red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 14hb Mac 2012:

Media kawalan BN tidak patut memanipulasi dan memutar belit kenyataan-kenyataan media mereka sendiri

Adalah amat mendukacitakan bahawa media kawalan BN telah memanipulasi dan memutar belit kenyataan-kenyataan media mereka sendiri untuk memberi gambaran palsu bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah melakukan serangan peribadi terhadap Presiden CAP SM Mohamed Idris.

Ketua Menteri telah dituduh melakukan serangan peribadi terhadap Mohamed Idris dengan memanggilnya "orang tua". Kenyataan ini adalah kurang tepat dan mengelirukan, kerana mengikut laporan The Star pada 8 Mac 2012, Ketua Menteri telah dipetik berkata, "SM Mohamed Idris adalah seorang yang tua dan dihormati". Dalam konteks yang penuh dan betul, adalah jelas bahawa Ketua Menteri telah memberi penghormatan kepada seorang warga tua.

Malangnya, pemimpin-pemimpin BN sudah mula menyerang Ketua Menteri atas sebab beliau telah memanggil Mohamed Idris "orang tua", tanpa mengambil kira kenyataan lanjutannya bahawa beliau adalah seorang yang "dihormati". Yang lebih mengejutkan pula, The Star enggan melaporkan dengan penuh kenyataan Ketua Menteri yang terbaru dalam suratkhabarnya pada 14 Mac 2012 hari ini.

Bagi BN untuk membuat kenyataan separuh benar atau fitnah adalah sudah dijangka. Tetapi, tindakan The Star yang sengaja tidak menyiarkan kenyataan penuh Ketua Menteri bahawa SM Mohamed Idris adalah seorang yang “dihormati” dan kemudiannya menyindir bahawa Ketua Menteri telah menggunakan ayat yang tidak pernah beliau gunakan, seperti "orang yang hilang ingatan", bukan sahaja bercanggah dengan laporan-laporan sebelumnya tetapi adalah tidak beretika langsung.

Adalah sangat dikesali bahawa The Star telah memilih hanya untuk melaporkan secara ringkas kenyataan akhbar Ketua Menteri semalam berkenaan dengan proses rundingan umum yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam cadangan 4 projek infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di bahagian pulau. Projek-projek berkenaan adalah pembinaan terowong bawah laut 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth), jalan 15km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang, jalan pintas 5km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong eu serta jalan pintas 5km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Ketua Menteri telah menjelaskan secara terperinci bagaimana 4 projek infrastruktur ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang, serta bagaimana beliau telah meminta pandangan umum dan berunding dengan NGO-NGO seperti CAP, yang telah diwakili oleh Rudhrapathy Vijayala (Ravi). CAP bukanlah satu-satunya organisasi yang membantah 4 projek infrastruktur tersebut. Malah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pun telah menentang pembinaan terowong bawah laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam pada 17 November 2011. Namun begitu, maklum balas daripada orang ramai di Pulau Pinang, khususnya mereka di Gurney Drive dan SPU, telah menunjukkan bahawa majoriti menyokong dan menghendaki supaya projek-projek infrastruktur ini diteruskan.

Walaupun NGO-NGO seperti CAP mempunyai hak untuk berbeza pendapat dengan proses rundingan umum yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri, Ketua Menteri percaya bahawa perbezaan pendapat ini harus disuarakan secara sopan. Oleh itu, Ketua Menteri telah memberi jaminan bahawa beliau masih akan menjemput NGO-NGO seperti CAP untuk pusingan kedua rundingan umum apabila reka bentuk, pemilihan laluan dan kajian kesan alam sekitar untuk projek terowong bawah laut dijalankan pada tahun ini.

Dalam proses pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Kerajaan BN tidak pernah melakukan rundingan umum seperti ini. Pun begitu, Kerajaan PR Pulau Pinang telah dikutuk dengan teruk kerana menjalankan proses yang lebih telus dan bertanggungjawab berbanding dengan Kerajaan Negeri BN sebelum ini.


* Zairil Khir Johari, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional