http://speakforperak.blogspot.com/
Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Ipoh pada hari Isnin, 26hb Mac 2012: Transformasi sektor pertanian tergendala kerana amalan kronisme dan korupsi Petani-petani dan penternak-penternak sering kali menghadapi masalah gangguan daripada kerajaan ataupun agensi-agensi kerajaan. Sebilangan besar golongan petani dan penternak ini mengusahakan tanah kerajaan secara haram. Mereka mengusahakan tanah secara haram kerana kerajaan tidak mahu memberi hak milik tanah mahupun TOL kepada mereka. Jika kerajaan serius untuk menjaga kebajikan golongan petani dan penternak ini sudah tentu mereka akan diberi hak milik tanah ataupun sekurang-kurangnya TOL. Tetapi, kerajaan gagal untuk berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu. Ini menyebabkan petani-petani dan penternak-penternak terpaksa menjalankan kegiatan mereka secara haram di atas tanah kerajaan. Kita tidak boleh mempersalahkan golongan petani dan penternak ini. Mereka mengusahakan tanah dan sumbangan mereka dalam sektor pertanian negara tidak boleh dinafikan. Mereka membantu mengurangkan masalah kekurangan makanan di dalam negara. Keluaran hasil pertanian petani-petani dan penternak-penternak secara haram ini memasuki pasaran makanan negara kita tiap-tiap hari. Apa akan berlaku jika sekirannya semua petani dan penternak ini memberhentikan aktiviti pertanian mereka dengan serta-merta? Sudah tentu kita akan menghadapi masalah kekurangan makanan di dalam negara. Ini akan mengakibatkan pengantungan negara kita kepada negara lain untuk makanan akan bertambah. Dalam kata lain, pengimportan barang makanan akan tambah berlipat ganda. Ini akan meningkatkan lagi pengaliran dana kita ke negara asing. Kerajaan harus sedar kepentingan golongan petani-petani dan penternak-penternak ini. Mereka seharusnya diberi peluang pemilikan tanah atau diberi TOL untuk mengusahakan kegiatan pertanian di tanah itu. Apa yang pelik di negara kita ialah kaum petani dan penternak ini sentiasa ditindas oleh kerajaan dan pihak ketiga. Mereka ini sentiasa terdedah kepada ancaman pihak-pihak tertentu. Setelah mereka mengusahakan tanah berpuluh-puluh tahun, tiba-tiba tanah itu diberikan kepada pihak ketiga oleh kerajaan. Kenapa tawaran tanah itu tidak diberikan kepada petani-petani yang mengusahakan tanah itu? Kenapa tapak tanah yang diusahakan oleh petani dan penternak itu diberikan kepada pihak ketiga yang langsung tidak ada kena mengena dengan tanah itu? Ini menbuktikan kewujudan amalan-amalan kronisme dan korupsi dalam sektor pertanian negara kita. Orang yang layak tidak diberikan tapak tanah untuk bertani, manakala pihak ketiga yang mempunyai hubungan politik pula boleh mendapat tanah itu dengan mudah. Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh Dato' Mohd Hashim Bin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di dalam portal rasmi kementerian itu. Berikut adalah ungkapan beliau: "Sektor Pertanian merupakan salah satu sektor penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana ia merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk dunia. Kebolehan sesebuah negara memajukan sektor pertanian di negaranya menunjukkan keupayaan negara tersebut membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya. Oleh yang demikian, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda tidak meminggirkan pembangunan sektor pertanian di negara mereka, malahan ia dimajukan sebagai satu entiti perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan. Malaysia merupakan negara pengimport makanan, bil imbangan dagangan makanan negara tidak pernah mencatatkan nilai lebihan, walaupun negara kita dirahmati dengan tanah yang subur, taburan hujan yang mencukupi serta iklim yang sesuai. Menyedari peluang dan potensi untuk membangunkan sektor ini, Kementerian ini telah diamanahkan untuk membangunkan sektor pengeluaran makanan atau sektor Agro-Makanan agar ia berdaya saing dan boleh menyumbang kepada pendapatan negara. Usaha untuk mentransformasikan sektor ini merupakan satu cabaran yang amat besar..." Memang manis untuk mendengar matlamat kerajaan itu. Tetapi, indah khabar dari rupa, kerajaan tidak mengambil inisiatif untuk membantu petani-petani dan penternak-penternak yang mengusahakan tanah kerajaan secara haram. Malah, mereka ini sentiasa terdedah kepada ugutan dan desakan daripada pelbagai pihak. Matlamat kerajaan tidak akan tercapai jika golongan ini tidak dibantu. Transformasi tidak dapat dilaksanakan selagi terdapat unsur-unsur kronisme dan korupsi dalam sektor ini. Kerajaan harus prihatin menyelesaikan masalah kaum petani dan penternak ini. Ramai diantara mereka tidak mengharapkan dorongan dan sokongan kerajaan. Mereka hanya mahu supaya dibiarkan mengusahakan tanah tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak. * V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh
|