http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media (2) oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Sabtu, 23hb Jun 2012: PR sedia ambil alih Perak Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa Barisan Nasional akan tumbang sekali lagi di Perak. Dalam PRU13, Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menang dengan majoriti kerusi yang lebih besar. Barisan Nasional telah membuat kesilapan besar merampas kuasa rakyat di negeri Perak pada tahun 2009. Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Perlembagaan Persekutuan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah dibelakangkan oleh Barisan Nasional dalam kerakusannya untuk berkuasa kembali. Pelbagai muslihat dan politik kotor telah dilakukan oleh Barisan Nasional. Mereka telah memperalatkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Mahkamah dan beberapa agensi kerajaan yang lain untuk merampas mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat. Barisan Nasional juga telah merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan polis dan samseng. Selain daripada itu, politik wang juga telah digunakan untuk tumbangkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat. Barisan Nasional tidak menghormati sistem demokrasi yang berteraskan 'kerajaan yang dipilih oleh rakyat'. Kerajaan Perak yang ada hari ini adalah kerajaan yang ditentukan oleh mahkamah. Rakyat Perak sedar akan semua tindak-tanduk Barisan Nasional dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Rakyat Perak tidak diberi peluang untuk menilai polisi-polisi dan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan pilihan rakyat hanya berkuasa selama 11 bulan. Tempoh itu adalah terlalu singkat untuk menentukan sejauh manakah kecekapan dan keberkesanan kerajaan Pakatan Rakyat berbanding dengan Barisan Nasional. Sebelum Pakatan Rakyat dapat membuktikan kewibawaannya, kerajaan itu dirampas dengan cara yang tidak demokratik. Rakyat Perak juga berpuas hati dengan beberapa polisi kerajaan Pakatan Rakyat Perak seperti geran kekal untuk kampung-kampung tersusun dan kampung-kampung baru di seluruh negeri. Banyak lagi polisi-polisi kebajikan yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Rakyat Perak merasakan bahawa Barisan Nasional tidak adil dan terlalu gila kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa. Sudah pasti rakyat Perak akan memberi satu pengajaran kepada Barisan Nasional Perak dalam PRU13 nanti. Tambahan pula, Barisan Nasional juga sudah hilang genggaman di Perak. Krisis dalaman UMNO, MCA dan MIC juga sudah memuncak kebelakangan ini. Pemimpin-pemimpin mereka tahu bahawa Barisan Nasional akan tumbang sekali lagi di Perak. Saya pasti Dato Seri Zambry juga sedar bahawa keadaaan Barisan Nasional hari ini seperti 'duduk dalam duri, bersandar di batang renggas'. Walau bagaimanapun, Pakatan Rakyat Perak sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan Perak bila-bila masa apabila pilihanraya umum diadakan. Pimpinan Pakatan Rakyat Perak cukup yakin bahawa rakyat akan memberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan polisi-polisi yang berjiwa rakyat. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|