http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Ahad, 3hb Jun 2012: Tolak politik perkauman, ikut jalan yang benar Politik perkauman tidak akan membawa manfaat kepada rakyat negara kita. Jika kita teruskan dengan politik perkauman, ini akan membawa malapetaka kepada seluruh rakyat yang mahukan keamanan dan kesejahteraan. Barisan Nasional telah mengamalkan dasar pecah dan perintah sejak negara kita merdeka. Tidak ada program integrasi yang benar-benar mecapai tahap kejayaan yang boleh dibanggakan. Malah, nyata sekali Barisan Nasional tidak berminat untuk mencapai integrasi nasional. Barisan Nasional lebih berhala kepada dasar pecah dan perintah yang diajar oleh pihak penjajah British. Barisan Nasional bimbang bahawa menyatupadukan rakyat Malaysia akan merugikan mereka. Mereka mahu berpolitik dengan semangat 'asabiyah' yang cukup tebal. Komponen parti politik utama dalam Barisan Nasional adalah parti-parti perkauman. UMNO untuk memperjuangkan orang Melayu. MCA untuk memperjuangkan orang Cina, MIC pula untuk memperjuangankan orang India dan sebagainya. Kenapa kita tidak boleh mencapai tahap kematangan politik dimana orang-orang Melayu boleh memperjuangkan keadilan untuk orang-orang Cina di negara kita? Begitu juga, orang-orang Cina mempertahankan kebajikan untuk orang-orang India? Kenapa pula orang-orang India pula tidak boleh mengangkat martabat orang-orang Melayu di negara yang berbilang bangsa ini? Kenapa tidak kita bersama-sama membantu menaikkan tahap sosio-ekonomi orang-orang asal di negara kita? Semua ini tidak diajar dalam permainan politik Barisan Nasional. Semanagat 1 Malaysia adalah satu ungkapan retorik untuk menang pilihanraya semata-mata. Apa bezanya sebelum 1Malaysia dan selepas 1Malaysia? Kalau ditelitikan, semangat asabiyah lebih ketara selepas 1Malaysia diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Setiap hari isu perkauman ditimbulkan oleh Barisan Nasional melalui ceramah-ceramah politik dan media arus perdana. Ini bermakna konsep 1Malaysia gagal dicapai dan direalisasikan oleh Barisan Nasional. Apa gunanya lambang 1Malaysia dijahit pada baju yang dipakai tetapi tidak terpahat dalam sanubari pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Mereka bukan sahaja menipu rakyat Malaysia tetapi juga menipu diri sendiri. Perjuangan atas nama bangsa boleh menjadi 'asabiyah' yang ditentang oleh Islam. Kalau kenyataan ini benar, bukankah UMNO, MCA dan MIC berjuang atas nama bangsa masing-masing? Mereka bukan sahaja berjuang untuk bangsa sendiri malah seringkali membelakangkan dan menzalimi bangsa lain dalam polisi-polisi yang diamalkan. Adakah rakyat Malaysia masih lagi menyokong parti-parti politik bersikap berpuak yang hanya memperjuangkan bangsa masing-masing dengan semangat asabiyah yang mendalam? Adakah memartabatkan bangsa sendiri merupakan prinsip perjuangan Islam? Jika tidak, kita rakyat Malaysia harus bersama-sama menolak politik perkauman dalam agenda pembangunan negara. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|