red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 30hb Jun 2012: 

Mengapa pengundi Cina tidak akan menjadi faktor penentu dalam PRU13?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya sudah kembali ke zaman pentadbirannya apabila, dalam kata-katanya sendiri, beliau berjuang untuk kaum Melayu dalam masa umurnya muda dan beliau kurang pengalaman dalam arena politik.

Mahathir telah membuat pengakuan ini secara umum dalam satu sesi dialog bersama Majlis Eksekutif Pelajar Malaysia di United Kingdom dalam bulan September 1995, apabila menegaskan kepentingan perjuangan rakyat Malaysia dan bukan kaum Melayu, pada masa yang sama mengingatkan semua bahawa impian Bangsa Malaysia hanya boleh tercapai jika rakyat Malaysia mampu menerima satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama.

Ini merupakan tahun keempat deklarasi Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia pada bulan Februari 1991.

Kini Mahathir kelihatan seperti mengingkari deklarasinya, bukan sahaja konsep Bangsa Malaysia dan Wawasan 2020, tetapi seruan untuk berjuang demi kaum Melayu daripada berjuang untuk rakyat Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meminta ahli Barisan Nasional supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang akan menyinggung perasaan kaum yang lain atau parti komponen yang lain dalam BN.

Akan tetapi, berapa ramaikah dalam UMNO yang akan mendengar nasihat Najib?

Yang tidak dapat disangkal adalah Mahathir adalah yang diantara golongan yang membuat kenyataan yang tidak sensitive, tidak bertanggungjawab dan berunsur provokatif – untuk menyelamatkan dan melindungi UMNO dan Barisan Nasional daripada kekalahan dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Khamis lalu, Mahathir telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa pengundi Cina akan menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke-13 oleh sebab kaum Melayu terbahagi diantara tiga parti “kecil” dan pengundi Cina akan menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya umum ini.

Saya telah menyangkal kenyataan ini dengan mengatakan bahawa kaum Cina Malaysia bukan faktor penentu dan tidak mahu menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke 13.

Saya juga telah menekankan bahawa “realiti keadaan adalah dengan melihat bilangan pengundi Cina di Malaysia, adalah mustahil untuk pengundi Cina menjadi faktor penentu dalam PRU13.

Biar kita meneliti dengan melihat kepada nombor dan bilangan, mengapa pengundi Cina tidak boleh menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke-13.

Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Walaupun Pakatan Rakyat (PR) memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini ianya hanya akan memenuhi 15% kerusi parlimen.

55 kerusi Parlimen dimana pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi. Walaupun PR mampu memperoleh 80% undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia masih memerlukan diantara 35% hingga 40% sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kesrusi ini.

Secara keseluruhannya, ini bererti hanya ada 89 kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi. Andaikata PR memenangi kesemua kerusi parlimen ini, ianya hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi parlimen, yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi parlimen.

Tetapi, apa yang dilihat adalah satu situasi dimana Barisan Nasional ditolak oleh pengundi dari pelbagai kaum, termasuklah majoriti kaum Melayu serta kerusi “campuran” etnik yang dahulunya kubu kuat BN.

Sebagai contoh, dalam pilihanraya umum 2008, majoriti pengundi Melayu dan bukan Melayu telah menolak BN di kerusi majoriti Melayu seperti Pokok Sena dan Kuala Kedah di Kedah, Parit Buntar dan Bagan Serai di Perak, Shah Alam dan Kota Raja di Selangor dan Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Majoriti pengundi Melayu dan bukan Melayu juga telah menafikan mandat BN dalam kerusi campuran seperti di Padang Serai di Kedah, Bayan Baru dan Nibong Tebal di Pulau Pinang dan Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan.

Baru-baru ini, dalam pilihanraya negeri Sarawak pada tahun 2011, majoriti pengundi Cina dan pengundi bukan Cina dalam kawasan kerusi DUN Kidurong telah menolak BN yang membawa kepada kemenangan bersejarah dengan majoriti 7,000 undi bagi calon DAP Chew Chin Sing.

Dengan menggunakan taktik mengapikan-apikan isu perkauman, Mahathir kini menggunakan taktik lama untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kian sudah serik dengan korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional.

Pilihanraya umum yang akan datang ini adalah satu peluang bagi semua rakyat Malaysia untuk memahat sejarah untuk bersatu padu dan untuk menghantar satu mesej yang jelas untuk menamatkan 54 tahun pemerintahan rakus BN dan memberi mandat kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat yang akan melindungi hak, kebebasan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

Oleh itu, faktor penentu yang benar-benar sah dalam pilihanraya umum ke-13, bukan pengundi Cina tetapi semua pengundi rakyat Malaysia tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan untuk bersatu padu untuk membawa kepada peralihan kuasa yang aman untuk kali pertama dalam sejarah 54 tahun untuk mengakhiri kezaliman korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional