red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Sabtu, 3hb Mac 2012:

Nostalgia bawah pokok

Tiga tahun yang lalu iaitu pada 3 Mac 2009 satu peristiwa bersejarah telah berlaku di negeri Perak. Peristiwa itu tidak boleh dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pertama kali dalam sejarah negara ini, persidangan Dewan Negeri Perak telah berlangsung di bawah "Pokok Hujan-hujan". Walaupun persidangan itu nampak ganjil tetapi ia telah membawa makna yang besar dalam sejarah politik tanahair kita. Pesidangan Bawah Pokok ini bukanlah bertentangan dengan undang-undang atau perlembagaan negara. Ramai diantara pakar-pakar perlembagaan bersetuju bahawa Pesidangan Bawah Pokok itu adalah sah di sisi undang-undang.

Untuk satu persidangan Dewan Negeri yang sah hanya 2 syarat perlu dipenuhi iaitu kehadiran Speaker dan korum yang mencukupi. Pada 3 Mac 2009, persidangan yang berlaku di bawah pokok itu memenuhi kedua-dua syarat yang diperlukan oleh undang-undang. Oleh yang demikian, Persidangan Bawah Pokok itu adalah sah. Tidak ada apa-apa syarat mandatori untuk memastikan persidangan harus diadakan di tempat tertutup seperti dalam dewan. Bumbung dan dinding bukanlah syarat yang perlu ada untuk mengadakan satu persidangan Dewan Negeri yang sah.

Saya telah mengeluarkan notis persidangan tergempar kepada semua ahli-ahli Dewan Negeri Perak. Tetapi Ahli-ahli Dewan Negeri Barisan Nasional telah mengambil keputusan supaya tidak menghadiri persidangan tersebut. Mereka menuduh bahawa saya telah memanggil persidangan haram. Alasan mereka itu adalah untuk mengelakkan diri daripada menghadiri persidangan itu. Mereka risau, Barisan Nasional tidak dapat membuktikan undi majoriti di dalam Dewan Negeri Perak. Jika mereka gagal berbuat demikian, Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa di Perak.

Barisan Nasional mendakwa bahawa Speaker tidak ada kuasa untuk memanggil Dewan bersidang. Ini adalah tidak benar kerana dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Negeri Perak kuasa itu diberikan kepada Speaker. Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa persidangan. Barisan Nasional cuba meniadakan kuasa itu untuk kepentingan politik mereka. Tetapi, saya tidak boleh tunduk kepada kehendak golongan yang mengilakan kuasa ini. Saya telah diberi mandat oleh Dewan Negeri Perak untuk menjalankan tanggungjawab saya berasaskan prinsip-prinsip demokrasi. Oleh itu, saya tetap mahu meneruskan persidangan tergempar itu walaupun dihalang dan diugut oleh pelbagai pihak.

Pada pagi 3 Mac 2009, beratus-ratus anggota polis dan FRU sudah berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghalang saya dan wakil-wakil rakyat yang lain bersidang seperti yang dirancang. Kami dihalang di pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberi arahan kepada pihak polis untuk menghalang persidangan itu. Pihak eksekutif telah menafikan kuasa Speaker dan mencemar amalan demokrasi berparlimen di negeri Perak.

Selepas bertikam lidah dan sedikit pergelutan dengan pihak berkuasa dan polis, wakil-wakil rakyat terpaksa meninggalkan tempat itu. Pihak polis sudah bersedia untuk menggunakan kekerasan terhadap orang ramai yang berkumpul di situ. Ramai juga samseng-samseng telah dibawa dari luar untuk menghalang wakil-wakil rakyat daripada bersidang pada hari itu.

Kemudian, Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat telah berkumpul semula di bawah sebuah pokok kira-kira 150 meter daripada Bangunan Perak Darul Ridzuan. Pada masa itu, saya telah mengambil keputusan untuk meneruskan persidangan Dewan Negeri Perak di bawah pokok itu berasakan "doktrin keperluan". Keputusan itu dibuat dalam keadaan terdesak kerana saya tidak boleh membatalkan persidangan yang telah diberi notis kepada semua wakil-wakil rakyat.

Dalam persidangan yang aneh itu, 3 usul telah diluluskan. Persidangan yang bersejarah itu berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Pesidangan itu telah disaksikan oleh lebih daripada 2000 orang. Selepas itu semua wakil rakyat dan orang awam telah bersurai dari kawasan tersebut.

Sehingga hari ini persidangan bawah pokok menjadi satu topik perbualan politik yang hangat. Saya juga sedang menulis sebuah buku yang menceritakan krisis politik Perak yang dilihat dari kaca mata seorang Speaker. Tema buku itu juga adalah mengenai Persidangan Bawah Pokok yang membawa seribu satu makna dalam hidup saya. Saya masih teringat setiap detik Persidangan Bawah Pokok yang berlaku tiga tahun yang lalu. Setiap kali saya imbas kembali peristiwa itu, saya mendapat semangat perjuangan yang lebih kental untuk menuntut keadilan.


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional