http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Batu Gajah pada hari Selasa, 5hb Jun 2012: Masyarakat India mangsa kad pengenalan merah Kalau ditelitikan dengan betul isu kad pengenalan merah adalah merupakan isu khusus kaum India di negara ini. Isu ini berlanjutan sejak negara kita merdeka sehingga ke hari ini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan oleh MIC. Pelbagai alasan diberi untuk melarikan diri daripada tanggungjawab ini. MIC seringkali menuduh pemegang kad pengenalan merah kerana tidak mengambil inisiatif dan tidak bekerjasama. Adakah tuduhan ini benar? Apabila ditanya kepada seseorang yang memegang kad pengenalan merah, dia akan menceritakan pengalaman pahitnya dalam proses memohon kad pengenalan biru. Proses permohonan kad pengenalan biru adalah satu proses tegang dan terpaksa melalui 'red tape' birokrasi awam yang menyusahkan. Ada juga orang-orang yang telah bayar wang beribu-ribu kepada orang-orang tertentu yang kononnya mahu membantu mendapatkan kad pengenalan merah. MIC tidak dapat selesaikan masalah ini. Terbukti pemimpin-pemimpin MIC tidak mengambil inisiatif untuk mendesak kerajaan menyelesaikan masalah kad pengenalan merah. Mereka tidak mencari jalan yang paling berkesan untuk membantu orang-orang India yang memegang kad pengenalan merah. Adalah tidak munasabah untuk menuduh orang-orang India yang memiliki kad pengenalan merah kerana tidak memberi kerjasama. Ramai diantara mereka pernah bersujud di kaki pemimpin-pemimpin MIC sebelum ini untuk mendapatkan pertolongan ini. Tetapi, sehingga hari ini mereka masih lagi memiliki kad pengenalan merah. MIC telah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membantu golongan ini. Isu Kad Pengenalan merah ini merupakan satu lagi punya kepada gejala-gejala negatif seperti kadar jenayah yang semakin meningkat di kalangan masyarakat India. Tambahan pula perkara ini merupakan satu faktor utama masalah sosio-ekonomi kaum India di negara ini. Selagi masalah kad pengenalan merah ini tidak diselesaikan sepenuhnya oleh kerajaan, sebilangan besar masyarakat India di negara ini akan terpinggir daripada arus pembangunan negara. Saya mendesak kerajaan Barisan Nasional hari ini untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih efektif daripada hanya membuat program Mydaftar yang semata-mata untuk mendapat publisiti murahan untuk MIC. Datuk Seri Najib Tun Razak harus menyelesaikan masalah ini dengan segera jika beliau benar-benar prihatin terhadap kebajikan orang-orang India di negara ini. Jangan hanya sebut perkataan 'Nambikai' tetapi tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk mendapat kepercayaan rakyat. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|