menjadi parti politik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri.

Dalam pilihanraya 1969 yang pertama kali ditandingi DAP, kami telah meletakkan calon-calum Melayu dimana dua calon Melayu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri – satu dari negeri Perak dan satu lagi dari Negeri Sembilan. Kami juga mempunyai beberapa Ahli Parlimen Melayu, terutama sekali bekas Presiden CEUPACS Ahmad Nor yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang.

Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa DAP menjadi parti terkemuka sebagai parti Pan-Malaysia dengan cawangan-cawangan yang telah ditubuhkan serta beroperasi berlandaskan rukun politik bukan sahaja didalam semua negeri di Semenanjung Malaysia tetapi di Sabah dan Sarawak.

Ini menyangkal terus serangan senjata 3R UMNO terhadap DAP dengan melabelkannya sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu yang jelas tiada kredibiliti atau asas.

Sokongan DAP terhadap sistem raja-raja berperlembagaan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan kerana Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat jelas menunjukkan komitmen ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS untuk menghormati, menyokong dan menjunjung cirri-ciri asas perlembagaan – termasuklah peruntukan atau provisi berhubung dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan sistem rara-raja Melayu.

Mengimbas kembali, ini merupakan pendirian dan kenyataan saya dalam ucapan pertama saya di Dewan Rakyat Parlimen pada bulan Februari 1971.

Adakah ini kerana pemimpin UMNO dan puak-puak propagandis telah sedar bahawa senjata fitnah 3R mereka terhadap DAP tidak mampu mencapai kesan politik yang diingini yang telah menyebabkan mereka kini mengeluarkan senjata keempat dengan ancaman rusuhan dan serangan sekiranya UMNO dan Barisan Nasional kehilangan kuasa persekutuan dalam pilihanraya umum yang akan datang, satu mesej yang diselimuti dengan rujukan terhadap tragedi 13 Mei 1969.

Saya masih lagi menunggu respon daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diatas tawaran saya dalam ceramah DAP di Inaman pada malam Jumaat yang lalu bahawa Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bekerjasama untuk memastikan dan menjamin bahawa tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Jika Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berjanji dengan ikhlas untuk memastikan tragedi 13 Mei tidak akan berulang dalam pilihanraya umum yang akan datang, ertinya, peristiwa hitam ini pasti tidak akan berlaku.

Mengapa Muhyiddin dan Najib masih membisu sekiranya mereka berdua tidak mahu tragedi 13 Mei berulang?

Dalam ceramah di Kota Belud, saya telah mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Kebangsaan yang dianggotai parti-parti politik, pelbagai pecahan agama dan NGO-NGO penting dengan satu objektif umum untuk memastikan tragedi hitam 13 Mei tidak akan berulang. Biar Malaysia menjadi saksi kepada respon yang diberikan oleh Muhyiddin dan Najib, serta UMNO dan BN terhadap cadangan ini dalam komitmen mereka untuk memastikan peristiwa rusuhan 13 Mei tidak berulang.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional