Surat ke-2 oleh Lim Guan Eng kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Dato Seri Chor Chee Heung atas Rumah Hijau Mak Mandindi pada hari Khamis, 21hb Jun 2012: Surat kedua kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Dato Seri Chor Chee Heung atas Rumah Hijau Mak Mandin 21 Jun 2012 YB Dato' Seri Chor Chee Heung Yang Berhormat Dato' Seri, MENYOKONG KERAJAAN PERSEKUTUAN MENGELUARKAN WANG MEMBELI TANAH DAN KOS PEMBINAAN RUMAH PANGSA BERDEKATAN TAPAK RUMAH HIJAU MAK MANDIN SEBAGAI GANTIAN TETAPI MESTI UNTUK KESEMUA LEBIH 300 BUAH KELUARGA SETINGGAN DAN BUKAN HANYA 70 BUAH KELUARGA YANG DIPINGGIRKAN EKORAN PENSWASTAAN TANAH OLEH KERAJAAN BN LAMA Kami merujuk kepada surat Jabatan Perumahan Negara Ruj(2) KPKT(S) 06/A/864/2/3 oleh Dato' Ramlan bin Harun tanggal 17 Mei 2012 dan surat saya kepada Yang Berhormat pada 19 Jun 2012, Rujukan : PSUKPP/21/0353/28(1757/2012) berkaitan perkara di atas. 2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan sokongan Kerajaan Negeri terhadap cadangan yang dibuat oleh BN Bagan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan wang untuk membeli tanah dan juga kos pembinaan Rumah Pangsa berdekatan dengan tapak Rumah Hijau Mak Mandin di Butterworth. Kami hanya mengenakan syarat bahawa rumah gantian yang dibina mestilah untuk kesemua lebih 300 buah keluarga dan bukan hanya 70 buah keluarga yang dipinggirkan ekoran penswastaan tanah oleh kerajaan BN lama sebelum 2008. 3. Sebahagian besar keluarga asal di Rumah Hijau Mak Mandin telahpun berpindah ke Rumah Pangsa Mampu Milik di Ampang Jajar dan mereka harus diberikan pilihan sama ada untuk terus kekal di Rumah Pangsa Mampu Milik Ampang Jajar ataupun berpindah balik ke tapak berdekatan Rumah Hijau. Adalah tidak patut dan tidak adil mereka dinafikan hak membuat pilihan berpindah balik hanya kerana mereka kini menduduki Rumah Pangsa Mampu Milik Ampang Jajar. Sekiranya mereka bersedia pindah balik, maka unit rumah yang dikosongkan di Ampang Jajar akan diberikan kepada golongan keluarga tidak berada lain yang perlukannya. Tidak ada sesiapa yang akan dibenarkan memiliki dua buah rumah seperti yang didakwa. 4. Saya percaya Persatuan Penduduk Rumah Hijau Bagan, Mak Mandin juga tidak akan menentang cadangan keluarga asal Rumah Hijau yang sudah berpindah ke Rumah Pangsa Ampang Jajar agar diberikan pilihan untuk berpindah balik. Atas prinsip keadilan dan layanan sama rata ini, Kerajaan Negeri bertegas bahawa kos pembiayaan oleh pihak Kerajaan Persekutuan harus merangkumi kesemua lebih 300 buah keluarga setinggan yang telah dipinggirkan ekoran penswastaan tanah oleh Kerajaan BN lama sebelum 2008. Adalah tidak patut rumah pangsa disediakan untuk hanya 70 buah keluarga dan bukan keseluruhan lebih 300 keluarga itu dan inilah sebabnya kira-kira 350 unit perlu dibina. 5. Kerajaan Negeri ingin mengulangi persetujuan (dan bukannya untuk dipertimbangkan) untuk menyediakan sebidang tanah bagi menampung pembinaan 350 unit rumah pangsa sama ada bersebelahan atau bertentangan dengan tapak rumah hijau yang sedia ada. Tanah ini juga boleh dibeli oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Kami akan mengenalpasti tanah dan butiran terperinci tanah tersebut akan dihantar kepada pihak YB dalam masa seminggu hingga 10 hari lagi. 6. Oleh yang demikian, adalah diharapkan pihak Kementerian Yang Berhormat boleh memulakan dengan serta-merta proses menukarkan pertimbangan wang peruntukan di dalam Rolling Plan Ketiga (RP-3) Rancangan Malaysia Ke-10 kepada satu komitmen persetujuan geran wang secara langsung untuk membina rumah pangsa tersebut. Komitmen geran secara hitam putih (bertulis) adalah perlu demi mengelakkan persepsi negatif dan kerisauan penduduk bahawa pertimbangan wang peruntukan di bawah Rolling Plan Ketiga hanya janji kosong yang akan dilupakan selepas pilihanraya besar. Sekian, terima kasih. 'CEKAP, AKAUNTABILITI, TELUS' Yang ikhlas, LIM GUAN ENG s.k. Persatuan Penduduk Rumah Hijau Bagan, Mak Mandin *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
|